watak marvel yang dulunya jahat jadi hero

Tahukah anda bahawa banyak watak villain atau penjahat sering bertukar menjadi superhero? Mungkin ada antara superhero yang anda minati sebenarnya bermula dengan watak jahat.

Dalam komik, sukar untuk membezakan antara watak baik dengan jahat pada sekali pandang. Hampir semua orang memakai pakaian adiwira dan topeng yang seakan hampir sama.

Berikut adalah 10 watak villain paling terkenal yang berubah menjadi watak superhero kegemaran anda.

1. Falcon

falcon

Falcon bukan sahaja merupakan rakan baik kepada Captain America, malah dia juga merupakan watak superhero Afrika-Amerika yang pertama diperkenalkan dalam komik mainstream.

Akan tetapi, Falcon sebenarnya mula mendapat kekuatannya ketika bekerja bersama dengan Red Skull yang merupakan musuh ketat kepada Captain America.

Falcon adalah penjahat yang sering membuat kekacauan di Harlem dan merupakan orang suruhan Red Skull. Setelah memperolehi kuasanya, dia telah berpaling tadah dan bekerjasama pula dengan Captain America.

2. Rogue

rogue x men

Rogue adalah sebahagian daripada subspesies manusia yang dipanggil mutan, yang dilahirkan dengan kemampuan luar biasa . Wataknya mula diperkenalkan dalam komik Avengers Annual #10 sebagai seorang villain.

Dia malah pernah mengalahkan Captain America. Rogue mempunyai keupayaan untuk menyerap, menghilangkan ingatan, kekuatan fizikal dan superpower sesiapa sahaja yang disentuhnya. 

Tidak lama selepas itu, dia menyertai kumpulan X-Men di bawah pimpinan Professor Charles Xavier. Nama sebenarnya, Anna Marie, hanya didedahkan 20 tahun kemudian. Dia adakalanya menggunakan nama Raven yang merupakan nama pertama ibu angkatnya yang juga musuh kepada X-Men iaitu Mystique.

3. Hawkeye

hawkeye

Hawkeye mula diperkenalkan pada tahun 1965 sebagai seorang villain. Pertemuan pertama Hawkeye dengan Avengers ialah ketika dia cuba merompak mereka kerana dia pada asalnya adalah seorang pencuri.

Walaupun Hawkeye tidak mempunyai kuasa luar biasa tetapi dia adalah seseorang yang mempunyai kehebatan seakan-akan seorang adiwira. Dia adalah seorang pemain pedang, ahli akrobat dan pemanah luar biasa yang dilatih sejak kecil di sarkas oleh penjenayah Trick Shot dan Swordsman.

Melihat bakatnya, Avengers kemudian telah mengajak Hawkeye untuk menyertai mereka dalam siri Avengers #16 pada tahun 1965.

4. Gambit

gambit

Credit : Ansonng

Gambit mula diperkenalkan dalam komik Uncanny X-Men Annual #14 (Julai 1990) dan Uncanny X-Men #266 (Ogos 1990). Dia adalah salah satu watak villain yang sering mempunyai agendanya tersendiri.

Gambit mempunyai kebolehan untuk mencipta, mengawal dan memanipulasikan kuasa kinetik menggunakan mindanya. Dia juga mahir dalam menggunakan daun terup dan tongkat kayu sebagai senjata.

Dia terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai kaum Morlocks (mutan buangan). Selepas kejadian itu, dia menyertai kumpulan X-Men di bawah pimpinan Professor Charles Xavier.

5. Deadpool

deadpool

Deadpool adalah watak yang bermula sebagai 100 peratus supervillain. Watak Deadpool mula ditonjolkan dalam komik The New Mutants #98 (Februari 1991).

Wataknya mula dicipta sebagai satu watak kelakar kepada villain komik DC iaitu Deathstroke (Slade Wilson). Nama sebenar Deadpool juga hampir sama dengan nama Deathstroke iaitu Wade Wilson.

Lama-kelamaan, watak Deadpool yang kelakar dan tidak bermoral ini mendapat sambutan hangat. Wataknya mula berubah lebih kepada watak antihero daripada watak villain. 

6. Vision

vision

Dalam penampilan pertama watak Vision, dia dicipta oleh Ultron untuk menjadi musuh kepada Avengers dan juga untuk menentang "bapanya" Hank Pym.

Namun, Vision akhirnya menyedari bahawa dia mahu berjuang untuk kebaikan. Dia kemudian memberontak terhadap Ultron yang juga merupakan salah satu ciptaan Hank Pym.

7. Venom

venom 174

Venom bermula sebagai watak villain yang khusus dicipta untuk menjadi musuh kepada adiwira Spider-Man. Eddie Brock (Venom) tahu mengenai semua rahsia Peter Parker (Spider-Man) dan yakin bahawa Parker bertanggungjawab terhadap semua perkara yang terjadi pada dirinya.

Akhirnya, dia menyedari bahawa Spider-Man hanya berusaha untuk menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik. Venom kemudian berjuang bersama musuh ketatnya itu.

8. Black Widow

black widow

Kali pertama watak Black Widow diperkenalkan ialah pada tahun 1940 dalam Mystic Comics #4 sebagai Clair Voyant. Dia adalah seorang anti-hero yang membunuh pesalah dan menghantar jiwa mereka kepada tuannya, Satan.

Kemudian watak Black Widow diubah kepada Natasha Romanova dan mula ditampilkan dalam komik Tales of Suspense #52 (April 1964). Natasha adalah seorang perisik Rusia dan antagonis kepada adiwira Iron Man.

Black Widow kemudian membelot dan menyebelahi Amerika Syarikat, menjadi ajen agensi S.H.I.E.L.D yang kemudiannya diserapkan ke dalam pasukan Avengers.

9. Quicksilver

quicksilver

Tidaklah begitu mengejutkan anak kepada Magneto ini bermula sebagai seorang villain. Quicksilver diperkenalkan buat pertama kalinya dalam komik X-Men #4 (Mac 1964).

Quicksilver yang merupakan abang kembar kepada Scarlet Witch adalah musuh ketat kepada pasukan X-Men. Setelah bertahun-tahun menjadi musuh, Quicksilver akhirnya berubah untuk menyertai pasukan X-Men.

10. Scarlet Witch

scarlet witch

Watak Scarlet Witch juga mula diperkenalkan bersama-sama dengan abang kembarnya, Quicksilver, dalam siri X-Men #4 (Mac 1964). Dia adalah seorang supervillain dan juga pengasas kepada Brotherhood of Mutants.

Dia kemudian telah bertukar kepada watak superhero apabila menyertai Avenger tetapi masih mempunyai sisi gelapnya sendiri. Scarlet Witch bercinta dengan Vision dan ia adalah punca mengapa Vision menyertai pihak baik. Mereka kemudian dikurniakan dua orang anak iaitu Thomas dan William. 

Rujukan :

1. Ranker

2. Geeks Media



Hakcipta iluminasi.com (2017)