tiga pemuda melayu mangsa bom atom hiroshima abdul razak

Tepat jam 8.15 pagi pada tarikh 6 Ogos 1945 pesawat pengebom Enola Gay menjatuhkan bom atom di Hiroshima, mengakibatkan warga Jepun berhadapan situasi yang belum pernah dihadapi dalam sejarah tamadun manusia.

Letupan besar bersifat radioaktif menutupi hampir keseluruhan bandar tersebut. Bangunan ranap akibat letupan. Mereka yang merasai impak penuh letupan terkorban di mana mereka berdiri hanya meninggalkan kesan bayangan mereka atas tanah.

Mereka yang terselamat dihujani hujan bercecair hitam beberapa minit selepas letupan, mengakibatkan ramai pada waktu itu juga mengalami masalah demam panas, muntah-muntah dan cirit-birit.

Di tengah-tengah semua kekecohan ini, ada tiga orang pemuda Melayu tidak bernasib baik melalui pengalaman yang harapnya tidak perlu dirasai orang lain.

Tiga sahabat yang merantau jauh

anak melayu yang berhadapan bom atom jepun

Abdul Razak Abdul Hamid (kanan) menjadi antara pelajar yang bertuah di kalangan ribuan pelajar di Tanah Melayu, mendapat tajaan biasiswa kerajaan Jepun ketika Jepun menguasai Tanah Melayu.

Ekoran daripada penyertaan Jepun dalam perang dunia kedua, persediaan lebih awal untuk pelajar-pelajar yang terpilih telahpun disediakan kerajaan Jepun. Semua pelajar luar negara sudah dilatih prosedur dalam mempersiapkan diri mereka sekiranya Jepun berhadapan ancaman bom.

Abdul Razak selamat menjalani latihan semasa menuntut di Kokusai Gakuyukai, Tokyo atau 'Institut Pelajar Antarabangsa' yang menyediakan kursus persediaan bagi semua pelajar luar belajar di Jepun dalam semua aspek termasuklah situasi kecemasan.

Semua pelajar di ajar untuk mendengar dan meneliti bunyi semboyan udara yang akan dipasang, sebagai indikator terawal amaran kecemasan bakal berlangsung. Pelajar turut dilatih bergerak dalam keadaan teratur masuk ke dalam lubang-lubang perlindungan, yang telah dibina kerajaan Jepun di lokasi mereka belajar.

Namun jatuhan bom atom Hiroshima berlaku tanpa sebarang amaran kepada mereka semua - tidak ada bunyi semboyan atau sebarang tanda amaran sempat dikeluarkan ekoran taktik tentera Amerika Syarikat.

Peluang belajar di luar negara

buku biografi razak sensesi

Baru berusia 19 tahun ketika kejadian, anak muda kelahiran Pulau Pinang itu menjadi antara kumpulan kecil pelajar Tanah Melayu mendapat tajaan pendidikan dalam kursus ijazah di Jepun; berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di Universiti Hiroshima Bunn.

Abdul Razak rapat dengan dua sahabatnya, Nik Yusof Nik Ali, seorang pelajar senior yang telah pun memulakan pengajian lebih awal dan berasal dari Kelantan, serta seorang lagi rakannya Syed Omar Mohamad Alsagoff, seorang pemuda dari Johor.

Nik Yusof bertuah menjadi kumpulan pertama pelajar dari Tanah Melayu dalam kumpulan seramai 13 orang, yang ditawarkan peluang pendidikan di Jepun menerusi program khas kelolaan kerajaan Jepun.

Hiroshima merupakan sebuah bandar yang tenang walaupun sering berdepan situasi mencemaskan apabila semboyan udara dibunyikan, memaksa kesemua individu yang ada menyorok. Pengalaman belajar di Hiroshima merupakan satu pengalaman baru bagi mereka bertiga.

Ketiga-tiganya pernah duduk berbincang berkenaan risiko Hiroshima dibom tentera Amerika Syarikat, kerana pesawat B-29 milik tentera Amerika Syarikat seringkali terbang di langit Hiroshima tanpa melakukan apa-apa tindakan susulan.

Namun mereka berpandangan risiko untuk berhadapan situasi mencemaskan berkemungkinan besar tidak akan berlaku di situ.

Suasana mula berubah selepas sebuah pesawat tentera Amerika Syarikat menjatuhkan beribu-ribu keping kertas berisi amaran mengugut Jepun akan dimusnahkan sekiranya kerajaan Jepun enggan menyerah kalah.

Abdul Razak dan sahabatnya mula berasa bimbang tentang situasi mereka selepas itu. Syed Omar pula berseloroh berkenaan perkara tersebut, mengandaikan Amerika Syarikat telah kehabisan bom untuk digugurkan.

