Seingat penulis sekitar tahun 2013 atau 2014, wujud pengumuman berkenaan pembukaan permohonan bagi mana-mana individu, tak kiralah warganegara mana, agama apa, bangsa apa - untuk menjadi kumpulan manusia pertama tinggal di planet Marikh.

Penulis membaca laman web projek itu dengan teliti, bagi memahami apa isi kandungan program yang mahu dijalankan. Dari segi dasarnya, program yang dinamakan dengan nama 'Mars One' itu sesuatu yang sangat luar biasa bunyinya - sekumpulan manusia akan dipilih sebagai koloni pertama di Marikh.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Wah! Teringin juga penulis untuk menyertainya. Beberapa syarat diletakkan dalam permohonan tersebut, namun satu syarat menggerunkan hati saya - tiket terbang ke Marikh adalah tiket satu hala tanpa ada jalan pulang. Sesiapa yang memohon dan terpilih, mestilah benar-benar bersedia meninggalkan keluarga, sanak-saudara dan bumi yang dicintai.

Penulis sudah pastilah tak memohon. Nak kena baling dengan batu lesung yang selalu digunakan isteri? Bagaimanapun, penulis tetap mengikuti perkembangan projek ini sehingga ke tahun 2017 - sebelum syarikat pengendali projek unik itu diisytiharkan bankrap. Apa yang lebih memeranjatkan? Ada pihak mengatakan semuanya hanyalah satu bentuk penipuan semata-mata.

Projek Mars One - realiti TV luar biasa

ilustrasi mars one koloni marikh

Program Mars One mendapat sambutan luar biasa semasa diumumkan, berikutan hasrat projek itu mahu menggabungkan penjelajahan angkasa dan program realiti hiburan dalam satu projek.

Dipasarkan sebagai langkah pertama manusia mahu menjadikan planet Marikh sebagai planet kedua didiami manusia, syarikat Mars One dari Belanda mengumumkan rancangan mereka mahu memilih beberapa kumpulan bertanding yang dibentuk empat orang individu setiap satu - untuk menjadi kumpulan manusia pertama tinggal di sana selama-lamanya.

Bagi menjalankan proses pemilihan, setiap kumpulan akan diberikan peluang bertanding dalam rancangan realiti televisyen, dengan pemenangnya akan ditentukan oleh undian penonton dan kumpulan terakhir akan berlepas ke Marikh pada tahun 2023.

Walaupun dengan syarat 'tiket satu hala', projek Mars One menerima lebih 200,000 permohonan daripada orang ramai sebelum 705 orang dipilih daripada keseluruhan pemohon dalam saringan pertama.

Selepas melalui sesi pemeriksaan kesihatan pada tahun 2015, jumlah pemohon dikecilkan lagi kepada 50 lelaki dan 50 wanita, sebelum jumlah itu sekali lagi disaring menjadi 20 lelaki dan 20 wanita, yang akan dibahagikan kepada 10 kumpulan - bagi menjadi koloni kekal pertama manusia di Marikh.

Mendapat tentangan ahli sains

debat anjuran mars society015 mo mit debate full 0

Pada awal projek ini sekitar tahun 2013, tidak banyak suara bangkit menentang apa yang sedang dirancang syarikat Belanda ini.

Hanya selepas Mars One mula menjalankan pengumpulan dana dengan lebih giat sekitar tahun 2014, saintis mula berbincang secara serius tentang apa yang mereka lakukan dan persoalan asas yang menjadi topik utama adalah; "logikkah manusia dapat hidup di Marikh dengan teknologi yang kita ada sekarang?"

Bagi wakil Mars One, segalanya mungkin kerana mereka akan menggunakan teknologi sedia ada dalam projek ini yang telah dibangunkan; membolehkan kos menghantar kumpulan koloni pertama tidak mustahil berlaku pada kos sekitar RM26.5 billion termasuklah kelengkapan mereka untuk tinggal di sana, seperti rumah dan peralatan.

