Frankenstein atau Modern Prometheus adalah sebuah novel yang ditulis oleh seorang pengarang Inggeris iaitu Mary Shelley (1798-1851). Novel ini menceritakan tentang kisah Dr. Victor Frankenstein, seorang saintis muda yang mencipta makhluk menyeramkan seakan manusia dalam ujikaji sainsnya yang pelik.

Shelley menulis cerita itu ketika dia berusia 18 tahun dan edisi pertama novel yang diterbitkan di London pada 1 Januari 1818, ketika dia berusia 20 tahun. Edisi pertama novel itu tidak mempunyai namanya sebagai penulis. Namanya muncul ketika edisi kedua yang diterbitkan di Perancis pada tahun 1823.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, tahukah anda cerita popular Frankenstein ini sebenarnya diilhamkan oleh seorang doktor nyata yang bernama Giovani Aldini? Kami ingin kongsikan bersama anda bagaimana kisah Aldini menjadi inspirasi kepada penciptaan watak Dr. Victor Frankenstein.

Kisah Giovanni Aldini

luigi galvani 198

Dr. Luigi Galvani

Giovanni Aldini dilahirkan pada 10 April 1762 di Bologna, Itali. Sewaktu Aldini masih kecil, dia sering mengikuti serta memerhatikan bapa saudaranya iaitu Dr. Luigi Galvani melakukan eksperimen.

Selama lebih 10 tahun, Dr. Luigi Galvani telah menumpukan kajiannya menggunakan katak, khususnya katak mati. Beliau telah mengkaji bagaimana kaki katak itu bersambung dengan badannya dan menyedari sekiranya dirangsang dengan arus elektrik, kaki katak yang mati itu akan bergerak-gerak.

Tambahan lagi, Dr. Galvani percaya sekiranya dia berjaya merangsang cecair yang menyambungkan saraf ke seluruh badan katak itu, dia dapat membalikkan kematian dan menghidupkan semula katak itu. 

Mempunyai minat yang sama

giovani aldini

Giovani Aldini

Selepas sekian lama menyaksikan bapa saudaranya melakukan eksperimen ngeri ini, tidak hairanlah sekiranya Giovanni Aldini juga mempunyai minat dalam bidang yang sama. Selepas tamat belajar di University of Bologna, Aldini telah mengikuti jejak langkah bapa saudaranya.

Aldini juga menggunakan katak sebagai bahan eksperimennya. Walau bagaimanapun, setelah kematian bapa saudaranya, Aldini mula mengidamkan sesuatu yang berbeza, sesuatu yang lebih menarik.

Aldini mula melakukan eksperimen yang sama terhadap haiwan yang lebih besar, dengan sistem saraf yang lebih rumit. Tidak lama kemudian, Aldini mula menjemput orang ramai untuk hadir ke makmalnya sambil dia cuba untuk menghidupkan semula biri-biri, lembu dan khinzir.

Dalam kebanyakan pertunjukkan ujikajinya itu, Giovanni Aldini melakukannya dengan berjaya. Ketika dia mengenakan arus elekrik pada bangkai haiwan menggunakan bateri, haiwan yang telah mati itu akan menggerak-gerakkan kepala ke kiri dan kanan, bebola mata bergerak-gerak dan lidah terjelir keluar daripada mulut.

Inginkan sesuatu yang lebih

ujikaji giovanni aldini

Pada waktu itu, pertunjukan ujikaji Aldini merupakan perkara yang menjadi perbualan hangat. Namun, Aldini sendiri mula berasa bosan dengan ujikajinya itu. Dia merasakan bahawa dia telah mengecapi semua yang diinginkannya dengan bangkai binatang dan ia tidak lagi memberi rangsangan yang cukup buatnya.

Jadi, Giovanni Aldini telah beralih kepada ujikaji menggunakan mayat manusia pula. Pada awal tahun 1800-an di Itali, untuk mendapatkan mayat baru bukanlah sesuatu yang sukar seperti sekarang. Aldini hanya perlu pergi ke Piazza Maggiore, di mana algojo menjalankan tugas memenggal kepala para penjenayah yang didapati bersalah.

Tidak lama kemudian, Aldini menyedari bahawa kemudahan untuk mendapatkan mayat di Piazza Maggiore juga mempunyai masalah. Mayat-mayat yang kepalanya dipenggal selalunya kehilangan banyak darah. Tanpa darah di dalam urat saraf, arus elektrik tidak boleh bergerak melaluinya.

Namun begitu, Aldini masih mempunyai harapan. Walaupun penjenayah di Itali dihukum bunuh dengan dipenggal kepala mereka, di England para pesalah dihukum bunuh menggunakan tali gantung. Aldini telah kemudian mengembara ke London dan memesan satu mayat penjenayah yang baru digantung untuk dihantar ke Royal College of Surgeons, London.

Mayat yang terkenal

ujikaji giovanni terhadap foster

Dr. Giovanni Aldini melakukan ujikaji kepada mayat George Foster

Tubuh yang diperolehinya itu adalah mayat George Foster, seorang yang tidak begitu dikenali semasa hidupnya tetapi menjadi bualan hangat selepas kematiannya. Sebaik sahaja mayat Foster tiba di Royal College, Aldini memasangkan peralatannya pada tubuh mayat itu dan menyambungnya pada bateri.

Aldini membiarkan peralatannya bersambung pada mayat itu selama beberapa jam. Selepas itu, orang ramai yang hadir tergamam dan berdebar-debar apabila rahang dan otot muka mayat itu bergerak-gerak sebelum mata kirinya terbuka sendiri. Bahkan, pada satu ketika mayat itu dilihat seakan menarik nafas.

Akhirnya, bateri Aldini berhenti, begitu juga dengan mayat Foster. Walaupun Aldini menganggap percubaan untuk mengidupkan Foster gagal tetapi para doktor yang hadir di situ beranggapan ia adalah satu keajaiban.

Berita tentang bahan ujikaji Aldini membuka mata dan menghembuskan nafas telah tersebar dengan begitu cepat sekali. Seperti setiap cerita menarik, ia kemudiannya dibesar-besarkan. Pada masa ia sampai ke telinga Mary Shelley iaitu anak kepada salah seorang rakan Aldini, kisah itu telah berkembang kepada mayat Foster boleh mengangkat tangan dan memusingkan kepalanya.

mary shelley 134

Mary Shelley

Mary Shelley yang masih kecil ketika itu telah percaya dengan cerita itu dan ia tersemat dalam kepalanya. Kisah yang didengarinya sewaktu kecil itu kemudian telah menjadi inspirasi ketika Shelley mula menulis buku.

Watak utama novelnya iaitu Dr. Victor Frankenstein, mempunyai persamaan dengan Giovanni Aldani dari segi sikap dan minatnya. Kini, kisah Frankenstein ini telah dipopularkan dalam banyak animasi dan filem. Mujurlah, dalam kisah sebenar Giovanni Aldani, mayat George Foster tidak berjaya dihidupkan semula kerana ia akan mengubah segala-galanya yang kita ketahui mengenai kehidupan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)