Pihak NASA baru-baru ini menamakan sebuah asteroid bersempena nama seorang saintis muda yang beragama Islam atas kejayaan dan usahanya dalam bidang penyelidikan botani.

Asteroid yang digelar "Al-Sheikh 33535" itu mengambil nama Fatima binti Abdel Moneim Al Sheikh sempena menghargai  kertas penyelidikannya yang berjudul "Determining The Effect Of The Novel Carl 2 Strigolactone Analog On The Seed Germination of Parasitic Weeds.”

img 6545 913

Fatima merupakan pemenang kedua semasa Pameran Sains dan Kejuruteraan Antarabangsa Intel (Intel ISEF) pada tahun 2016 yang telah memenangi wang tunai berjumlah USD1,500 sehinggalah beliau mendapat pengiktirafan ini daripada NASA.

Fatima dijemput menyertai pameran itu selepas bertanding dan memenangi Olimpik Kebangsaan untuk Kreativiti Saintifik yang merupakan acara tahunan anjuran Yayasan Raja Abdulaziz dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Arab Saudi.

Fatima yang baru sahaja berusia 19 tahun telahpun berjaya mendapat pelbagai anugerah dan pengiktirafan dari dalam dan luar negara. Malah, kejayaannya itu kini lebih manis kerana namanya telah tersemat pada salah sebuah asteroid di angkasa.

img 6546

Walau bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama NASA menamakan asteroid bersempena pengiktirafan kepada seorang saintis muda. Ada beberapa lagi pelajar Muslim lain yang telah diangkat oleh pihak NASA atas kejayaan mereka.

Pihak NASA menamakan sebuah planet kecil dengan nama "Abu-Alshaikh 28831" sempena nama seorang pelajar dari Jordan iaitu Salahaldeen Ibrahim Abu-Alshaikh atas pencapaiannya dalam penyelidikan matematik sehingga memenangi tempat kedua semasa Intel ISEF pada tahun 2013.

Asteroid "31926 Alhamood" pula mengambil nama pelajar dari Arab Saudi iaitu Abdul Jabbar Abdulrazaq Alhamood yang memenangi tempat pertama Intel ISEF pada tahun 2015 dengan kertas penyelidikan berkenaan tumbuhan.

Akhir sekali sebuah asteroid yang dijumpai pada tahun 2000 telah mengambil nama pelajar dari Mesir iaitu Yasmine Yehia Moustafa dan digelar "31910 Moustafa" selepas memenangi tempat pertama Intel ISEF atas kecemerlangan projek sains bumi dan alam sekitarnya.

img 6543

Anda teringin mahu letak nama anda pada salah satu asteroid atau planet baru dalam galaksi? Ada satu jalan pintas yang anda boleh lakukan. Cubalah sertai pertandingan Intel ISEF itu!


tags : , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)