Oleh pada 19 May 2020 kategori

mars climate orbiter

Bagi sesetengah orang, matematik bukanlah sesuatu yang mudah. Walaupun begitu, anda mungkin tidak pernah melakukan kesalahan matematik yang menyebabkan kerugian berbilion-bilion ringgit.

Pada tahun 1999, NASA melakukan misi menghantar satelit untuk mengorbit Marikh namun ia telah terbakar dan meletup serta-merta setelah tiba di planet itu.

Mereka cuba mengesan masalah yang menyebabkan kemusnahan itu berlaku dan mendapati ia berpunca daripada satu kesalahan matematik yang tersangat mudah.

Malah, anda sendiri mungkin tidak akan melakukan kesalahan mudah tersebut.

Untuk memahami bagaimana masalah ini boleh berlaku dan mengapa ia menyebabkan kerugian yang tersangat besar, kita perlu memahami tentant unit komunis yang juga dikenali sebagai sistem metirk.

Sebelum sistem metrik wujud, dunia agak kelam-kabut dan semua orang menggunakan sistem pengukuran yang berlainan, mengikut pemahaman sendiri.

Tetapi semuanya mula berubah di Perancis di mana sistem metrik mula-mula dicipta pada 1790-an, apabila mereka memutuskan untuk menwujudkan satu sistem yang masuk akal.

Jerman dan Itali kedua-duanya pada ketika itu terdiri dari sekumpulan negara bebas yang berbeza yang mana masing-masing menggunakan bentuk pengukuran yang berlainan.

Dan ini membuatkan hidup mereka menjadi sangat sukar kerana setiap kawasan menggunakan sistem pertukaran yang tidak boleh difahami oleh kawasan lain.

sistem metrik vs sistem imperial

Penciptaan sistem metrik oleh Perancis ini memudahkan urusan dan ia kemudiannya mula diguna pakai oleh Jerman dan Itali.

Sistem ini mula popular di seluruh Eropah dan tersebar ke wilayah jajahan mereka, yang terletak di merata-rata tempat.

Ia diikuti oleh Sepanyol, Portugal, Belanda, Austria dan Empayar Uthmaniyyah menggunapakai sistem ini pada abad ke-19, namun negara-negara lain mengambil masa yang lebih lama untuk menerimanya.

Rusia mula menggunakan sistem metrik pada tahun 1918 selepas Revolusi Rusia. Jepun dan China mengikuti jejak langkah ini pada tahun 1920-an, manakala India pula sejurus selepas mencapai kemerdekaan daripada Britain.

Menjelang tahun 1960-an, semua negara di Eropah menggunapakai sistem metrik kecuali United Kingdom dan Ireland.

Negara berbahasa Inggeris biasanya merupakan komuniti paling perlahan di dunia dalam menggunapakai sistem metrik dan sebab utamanya adalah mereka berasakan bahawa ciptaan mereka iaitu unit pound, inci dan yard adalah lebih masuk akal.

Ia kemungkinan juga disebabkan oleh tidak mahu menggunapakai hasil ciptaan Perancis, yang merupakan musuh mereka pada ketika itu.

Namun akhirnya United Kingdom "menyerah kalah" dan menerima sistem metrik, diikuti oleh Ireland, New Zealand dan Australia beberapa tahun kemudian serta Kanada pada tahun 1973.

nasa 329

Sehingga tahun 2019, semua negara di seluruh dunia menggunakan sistem metrik kecuali tiga buah negara iaitu Myanmar, Liberia dan sudah tentu, Amerika Syarikat yang merupakan negara bahasa Inggeris yang terakhir tidak menerima sistem ini.

Malah, sistem metrik mempunyai sejarah yang rumit di Amerika Syarikat.

Pada tahun 1975, kerajaan persekutuan AS menggunapakai sistem metrik sebagai sistem ukuran rasmi bagi ketenteraan dan agensi kerajaan.

Namun, kebanyakan orang dan perniagaan swasta di sana pada ketika itu masih menggunakan sistem Inggeris atau sistem imperial.

Dan inilah yang menjadi punca kepada bencana kejuruteraan pada tahun 1999.

Sebagai agensi kerajaan perseketuan AS, NASA menggunakan sistem metrik untuk menjalankan urusan mereka namun sebagai perniagaan swasta, subkontraktor mereka iaitu Lockheed Martin masih menggunakan sistem lama.

NASA menyatakan dengan jelas dalam kontrak mereka bahawa kesemua subkontraktor di bawah mereka perlu menukar ukuran kepada sistem metrik, namun ia tidak dipatuhi oleh Lockheed Martin.

Lockheed Martin mencipta dan membina satelit tetapi mereka menyerahkan data kepada para jurutera NASA dalam bentuk yang berlainan.

pelancaran mars climate orbiter

Unit daya yang sepatutnya dinyatakan dalam newton metrik, telah dinyatakan dalam bentuk pound oleh Lockheed Martin.

Para jurutera NASA yang tidak menyedari bahawa unit tersebut dinyatakan bukan dalam bentuk metrik, meneruskan kerja mereka tanpa ragu

Satelit tersebut dilancarkan tanpa seorang pun menyedari masalah itu dan selepas 10 bulan mengembara dengan kos melebihi $327 juta bersamaan dengan RM2.28 bilion pada hari ini, satelit itu musnah hanya dalam masa beberapa saat.

Satelit yang diberi nama Mars Climate Orbiter itu sepatutnya mengorbit Marikh dari jarak 150 kilometer.

Namun disebabkan kesilapan penukaran unit, ia mengorbit planet itu pada jarak 57 kilometer dari permukaannya yang menyebabkan ia terbakar dan meletup.

Pengajaran di sini adalah matematik adalah sesuatu yang sentiasa rumit bukan sahaja kepada orang biasa tetapi para saintis yang hebat dan jurutera di tahap tertinggi juga boleh melakukan kesilapan mudah.

Namun, perkara paling penting yang boleh diambil dari kisah ini adalah ketidaksepakatan boleh mengundang padah terutamanya jika ada pihak yang berasa mereka lebih hebat daripada yang lain.

Rujukan:

1. Solar System

2. Simscale

3. Real Life Lore



Hakcipta iluminasi.com (2017)