Stonehenge merupakan antara monumen sejarah paling popular di dunia. Ianya adalah susunan batu-batu besar yang membentuk sebuah bulatan. Para sejarawan percaya binaan ini sudah wujud kira-kira 5000 tahun dahulu.

Monumen Stonehenge ini terletak di Wiltshire, England dan kini berada di bawah pemilikan kerajaan British sejak tahun 1918. Stonehenge dan kawasan sekitarnya juga telah diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia pada taun 1986.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kajian arkeologi di tapak ini menunjukkan bahawa struktur monumen ini juga berubah-ubah mengikut peredaran zaman. Hal ini kerana tapak ini sudah banyak kali dibina semula oleh pelbagai generasi dahulu kala. Malah, ketinggian binaan juga dikatakan semakin berkurang akibat daripada kesan mendapan tanah.

Misteri pembinaan Stonehenge

batu stonehenge

Fungsi binaan Stonehenge dan caranya dibina juga telah mencetuskan pelbagai misteri. Batu-batu yang disusun disini juga sangat besar. Dengan tinggi sekitar 4 meter dan berat 20 hingga 40 tan, ianya seolah-olah amat mustahil binaan tersebut dibina oleh manusia.

Malah, ada teori yang mendakwa seolah-olah ada kuasa mistik yang membantu manusia pada zaman dahulu membina monumen ini. Menariknya, kajian yang dibuat mendapati bahawa batu-batu ini dipindahkan manusia daripada kuari yang terletak sejauh 32km daripada kawasan ini.

fungsi stonehenge 986

Ahli sejarawan ini berbeza pendapat mengenai fungsi pembinaan Stonehenge ini. Antara teori popular adalah monumen ini dahulunya digunakan sebagai tempat amalan ritual dan penyembuhan. Selain itu, ada juga pendapat mengatakan susunan batu ini dahulunya dijadikan tempat mengkaji bintang.

Kajian yang dibuat juga menunjukkan bahawa kawasan Stonehenge ini dahulunya merupakan tempat pengkebumian. Pakar sejarah menganggarkan terdapat kira-kira 200 orang mayat yang telah dikebumikan di kawasan ini. Walau bagaimanapun, mereka masih belum dapat merungkai persoalan mengapa tempat ini dijadikan tempat pengkebumian.

Kisah lelongan Stonehenge

cecil chubb

Walaupun kini Stonehenge sudah diletakkan dibawah kerajaan Monarki British, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pemilikan kawasan ini sudah banyak kali bertukar tangan individu persendirian sehinggalah ia dibeli oleh Cecil Chubb dalam sebuah lelongan pada tahun 1915.

Pada tahun 1914, pemilik kawasan ini telah terbunuh semasa Perang Dunia Pertama. Akibatnya, kawasan ini terpaksa dilelong secara terbuka. Ramai pihak menyangka jutawan daripada Amerika Syarikat akan membeli Stonehange dan memindahkan segala batu-batu ini ke Amerika Syarikat.

Tiba-tiba, seorang individu bernama Cecil Chubb telah menjadi penyelamat dengan membeli Stonehenge dalam lelongan tersebut. Ketika itu, beliau telah membayar sekitar £6,600 untuk membeli Stonehenge. Dalam nilai sekarang, jumlah tersebut bersamaan kira-kira $875,000 atau RM 3.6 juta.

pelancong stonehenge

Lahir di Shrewton, iaitu kira-kira 6.5km daripada Stonehenge, Cecil Chubb telah dianggap penyelamat Stonehenge daripada dibeli orang luar. Walau bagaimanapun, tiada siapa yang benar-benar pasti tujuan beliau membeli Stonehenge. Ada yang berpendapat bahawa beliau membeli binaan tersebut sebagai hadiah kepada isterinya.

Walau bagaimanapun, ramai yang beranggapan beliau sebenarnya hanya ingin menyelamatkan monumen daripada dibeli oleh orang Amerika Syarikat. Pendapat ini dikuatkan lagi dengan tindakan Cecil Chubb mendermakan kawasan ini kepada kerajaanm 3 tahun kemudian. Ini bermana beliau merupakan pemilik swasta terakhir yang memiliki kawasan ini sebelum ianya diserahkan kepada kerajaan.

Apabila menyerahkan kawasan ini kepada kerajaan, beliau juga telah menetapkan syarat bahawa kawasan ini mestilah dibuka untuk kunjungan orang awam. Bagi menghargainya jasanya, kerajaan juga telah menghadiahkannya pingat penghormatan Baronet yang membawa gelaran Sir. Beliau adalah penerima pertama pingat penghormatan tersebut.

Kredit:

  1. English Heritage
  2. WikiPedia
  3. Nat Geo Kids



Hakcipta iluminasi.com (2017)