Kita selalu disajikan dengan kisah kepahlawanan pasukan tentera bukan setakat melalui kisah-kisah sejarah tetapi juga melalui media-media yang kerap mengangkat sesuatu watak sebagai perwira.

Bagaimanapun, kebiasaannya watak dalam media seperti filem atau buku cerita berbeza dengan realiti yang dapat kita dengari. Namun bagi kisah Audie Murphy, sila ubah jangkaan anda. Kisah Audie memang cukup luar biasa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Latar belakang Audie Murphy

audie semasa muda

Audie Leon Murphy lahir pada 20 Jun 1925 di Hunt County, Texas. Masalah rumahtangga membuatkan ayahnya meninggalkan mereka sehinggakan ibunya sendirian menjaga Audie dan 11 lagi adik beradiknya. Ketika itu, Audie baru berumur 15 tahun.

Ketiadaan ayah memaksa Audie yang sudah remaja mencari jalan menyara keluarga dibantu emaknya, namun takdir tidak menyebelahi keluarga mereka. Ibu Audie meninggal setahun selepas ditinggalkan ayah kandung mereka. Bagi memberi makan adik-beradiknya, Audie belajar memburu haiwan di hutan bagi mendapatkan daging dijadikan makanan.

Audie cuba menyertai tentera selepas tentera Jepun mengebom Pearl Harbor pada tahun 1941. Namun faktor usia yang pada ketika itu baru masuk 16 tahun membuatkan permohonannya tidak berjaya. Tubuh badan Audie yang hanya mempunyai ketinggian 1.66 meter serta berat sebanyak 45kg juga menjadi faktor penyebab kerjaya sebagai tentera bukan untuknya.

Audie berusaha meningkatkan berat beliau. Setahun kemudian dia mencuba lagi dengan berat badan 50.8kg dan pengakuan palsu kakaknya yang menyatakan dia sudah berumur 18 tahun. Permohonan Audie diterima dan menjalani latihan di Amerika Syarikat sebelum ditugaskan untuk menggempur musuh di Pulau Sicily, pulau terbesar lautan Meditteranean, Itali.

Askar berkeupayaan luar biasa

audie murphy menyertai askar

Melalui banyak pertempuran di Itali, Audie berjaya dalam kebanyakan misinya bermula pada bulan Februari 1943. Bermula hanya sebagai seorang penghantar mesej, kejayaannya dalam banyak misi membolehkan Audie dinaikkan pangkat daripada seorang prebet biasa kepada seorang sarjan platun. Dia kemudiannya menamatkan tugas di Itali pada bulan Julai 1944.

Kisah legenda Audie mula menjadi terkenal selepas dia mula bertugas di Perancis. Dalam satu serangan hendap tentera Jerman ketika pasukannya melalui sebuah kawasan ladang, pasukannya menyerang balik namun ditipu oleh tentera Jerman yang berlakon menyerah diri.

Rakan karibnya yang mendekati askar Jerman itu ditembak mati menyebabkan Audie mengamuk, menyerang kumpulan askar itu seorang diri. Dia berjaya membunuh 6 orang askar, mencederakan 2 orang serta menawan 11 orang tawanan perang.

Dalam satu pertempuran untuk mengawal kawasan kuari bernama L'Omet yang dikawal tentera Jerman bersenjatakan senjata berat, Audie merangkak seorang diri cuba menghampiri tentera yang menembak ke arah pasukannya. Dia berjaya membaling dua bom tangan yang membolehkan pasukannya mara menyerbu sementara pasukannya berjaya menyelinap masuk tanpa disedari.

Berdiri di atas kereta kebal yang dijilat api

adegan dalam filem

Legenda Audie tersebar luas dalam satu pertempuran di Holtzwihr, Peranics pada Januari 1945. Pasukannya yang ketika itu mengawal salah satu lokasi penting di situ, diserang oleh enam buah kereta kebal dan 250 orang anggota tentera yang mahu mengambil alih penguasaan kawasan tersebut.

Yakin pasukannya pasti akan gagal mempertahankan kedudukan mereka, Audie mengarahkan pasukannya untuk berundur ke kawasan hutan menyelamatkan diri. Dia cuba membalas tembakan namun peluru yang habis memaksanya sama berundur. Namun Audie terlihat ada senapang .50 kaliber di atas sebuah kereta kebal yang sedang terbakar.

