orang filipina dulu

Seandainya ditanya pada anda apakah agama rasmi majoriti rakyat Filipina, sudah pastilah ramai sudah mengetahui Filipina didominasi masyarakat Kristian Katolik walaupun secara rasminya Filipina merupakan sebuah negara sekular.

Dalam pendidikan sejarah Filipina sendiri kurang penekanan diberikan untuk menceritakan sejarah kedatangan Islam ke negara mereka; banyak fokus diberikan kepada pengetahuan tentang kedatangan orang Sepanyol ke negara itu yang turut sama membawa ajaran Kristian.

Melihat perubahan yang berlaku pada Filipina sehingga menjadi antara negara paling terbuka menerima LGBT di Asia Tenggara - pasti  sukar untuk kita mempelajari satu masa dulu Islam sebenarnya telah berakar umbi terlebih awal di negara tersebut dalam kelompok majoriti.

Kedatangan Islam pada abad ke 14

penanda masjid pertama

200 tahun sebelum kedatangan pendakwah Kristian ke Filipina, Islam telah pun diperkenalkan kumpulan pedagang Muslim ke kawasan Mindanao dan kepulauan Sulu, yang menjadi lokasi perdagangan penting ketika itu.

Tarikh paling awal kedatangan pedagang Arab tiba di Pulau Jolo salah sebuah pulau di gugusan kepulauan Sulu direkodkan berlaku pada tahun 1275. Bagaimanapun hanya selepas hampir 100 tahun selepas itu barulah Islam benar-benar bertapak di Filipina.

Semuanya bermula selepas kedatangan seorang pedagang Islam bernama Sheikh Karim al-Makhdum pada tahun 1380 yang  membuka pintu hati komuniti orang Tausug (kini dikenali sebagai bangsa Moro) untuk menerima hidayah Allah swt.

Peranan Sheikh Karim amat besar menyebarkan Islam di wilayah selatan Filipina, sehingga dia berjaya membina masjid pertama di kawasan tersebut kini dikenali dengan nama Masjid Karim al-Makhdum, terletak dalam wilayah autonomi Mindanao.

Selepas perkembangan pesat Jolo sebagai pelabuhan ekonomi antarabangsa ketika itu, beberapa kesultanan berasaskan Islam diasaskan pada abad ke 15 seperti Kesultanan Sulu, Kesultanan Maguindanao dan Kesultanan Lanao.

Kepercayaan, cara hidup dan undang-undang yang diamalkan oleh masyarakat Filipina semuanya dibangunkan berasaskan kepada ajaran Islam yang mereka anuti.

Empayar Sepanyol mencari tapak di Asia Tenggara

ferdinand of aragon isabella of castile

Pada tahun 1492, pemerintah Sepanyol berjaya menjatuhkan kerajaan Islam di Granada yang telah bertapak di kawasan itu sejak abad ke 8, bakal menjadi titik permulaan kejatuhan Islam di Filipina.

Sepanyol menyedari wujud peluang untuk mereka menguasai aktiviti ekonomi di kawasan-kawasan yang belum diterokai khasnya di sekitar Asia Tenggara. Dalam masa yang sama, mereka juga berpeluang untuk menyebarkan ajaran Kristian.

Atas dua sebab itu, Sepanyol mula menjelajah ke benua Asia.

Kisah kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam di Filipina bermula sekitar tahun 1500, selepas  satu peperangan di antara Sultan Brunei dengan Kerajaan Tondo yang menguasai lokasi terletaknya bandar Manila sekarang.

Kerajaan Brunei pada ketika itu merupakan kerajaan terbesar di Filipina.

Selepas menewaskan kerajaan Tondo, Sultan Brunei memperkenankan pembukaan sebuah kerajaan baru dinamakan Maynila di bawah naungan kerajaan Brunei. Pemimpin kerajaan Tondo yang tewas dibenarkan berpindah ke lokasi lain. 

Bermulalah era pemerintahan Raja Sulaiman I, saudara kepada Sultan Brunei ketika itu naik menjadi pemerintah kerajaan Islam Maynila yang pertama.

