Pada tahun 1907, wujud keperluan yang besar di Amerika untuk perkhidmatan penghantaran mesej dan barangan.

Melihat keperluan yang ada mewujudkan peluang perniagaan, James Casey atau Jim yang senantiasa cuba menghidu peluang untuk memulakan perniagaan, memberanikan diri meminjam $100 daripada rakannya bagi menubuhkan syarikat perkhidmatan penghantaran.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Syarikat itu dinamakan American Messenger Company, dimulakan di Seattle dengan menggunakan modal tersebut.

Pernah bekerja dengan beberapa syarikat yang menawarkan perkhidmatan serupa, pengalaman yang dikumpul membuatkan Jim yakin mampu mengendalikan perniagaan sendiri.

Memulakan operasi dengan keuntungan minima

pejabat ups pada zaman permulaan

Jim bekerjasama dengan rakan kongsi beliau yang bernama Claude Ryan, memulakan operasi di sebuah pejabat kecil bawah tanah yang menjadi laluan orang ramai.

Jim dan Claude bertindak sebagai pengurus di pejabat, sementara adiknya sendiri George Casey sertabeberapa orang remaja lain diupah untuk ke sana ke mari menguruskan penghantaran.

Bagi menarik pelanggan ekoran persaingan yang ada, Jim menggunakan model perniagaan yang tiada kompromi; mereka mesti menawarkan harga murah dan servis terbaik yang dijadikan motto American Messenger Company.

Sistem telekomunikasi ketika itu yang masih menggunakan telegram membuatkan permintaan servis mereka bertambah, selain daripada pesanan penghantaran barangan, makanan dan juga bermacam pakej berbeza.

Oleh kerana ketiadaan kenderaan pada waktu tersebut kerana kenderaan baru saja diperkenalkan yang memerlukan kos yang tinggi, penghantar American Messenger Company melakukan tugas dengan berjalan kaki atau menggunakan basikal.

Ini mengehadkan saiz barangan yang mampu mereka uruskan. Jadi mereka perlu mencari jalan mengatasi masalah ini.

Penubuhan Merchants Parcel Delivery

setem pra pembayaran

Setelah beroperasi lebih enam tahun, American Messenger Company mula merasakan perlunya perubahan pada model perniagaan mereka.

Kewujudan teknologi yang semakin pesat berkembang seperti kenderaan dan telefon menyebabkan keperluan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan mereka menurun; Telegram kini sudah tidak lagi popular seperti biasa.

Menyedari perlunya penambahbaikan format perniagaan, Jim bertindak menggabungkan syarikatnya dengan sebuah syarikat pesaing Motorcycle Delivery Company milik seorang ahli perniagaan bernama Evert McCabe atau digelarkan Mac, merupakan syarikat penghantaran pertama di kawasan itu yang menggunakan motosikal.

Idea untuk menggabungkan kedua-dua operasi mereka datang daripada Jim dan Claude, yang mahu mereka bekerjasama menguruskan penghantaran untuk pasaraya-pasaraya yang menjual barangan di Seattle.

Setelah perbincangan panjang, kedua-dua pihak bersetuju, memerlukan Jim dan Claude berpindah ke pejabat Mac yang terletak di Union Court menyatukan operasi kedua syarikat.

Dengan penggabungan itu, Merchants Parcel Delivery tertubuh berfokuskan kepada urusan penghantaran pakej pasaraya yang ada di Seattle, dengan tenaga kerja bermotosikal seramai 25 orang penghantar.

Mac McCabe dilantik sebagai Presiden pertama Merchants Parcel Delivery dan mereka mula berkhidmat dengan slogan baru; "We Cover Seattle."

Permulaan menggunakan kereta

kereta pertama ups

Masalah penghantaran kerap dihadapi kerana mereka masih menggunakan motosikal dan ini menyebabkan jumlah barangan yang mampu dibawa terhad, memerlukan penghantar berulang alik beberapa kali.

Bagi memudahkan urusan, mereka bertiga memutuskan untuk membeli sebuah kereta Ford Model T yang kemudiannya diubahsuai untuk tujuan penghantaran.

Kerangka kereta tersebut diubah dan dipasangkan badan van, membolehkan 'kereta' mereka itu mampu membawa 50 pakej serentak. Cat merah terang digunakan pada badan kereta tersebut dengan nama syarikat mereka tertera megah pada dinding kereta itu.

Dua tahun selepas membeli kereta pertama mereka - pada tahun 1915, Merchants Parcel Delivery berjaya memiliki empat kereta, lima motosikal dan 30 orang penghantar.

Syarikat mereka sudah menguasai perkhidmatan penghantaran di Seattle namun untuk membesarkan perniagaan, mereka memerlukan suntikan dana yang lebih besar bagi membeli lebih banyak kenderaan.