Menyedari risiko yang bakal mereka tanggung sekiranya lokasi tersebut dikuasai Jerman, Audie nekad melompat naik ke atas kereta kebal yang sedang marak apinya dan berjaya mempertahankan kedudukannya menggunakan senjata yang dipasang di atas kereta kebal tersebut.

Dalam pertempuran seorang diri selama lebih satu jam, Audie berjaya menghalang kemaraan 6 kereta kebal Jerman dan beberapa kumpulan askar yang cuba menyusup masuk namun Audie cedera teruk dalam peperangan itu selepas kakinya terkena tembakan. Kehabisan peluru, Audie menoleh ke belakang lalu berjalan perlahan-lahan ke hutan tanpa menghiraukan lagi musuh di belakang yang cuba menembaknya.

Berikutan tindakan nekad Audie sebelum itu yang berjaya membunuh lebih 50 orang tentera Jerman, pasukannya berkumpul semula dan mereka melancarkan serangan balas yang berjaya membuatkan kemaraan tentera Jerman tersekat, ketika kaki Audie masih cedera.

Atas tindakan nekad/gila inilah Audie dianugerahkan Medal of Honor, anugerah tertinggi yang dianugerahkan kepada individu yang berkhidmat dalam tentera. Pada 16 Februari, Audie dinaikkan pangkat kepada Liutenan Pertama dan dipanggil balik untuk berkhidmat sebagai Pegawai Hubungan di negaranya pada usia 20 tahun.

Karier lakonan Audie Murphy

filem audie murphy

Selepas kembali ke tanah air, Audie mula mencuba nasib menjadi seorang pelakon. Bagaimanapun, kesan psikologi menghadapi perang menyebabkan Audie mengalami sindrom trauma yang mengganggu hidupnya.

Dia mula tidur dengan senapang di sisinya dan ada kalanya menembak tanpa sengaja semasa terjaga dari tidur, menakutkan individu-individu lain yang perlu berada sebilik dengannnya. Walaupun begitu, kariernya sebagai pelakon mula menempa kejayaan selepas terpilih membintangi sebuah filem berjudul 'Bad Boy' pada tahun 1949.

Selepas itu, dia menulis sendiri autobiografi beliau berkenaan pengalaman yang telah dilaluinya semasa perang dalam judul 'To Hell and Back' sebelum membintangi adaptasi bukunya pada tahun 1955. Filem yang dibintanginya menjadi filem paling tinggi kutipan bagi penerbit Universal sebelum filem 'Jaws' memecahkan rekod kutipan pada tahun 1975.

Sepanjang karier sebagai pelakon filem, Audie membintangi lebih 44 buah filem serta sebuah siri televisyen 26 episod yang dibatalkan, selepas dikhuatiri terlalu ganas untuk televisyen.

Trauma perang menghantui Audie

brush mountain kawasan monumen

Walaupun mempunyai karier yang berjaya dalam industri hiburan, Audie tetap berdepan masalah psikologi. Hidupnya bergantung dengan pil tidur yang menyebabkan beliau ketagihan.

Menyedari masalah yang bakal dihadapinya, Audie nekad mengunci dirinya dalam sebuah motel selama seminggu untuk menghilangkan ketagihan yang dialaminya serta memperbetulkan tahap psikologinya. Hasilnya, Audie keluar daripada motel itu seperti seorang individu baru, tidak lagi mengalami masalah ketagihan serta mula terbuka untuk berbicara berkenaan perasaan yang menghantui beliau akibat perang sebelum itu.

Pada 28 Mei 1971, ketika menaiki sebuah kapal terbang yang disewa atas urusan perniagaan, Audie dan 4 orang lagi penumpang berdepan cuaca yang buruk menyebabkan penglihatan juruterbang terganggu. Kapal terbang yang mereka naiki terhempas di sebuah kawasan di Pergunungan Brush, berdekatan daerah Blacksburg. Semua penumpang terkorban dalam insiden tersebut dan Audie yang ketika itu berumur 45 tahun, meninggal dunia.

Bagi menghormati jasa Audie Murphy pada Amerika Syarikat, sebuah monumen memperingati beliau di bina di kawasan terhempasnya kapal terbang tersebut. Jasadnya disemadikan di kawasan perkuburan Arlington, kawasan yang sama di mana bekas Presiden Amerika Syarikat, Presiden John F.Kennedy disemadikan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)