Sepanyol tiba di Maynila

miguel legazpi

Ekspedisi Sepanyol dengan kerjasama orang Mexico diketuai Miguel Lopez de Legazpi (gambar di atas) diberikan tanggungjawab membuka satu kawasan operasi baru bagi memudahkan kerajaan Sepanyol meluaskan pengaruh mereka di sekitar Asia.

Selepas beberapa ekspedisi gagal menemui tempat yang sesuai, Legazpi mengarahkan agar dua pegawai tentera bernama Martin de Goiti dan Juan de Salcedo ke Maynila bagi membincangkan cadangan pembukaan kubu Sepanyol bersama pemerintah Maynila.

Rombongan de Goiti tiba di Teluk Maynila, Luzon pada 8 Mei 1570 menyampaikan hasrat kerajaan Sepanyol untuk bekerjasama. Selepas beberapa siri perbincangan gagal menemui kata putus, situasi mula menjadi tegang.

Disebabkan konflik yang diramal bakal berlaku, Raja Sulaiman III dan Raja Matanda kedua-duanya ketika itu pemerintah bersama kota Maynila terpaksa bergabung tenaga dengan Lakan Dula pemerintah kerajaan Tondo bagi membentuk gabungan kerajaan pemerintah Filipina, berdepan dengan kekuatan armada Sepanyol.

Kejatuhan kota Maynila

rajah sulaiman monument

Beberapa siri peperangan mula tercetus selepas itu. Kedudukan Maynila berjaya dipertahankan Raja Sulaiman III serta tenteranya.

Berikutan keinginan untuk menguasai lokasi Maynila, Legazpi sendiri mengambil keputusan untuk memimpin seluruh angkatan perang mereka yang ketika itu turut sama diperkuatkan oleh orang tempatan yang memusuhi kerajaan Brunei.

Peperangan besar-besaran yang tercetus akhirnya mengakibatkan kekalahan kepada gabungan kerajaan Maynila dan Tondo, menyebabkan Maynila diisytiharkan jatuh ke tangan Sepanyol sebagai sebuah koloni pada 19 Mei 1571.

Dikatakan kubu kuat kerajaan Maynila ketika itu habis diranapkan oleh kekuatan tentera Sepanyol.

Di atas tapak yang sama jugalah, kerajaan Sepanyol membina kubu Intramuros sebagai tanda pemilikan mereka ke atas Maynila menjadi simbol kejatuhan kerajaan Islam di kawasan tersebut; digantikan dengan kerajaan berteraskan ajaran Kristian.

Penyebaran ajaran Kristian mula digerakkan, selaras dengan hasrat Sepanyol mahu memperkembangkan agama itu di sini.

Pemimpin setempat berjaya dimurtadkan

sepanyol meraikan kemenangan

Setelah hilang Maynila, Raja Sulaiman III, Raja Matanda serta Lakan Dula tidak meneruskan cubaan merampas semula Maynila.

Perjuangan mereka diteruskan oleh satu pasukan askar di bawah kendalian seorang pemimpin bernama Tariq Sulaiman, yang cuba merampas kembali Maynila pada 3 Jun 1571 namun usaha itu berjaya dipatahkan. 

Kekalahan pasukan Tariq Sulaiman menandakan berakhirnya sebarang bentuk penentangan masyarakat tempatan beragama Islam secara rasmi terhadap kemasukan penjajahan Sepanyol di Maynila.

Pada 24 Jun 1571, Legazpi berjaya mewujudkan perjanjian keamanan hasil rundingan di antara semua pihak pemerintah asal Maynila dan Tondo.

Bagi memudahkan kerjasama, Legazpi menawarkan anak beliau untuk dikahwinkan dengan anak Lakan Dula sebagai tanda keikhlasan yang akan mematerai kerjasama Sepanyol dan penduduk setempat. Tawaran itu diterima Lakan Dula.

Salah seorang anak angkat kepada Raja Sulaiman III pula berjaya dipujuk Legazpi untuk menerima ajaran Kristian, sekaligus menukar namanya kepada Augustin de Legazpi mengambil nama keluarga Legazpi sendiri.

Augustin yang berjaya dimurtadkan dilantik sebagai pemerintah kerajaan Tondo selepas kematian Lakan Dula.

