Sebagai orang kebanyakan, kita mengharapkan sistem keadilan yang dibentuk oleh mahkamah, polis dan pengamal undang-undang dapat melindungi diri kita daripada risiko didakwa atas sesuatu yang tidak kita lakukan.
Bagaimanapun, manusia tidak pernah lepas lari dari membuat kesilapan sehinggakan ada individu terpaksa menanggung beban yang berat dihukum tanpa benar-benar terlibat dengan jenayah seperti yang didakwa.
BESARKAN TEKS A- A+
Salah satu kes paling unik dan masih berjalan ketika artikel ini ditulis melibatkan seorang lelaki bernama Clarence Moses-EL yang didapati bersalah atas tuduhan rogol sehingga memenjarakan dia selama 28 tahun.
Uniknya kes ini? Dia dibuktikan bersalah merogol berdasarkan mimpi mangsanya!
Kisah lama insiden 'rogol' tahun 1987
Pada 16 Ogos 1987, seorang wanita berusia 23 tahun yang identitinya dirahsiakan sehingga kini (kami gelarkan dia 'Wanita A' sajalah) pulang ke rumahnya selepas selesai minum minuman keras bersama dua orang lelaki lain, sebelum pulang tidak sedarkan diri.
Wanita A terjaga menyedari ada seorang lelaki sedang cuba merogolnya, berjaya melakukan perbuatan terkutuk di depan dan di belakang. A cuba meronta-ronta tetapi kudratnya terhad. Dia diheret ke tingkat atas rumah sendiri, kembali diperkosa lalu dibelasah beberapa kali di bahagian wajah.
Selepas penyerangnya melarikan diri, A berjalan ke rumah adiknya yang terletak berdekatan bagi mendapatkan bantuan menghubungi pasukan keselamatan. Polis dan ambulans hadir mendapatkan keterangan memandunya ke hospital; serangan itu mengakibatkan tengkoraknya retak dan sebelah matanya rosak.
Dalam keterangan yang diambil polis, A menyifatkan dia gagal mengenalpasti penyerangnya disebabkan suasana gelap tetapi tahu penyerangnya juga berkulit hitam dengan rambut ikal.
Sehari mendapat rawatan - A yang pada ketika itu berada di bawah pengaruh ubat, mengalami mimpi di mana dia mengalami sekali lagi insiden rogol yang dilaluinya tetapi kali ini berbeza; A berjaya melihat wajah penyerangnya itu.
Dia adalah seorang lelaki yang A kenali tinggal dalam kejiranannya, bernama Clarence Moses-EL ketika itu berusia 31 tahun.
'Fakta' itu memberikan polis 'panduan' pertama mereka menyelesaikan kes!
Polis bertindak berdasarkan petunjuk mimpi
Polis tidak menunggu lama untuk memberkas Clarence yang terpinga-pinga dituduh merogol. Dia menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu, mengaku dirinya tidak bersalah.
Walaupun begitu keterangan Wanita A dia dapat mengenalpasti Clarence serta pengakuan dia mampu melihat Clarence semasa diheret ke tingkat atas, meletakkan Clarence dalam sudut yang sangat sukar.
Berdasarkan kepada pengakuan mangsa serta ilham dari mimpi yang direkodkan secara rasmi sebagai petunjuk, Clarence didakwa atas dakwaan melakukan serangan seksual, serangan peringkat kedua (second degree assault) dan pecah rumah.
Bukti DNA hasil daripada sampel air mani yang diambil dari faraj Wanita A tidak berjaya mengenalpasti siapakah penyerangnya, tetapi pihak mahkamah membenarkan pandangan mangsa diguna pakai.
Hasil perbicaraan selama lebih seminggu, pada 7 April 1988 Clarence Moses-EL didapati bersalah atas semua pertuduhan, disabitkan hukuman penjara 48 tahun keseluruhannya.
Meringkuk dalam penjara, Clarence berjaya mengumpul dana sebanyak $1,000 hasil sumbangan banduan lain bagi membolehkan permohonan mahkamah untuk membenarkan pemeriksaan DNA dijalankan semula.
Entah apa konspirasi atau sebabnya - pihak polis Colorado terlalu tergesa-gesa melupuskan kesemua bukti yang boleh digunakan dalam ujian DNA yang mahu dijalankan. Kesemua bukti kes seperti kit ujian, sampel, cadar katil dan beberapa bukti fizikal lain dibuang mengakibatkan Clarence hilang cara untuk membersihkan namanya.
Dia cuba mencabar tindakan pelupusan bahan bukti polis Colorado itu di mahkamah namun gagal selepas kertas cabarannya diketepikan.
Perogol sebenar terus bebas sebelum ditangkap
LC Jackson merupakan salah seorang lelaki kenalan kepada Wanita A yang turut sama mabuk pada malam kejadian.
Selepas Jackson menghantar Wanita A ke rumahnya, kedua-duanya dikatakan bersetuju untuk melakukan hubungan seks separa sedar sebelum Jackson yang masih khayal, menyerang wajah A beberapa kali sebelum beredar.