Satu sesi debat di antara pengasas Mars One, Bas Lansdorp dengan dua pakar kajian Marikh dari Massachussetts Institute of Technology, Dr. Sydney Do dan Dr. Andrew Owens diadakan - bagi membincangkan tajuk tersebut. Do dan Owens percaya projek Mars One mustahil akan berjaya kerana manusia belum ada cara untuk beradaptasi di Marikh dan koloni yang terbang ke sana - besar kemungkinan, akan mati kelaparan.

Selain itu teknologi rumah kediaman yang akan digunakan juga dijangkakan akan terbakar terlebih dahulu berdasarkan kepada kemampuan kita sekarang dan koloni tidak akan mampu menjalankan rutin hidup - kerana mereka tidak ada sistem sokongan hidup yang sempurna.

Landsorp kelihatan gagal memberikan bukti kukuh tentang kemampuan mereka untuk menerokai Marikh, sebaliknya hanya menjanjikan bahawa sekiranya ada pihak sanggup mengeluarkan RM4.5 billion pertama bagi mereka mampu membangunkan teknologi yang mereka percaya sudah ada - semua masalah manusia untuk hidup di Marikh akan selesai.

Kesan daripada debat itu, semakin banyak pihak mula mencurigai apakah tujuan sebenar Mars One diwujudkan. Walaupun mereka berjaya menarik penaja melalui kempen pemasaran yang agresif, jumlah yang mereka terima dikatakan tidak mencukupi. Jadi sasaran awal tahun 2023 manusia akan duduk di Marikh dianjakkan ke 2027, sebelum ditangguhkan lagi ke tahun 2032.

Diisytiharkan bankrap dan berhutang!

bas lansdorp marsone

Selepas beberapa kali berdepan kegagalan dalam peringkat pelancaran misi pendaratan robotik mereka yang akan menjadi sesi ujian awal penerbangan, publisiti terhadap projek ini mula reda dan Mars One sendiri tidak lagi aktif mencetuskan sensasi, seperti sebelumnya.

Hanya pada bulan Januari tahun 2019, satu dokumen mahkmah di Basel, Switzerland mendedahkan tentang status sebenar syarikat di sebalik projek mega ini. Mars One Ventures yang mengelolakan projek ini diisytiharkan bankrap, dengan hanya RM120,000 baki akaun yang tinggal dan syarikat itu juga sudahpun ditutup.

Syarikat tersebut turut sama sedang menghadapi tuntutan hutang melebihi RM6.5 juta keseluruhannya sebelum dimansuhkan.

Berikutan daripada pendedahan itu, barulah terbukti dakwaan yang mempertikaikan kredibiliti Mars One selama ini - khasnya daripada Joseph Roche, salah seorang peserta yang terpilih menjadi peserta projek pada tahun 2015. Roche, seorang doktor falsafah dalam bidang fizik astronomi sudahpun cuba menjelaskan bahawa Mars One merupakan satu helah penipuan selepas melaluinya sendiri.

Dia menyifatkan Mars One merupakan satu skim penipuan yang sangat terancang, malahan sangat berani memperbodohkan orang ramai dengan menggunakan taktik pemasaran yang sangat hebat apatah lagi kajian menunjukkan paling lama manusia boleh tinggal di Marikh, adalah 68 hari sebelum mati tidak mampu bernafas.

Namun ramai tetap terpedaya kerana melihat peluang mencipta nama sebagai peserta dan penaja kepada sebuah projek yang belum pernah dicuba mana-mana badan atau negara. Sekiranya anda benar-benar teringin hendak tinggal di Marikh - SpaceX cetusan usahawan terkenal Elon Musk juga berhasrat membina koloni di luar sana. Cuma sasarannya pun sekitar tahun 2050 nanti.

NASA pula menjangkakan akan selesai membina pengkalan manusia di Marikh, pada tahun 2030 ke atas. Pengkalan itu pun besar kemungkinan hanya untuk kegunaan sementara, bukannya pendudukan kekal.

Sekiranya ada pihak menjanjikan kehidupan di Marikh lebih awal daripada tarikh-tarikh tersebut, besar kemungkinan mereka penipu atau mungkin juga makhluk asing yang dihantar ke bumi, untuk mempermainkan hati manusia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)