Perjanjian Paris 1898 memperolokkan kedaulatan masyarakat Filipina

perjanjian paris 1898

Walaupun Maynila jatuh ke tangan Sepanyol, beberapa kawasan lain yang dikuasai orang Tausug gagal ditawan walaupun kerajaan Sepanyol telah mengisytiharkan keseluruhan bumi Filipina menjadi hak milik kerajaan Sepanyol.

Selama beratus tahun lamanya orang Tausug atau orang Moro mempertahankan wilayah mereka daripada dikuasai Sepanyol, menyebabkan kerugian besar perlu ditanggung kerajaan Sepanyol.

Usaha untuk menyebarkan ajaran Kristian di kawasan-kawasan tersebut berdepan tentangan. Apa yang menghairankan Sepanyol, kedudukan Islam di kawasan itu dilihat semakin kukuh. Masyarakat Tausug mula menampakkan pengukuhan semangat jihad yang semakin menebal.

Usaha Sepanyol untuk menjalinkan hubungan dengan kesultanan Islam yang masih ada di kawasan itu berdepan kegagalan sehinggalah Sepanyol menghentikan semua usaha mereka.

Ekoran kekalahan kepada Amerika Syarikat dalam peperangan Amerika-Sepanyol, Sepanyol mula berdepan masalah kemampuan kewangan yang semakin menurun sehingga sukar mengurus koloni mereka.

Sepanyol memulakan perbincangan dengan Amerika Syarikat bagi mencari jalan keluar, menjurus kepada Perjanjian Paris yang ditandatangani pada 10 Disember 1898.

Dalam perjanjian itu, Sepanyol bersetuju untuk menyerahkan semua koloni mereka kepada Amerika Syarikat dengan bayaran pampasan yang dipersetujui.

Perjanjian itu juga menandakan secara simboliknya pengakhiran empayar Sepanyol dan permulaan kepada kenaikan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia. Secara tak langsung, Filipina menjadi salah satu kawasan yang bertukar tangan dari satu kuasa ke satu kuasa lain.

Dihadiahkan kepada Amerika Syarikat

perang amerika filipino

Selepas bertukar tangan, Amerika Syarikat pula bertanggungjawab berhadapan dengan kesultanan Sulu yang masih kuat bertapak di selatan Filipina.

Hampir 3 tahun peperangan di antara kedua-dua pihak tercetus. Hanya pada 2 Julai 1902, Amerika Syarikat mengisytiharkan peperangan telah berjaya ditamatkan selepas usaha ke arah kemerdekaan Filipina dibenarkan untuk bermula.

Pemerintahan tentera yang dijalankan Amerika Syarikat ke atas Filipina walaupun gagal mengambil alih diakui berjaya melemahkan kesultanan Sulu, walaupun konflik itu berlarutan hampir 20 tahun lamanya.

Sebagai 'hadiah' terakhir Amerika Syarikat kepada Kesultanan Sulu yang terus berkeras, dalam pengisytiharan kemerdekaan Filipina - wilayah Sulu diisytiharkan secara rasmi sebahagian daripada jajahan kerajaan Filipina yang merdeka, sama seperti deklarasi yang dibuat Sepanyol sebelum itu.

Pengisytiharan ini menjadi titik mula konflik orang Islam di bahagian selatan Filipina dan kerajaan Filipina yang masih berlangsung sehingga kini.

Walaupun kini majoriti penduduk FIlipina beragama Kristian, di wilayah-wilayah yang masih dikuasai orang Islam khasnya di bahagian selatan Filipina mereka kekal meraikan hari memperingati Sheikh Karim al-Makhdoum dan jasanya memperkenalkan Islam di tanah Filipina setiap 7 November.

Pada tahun 2013, wilayah autonomi Mindanao menggazetkan akta melindungi warisan yang dibawa Sheikh Karim, mendeklarasikan 7 November setiap tahun sebagai cuti umum rasmi - sekurang-kurangnya bakal mengingatkan generasi akan datang tentang sejarah Islam dalam masyarakat mereka yang cuba dipadamkan.

Rujukan

Masjid Karim al-Makhdoum



Hakcipta iluminasi.com (2017)