Sepanjang awal pagi 6 Ogos 1945, pihak berkuasa Jepun telah beberapa kali memberikan amaran semboyan udara memaksa majoriti penduduk Hiroshima berjaga sepanjang waktu malam menyorok di lubang-lubang perlindungan, bagi menyelamatkan diri dari ancaman yang akhirnya tidak hadir.

Hampir pukul 8 pagi, sekali lagi semboyan berbunyi memaksa kesemua orang menyelamatkan diri. Tiada apa berlaku dan kebenaran untuk keluar diberikan jadi tiada siapa menyangka 15 minit kemudian serangan benar-benar berlaku.

Letupan yang hadir 43 saat selepas bom itu dijatuhkan pada mulanya disangkakan Abdul Razak kilat gergasi yang menyambar. Tiba-tiba bumi bergegar dan Abdul Razak yang pada ketika itu sedang berada dalam kelas, hilang kesedaran diri.

Kali terakhir bertemu Nik Yusof

hiroshima selepas letupan bom atom

Tersedar, Abdul Razak terhuyung hayang cuba berdiri diselubungi jeritan orang ramai yang kelam kabut menyelamatkan diri. Dia serta rakan dan gurunya terselamat, namun bangunan yang mereka duduki sebahagian besarnya musnah.

Orang ramai yang tidak bernasib baik cedera menampakkan tubuh mereka mula bengkak-bengkak di bahagian wajah serta kulit. Ada juga yang tiada kulit terus nampak isinya.

Pensyarahnya mengarahkan Abdul Razak untuk segera ke blok asrama namun kebakaran yang marak menyukarkan usahanya. Di sinilah dia terserempak dengan Nik Yusof bersama dengan seorang petugas warden asrama baru saja berjaya keluar daripada runtuhan.

Nik Yusof yang pada ketika itu masih terkejut meyakinkan Abdul Razak dia selamat, mengarahkan Abdul Razak untuk cuba membantu menyelamatkan yang lain. Abdul Razak meneruskan pencarian, menemui Syed Omar yang masih bingung merenung ke luar memerhatikan perubahan yang berlaku sekelip mata.

Hilang arah disebabkan oleh kebakaran marak, beliau beserta beberapa pelajar lain membentuk kumpulan 13 orang berjaya mendapatkan sebuah rakit kecil. Rakit kecil itu membawa mereka yang berpaut padanya sepanjang sungai, sehinggalah mereka sampai ke satu tapak yang dirasakan selamat menunggu api padam.

Tragedi tidak tamat begitu saja. 

Abdul Razak terpaksa menyaksikan sendiri beberapa orang yang cedera meninggal dunia selepas meminum air yang dicedok dari sungai, hasil pemberian tangannya sendiri. Bimbang kejadian sama berulang, mereka sepakat memilih untuk melawan rasa haus dan sakit yang hadir, menunggu sahaja bantuan tiba.

Hanya pada keesokan harinya petugas perubatan Jepun mula hadir menghulurkan bantuan.

Abdul Razak cuba menemui Nik Yusof yang tidak kelihatan di kawasan universiti, jadi dia memulakan perjalanan ke hospital mencari sahabatnya itu. Sepanjang perjalanan, situasi korban yang disaksikannya sangat sukar untuk digambarkan.

Orang ramai mundar-mandir dalam keadaan tidak terurus. Mayat bergelimpangan. Pekan Hiroshima yang sebelum itu penuh dengan aktiviti manusia senyap sunyi hanya dipenuhi tangisan mereka yang meratapi apa dah berlaku.

Tiba di hospital, mangsa-mangsa letupan hadir beramai-ramai dalam keadaan tubuh yang bengkak dengan rambut kebanyakannya gugur. Mayat bergelimpangan penuh kesan lecuran terbakar terpaksa dibiarkan tidak berteman.

Namun Nik Yusof tidak berjaya ditemui.

Nasib dua sahabat yang berbeza

batu nisan pusara nik yusof

Tiada siapa tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada Nik Yusof.

Apa yang kita tahu berdasarkan laporan, ada saksi melihat individu dipercayai Nik Yusof berjalan di sebuah stesen pada pagi 7 Ogos, merayu bantuan untuk seorang lagi individu dipercayai adiknya. Salah seorang saksi membantu memberikan Nik Yusof air minum.

Wajah Nik Yusof ketika itu dikatakan sudah membengkak bertukar kehitam-hitaman hasil radiasi sebelum ditemui meninggal dunia berdekatan sebuah stesen keretapi. Dia bernasib baik baju yang dipakainya mempunyai tanda nama.