Mengetahui ada individu lain didakwa atas jenayah yang dia lakukan, Jackson memilih untuk berdiam diri terus hidup seperti biasa.
Sehinggalah dalam kes perbicaraan lain yang berlangsung pada tahun 2005, Jackson disabitkan ke atas dakwaan melakukan serangan seksual kepada seorang wanita lain pada tahun 1992, 13 tahun sebelum itu.
Kes itu membuka beberapa hujah baru dalam kes Clarence lawan Wanita A.
LC Jackson tinggal tidak jauh daripada rumah Wanita A serta lebih menyerupai sifat penyerang yang telah disebutkan dalam kes berbanding Clarence.
Mengetahui tentang fakta-fakta ini, Clarence melakukan rayuan agar mahkamah membuka semula kes sabitannya disebabkan petunjuk yang baru ditemui. Rayuannya disokong oleh kecenderungan LC Jackson melakukan jenayah seksual secara bersiri, kerap terlibat dalam modus operandi sama.
Bagaimanapun rayuan Clarence tidak diendahkan oleh mahkamah. Sehinggalah pada satu hari dalam tahun 2012, LC Jackson sendiri menghubungi Clarence melalui surat meminta agar Clarence mengaturkan pertemuan dengan wakil pihak Clarence di penjara dia ditempatkan.
Jackson ketika itu baru saja meringkuk dalam penjara selama 7 tahun sementara bagi Clarence pula - dia sudah hilang kebebasan selama 24 tahun.
Ada sinar di hujung jalan
Mungkin insaf atas perbuatan serta hukuman yang dihadapi, LC Jackson menceritakan segala-galanya yang telah dia lakukan terhadap Wanita A, kepada peguam yang mewakili Clarence.
Selepas bukti-bukti baru ini disahkan oleh pejabat peguam Denver, mahkamah membuka kembali perbicaraan terhadap kes Clarence berdasarkan pengakuan penuh Jackson tentang apa yang berlaku awal pagi 16 Ogos 1987.
Permohonan Clarence untuk perbicaraan semula diluluskan pada awal tahun 2015. Pada bulan Disember 2015 berdasarkan kesemua hujah baru berkait LC Jackson sendiri selaku penyerang dan teman wanitanya sebagai saksi - perbicaraan semula kes itu dimulakan.
Wanita A kembali menjadi saksi utama perbicaraan, sekali lagi mengulangi dakwaan bahawa dia gagal mengenalpasti penyerangnya selepas insiden dan berjaya mengenal Clarence selepas mimpi yang dialaminya.
Hasil ujian DNA yang dijalankan secara lebih teliti dalam perbicaraan itu mendapati mustahil Clarence terlibat dalam kejadian; membersihkan namanya secara mutlak berdasarkan perbezaan antigen DNA yang sangat ketara.
Namun LC Jackson menarik diri daripada menjadi saksi perbicaraan tersebut, enggan mengeluarkan kenyataan yang boleh mensabitkan dirinya sendiri di mahkamah.
Ekoran daripada bukti-bukti baru yang didedahkan, akhirnya Clarence Moses-EL dibuktikan tidak berada di tempat kejadian semasa serangan dilakukan. Semua sabitan yang jatuh pada tahun 1988 ditarik balik dan Clarence bebas dari semua pertuduhan selepas hilang usia mudanya di balik tirai besi.
28 tahun hidup hilang kerana mimpi seorang wanita
Selepas dibebaskan Clarence Moses -EL mengambil langkah drastik melakukan petisyen, bagi menuntut ganti rugi ke atas kebebasannya yang telah diragut.
Dia bernasib baik kerajaan tempatan Colorado baru saja meluluskan satu akta undang-undang pada tahun 2013, membolehkan mana-mana individu yang dipenjarakan atas kesalahan yang dibuktikan tidak berlaku untuk menuntut ganti rugi.
Petisyen yang dibuat sebagai tuntutan ganti rugi itu diterima pihak mahkamah pada bulan Februari tahun 2019, melayakkan Clarence menerima $70,000 (RM285,000) untuk setiap satu tahun penjara yang telah dijalani.
Kiraan itu membolehkan Clarence menerima bayaran pampasan sekitar $2.3 juta atau RM9.33 juta akibat perlu meringkuk di penjara, diumumkan pada 16 Februari 2019.
Kisah ini tidak tamat di situ!
Sehari selepas pengumuman jumlah pampasan yang bakal diterima Clarence, Wanita A melakukan permohonan mahkamah untuk menghalang pembayaran daripada dilakukan kepada Clarence. Mangsa kejadian masih percaya Clarence yang menyerangnya pada malam tersebut - walaupun semua bukti khasnya bukti DNA sudah pun menunjukkan sebaliknya.
Mahkamah menolak permohonan tersebut dan menganggap kes itu telah selesai. Setakat ini belum ada maklum balas dari pihak Wanita A terhadap keputusan mahkamah tersebut.
Rujukan