Pertemuan dengan Charlie Soderstrom

jim casey dan george casey

Ketika meninjau tentang kenderaan yang sesuai, Jim bertemu dengan Charlie Soderstrom, seorang peniaga dan pemandu yang mempunyai pengalaman luas tentang kereta.

Mendengar masalah Jim tentang perniagaannya, Charlie meletakkan dana $10,000 sebagai stok dan bersetuju untuk menjadi rakan kongsi Merchants Parcel Delivery secara rasmi pada tahun 1916.

Charlie adalah individu yang memberikan pengaruh paling besar pada tradisi syarikat itu yang masih diamalkan sehingga kini.

Merchants Parcel Delivery mula tidak takut untuk melabur dalam perkara yang paling penting untuk sebuah syarikat penghantaran - memperbaiki sistem pengangkutannya.

Charlie mula meletakkan kepentingan dalam pengurusan sistem 'fleet' mereka, di mana sistem diperkenalkan dalam memastikan semua kenderaan selalu diperiksa, dipastikan sentiasa bersi.

Charlie juga mewujudkan sistem protokol yang perlu diikuti setiap pemandu, dalam menyelenggara kenderaan gunaan penghantar.

Charlie juga adalah individu yang bertanggungjawab mengubah warna rasmi mereka kepada warna coklat yang kekal sebagai identiti mereka sehingga ke hari ini.

Idea pertukaran itu tercetus selepas perbincangan Charlie dengan seorang pelukis bernama Charles Place, yang memberikan idea untuk mereka menukar warna mereka.

Warna coklat yang digelarkan 'Pullman Brown' atau 'Coklat Pullman' didapati mampu kekal menonjolkan kenderaan mereka dalam apa jua jenis cuaca, baik terang, bersalji ataupun sedang malap.

Bangkit pelepas Perang Dunia Pertama

gambar lama ups dulu

Perang dunia pertama membawa masalah kepada Merchants Parcel Delivery.

Ramai pekerja mereka dipanggil bertugas dalam perang, termasuklah adik Jim iaitu George yang sudah lama berkhidmat.

Bagaimanapun disebalik duka ada sinar untuk mereka.

Keadaan sulit akibat peperangan dan kekurangan tenaga kerja yang mengganggu operasi pasaraya menyebabkan kebanyakan pasaraya yang selama ini menghantar barangan sendiri kepada pembeli, mula menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan Merchants Parcel Delivery bagi memenuhi permintaan.

Walaupun sedikit terjejas ekoran kekurangan tenaga kerja, Merchants Parcel Delivery terus menawarkan khidmat dengan apa cara sekalipun sewaktu perang melanda.

Hasilnya, selepas tamat Perang Dunia pertama, Merchants Parcel Delivery mula melakukan rombakan terbesar mereka.

Claude Ryan, rakan kongsi Jim sejak mula telah menarik diri daripada syarikat mereka. Tempat Claude digantikan oleh George yang pulang selepas menamatkan perkhidmatan mandatori tentera laut.

Bermula pada tahun 1919 - Jim Casey, George Casey, Every McCabe dan Charlie Sodenstrom menjadi rakan kongsi secara rasmi. Mereka mula merancang untuk melebarkan sayap ke Oakland di California.

Pada waktu tersebutlah Merchants Parcel Delivery ditukarkan namanya kepada United Parcel Service, yang kekal digunakan sehingga kini.

Tiba waktu persaraan

jim casey ups

Siapa sangka idea Jim untuk menubuhkan syarikat penghantaran pada usia remaja benar-benar berjaya.

Bermula dengan modal $100 di sebuah pejabat kecil yang terletak di bawah tanah dihiasi bising orang lalu lalang - UPS kini adalah sebuah syarikat bernilai lebih $80 billion dengan keuntungan bersih tahunan melebihi $50 billion.

Mempunyai cawangan di 200 buah negara, UPS merupakan syarikat penerbangan ke-9 terbesar dunia dengan keupayaan 268 buah pesawat - semuanya bermula dengan sebuah kereta!

Apa yang lebih membanggakan, UPS merupakan antara majikan paling pemurah dalam bab gaji; purata pemandu mereka dibayar sebanyak $69,500 setahun di Amerika Syarikat.

Jim berhenti berkhidmat dengan UPS pada tahun 1962 namun terus menjadi pemegang saham syarikat yang dibangunkannya.

Pada tahun 1983, beliau meninggal dunia akibat sakit tua, meninggalkan warisan kerja yang efisien dan tradisi sistem penghantaran barangan yang menjadi ikutan syarikat-syarikat lain.

Begitulah kisah bagaimana dua orang remaja memulakan sebuah syarikat gergasi dengan modal $100, berbekalkan visi untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat mereka pada awalnya sebelum berkembang ke seluruh pelusuk dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)