Dalam rekod rasmi, tubuh Nik Yusof selamat diurus dan dibakar bagi tujuan penyemadian, diletakkan dalam kotak sebelum diserahkan kepada ketua sebuah tokong selepas tiada pihak hadir menuntutnya.

Abu Nik Yusof disemadaikan di sebauah tokong agama Shinto bernama Tokong Kouzen, kekal sehingga ke hari ini.

Hasil usaha pengurusan tokong itu, telahpun dibina batu tanda bercorak Islam sebagai penanda pusara Allahyarham pada tahun 1964 selepas beberapa orang wakil tokong melakukan lawatan di kalangan komuniti Muslim Jepun, bagi mengenalpasti rupa bentuk nisan masyarakat Muslim.

Syed Omar Mohamad Alsagoff yang terselamat dalam letupan pula mula menampakkan kesan-kesan radiasi ke atas dirinya, hampir 3 minggu selepas letupan berlaku.

Dia tiba-tiba mengadu rasa sejuk semasa menaiki keretapi bersama Abdul Razak dalam perjalanan ke Tokyo pada 25 Ogos 1945, bagi mendapatkan rawatan yang disediakan kerajaan Jepun untuk semua pelajar asing mangsa letupan bom atom.

Mungkin menyedari usianya semakin hampir ke penghujung, Syed Omar memilih untuk turun di Kyoto bagi menemui seorang rakannya membiarkan Abdul Razak ke Tokyo seorangan mengharungi perjalanan lebih 5 hari.

Situasi yang bertambah buruk di Kyoto memaksa Syed Omar dikejarkan ke hospital.

Usaha untuk menyelamatkan beliau menerusi pertukaran darah tidak berhasil akibat keracunan darah yang sudah melarat. Syed Omar meninggal dunia pada 5 September 1945, hampir sebulan selepas tragedi bom atom Hiroshima.

Usia panjang Abdul Razak

abdul razak abdul hamid mangsa letupan bom atom hiroshima

Berbeza dengan dua sahabatnya, Abdul Razak lebih bernasib baik.

Dia selamat menjalani rawatan susulan setiap hari bagi mengukur tahap radiasi dalam tubuhnya, selain perlu disuntik bagi membantu menaikkan kadar sel darah putih dalam tubuhnya. Rawatan itu berkesan sehinggalah dia diisytiharkan bebas radiasi.

Walau demikian pengajiannya terpaksa ditamatkan separuh jalan, memaksa Abdul Razak pulang ke tanah air menyambung pengajian di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan) dan akhirnya memenuhi impian beliau menjadi pendidik.

Pengalaman yang ditempuhi Abdul Razak membuka matanya terhadap rasa hormat masyarakat Jepun terhadap orang luar sepertinya.

Kebolehan beliau dalam bidang pengajian dan bahasa Jepun melayakkan beliau diangkat sebagai seorang profesor, sebelum beliau mula dipancing kerajaan Malaysia untuk menjadi salah seorang penggerak utama Dasar Pandang ke Timur kerajaan pada dekad 80-an.

Perlantikan ini menjadikan beliau individu paling berpengaruh dalam negara kita mempopularkan budaya dan hubungan dengan masyarakat Jepun serta menjadi jambatan hubungan antara kerjasama kerajaan Malaysia dan Jepun.

Ekoran sumbangan beliau sebagai pengerusi dasar tersebut serta kejayaanmerapatkan hubungan di antara Malaysia dan Jepun, Abdul Razak dianugerahkan Anugerah Khas kerajaan Jepun pada tahun 1995.

Pada bulan Februari 2013, Universiti Hiroshima menganugerahkan ijazah kehormat kepada beliau beserta dua lagi individu dari Brunei dan Indonesia yang turut sama terselamat dalam letupan tersebut menempuhi nasib serupa, tidak sempat menghabiskan pendidikan mereka.

5 bulan selepas itu tanggal 18 Julai 2013, Abdul Razak Abdul Hamid meninggal dunia di sisi keluarganya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Kuala Lumpur.

Sehingga kini, nama 'Razak-sensei' akan terus dikenang salah seorang tokoh yang menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia; sebagai seorang yang cekal dan tabah menghadapi dugaan untuk terus hidup, berhadapan dengan tragedi yang diharapkan tidak lagi diulangi sesiapa pun.

Rujukan

The curse of Enola Gay (PDF)

Former Southeast Asian Special Student from Malaysia keeps an eye on Hiroshima

Group in Kyoto to keep memories of Malay A-bomb victim alive



Hakcipta iluminasi.com (2017)