wu lien teh 670

Antara saranan utama yang dikeluarkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menangani penularan wabak COVID-19 adalah penjarakkan sosial, menjaga kebersihan diri (terutamanya tangan) dan memakai topeng muka keselamatan (mask).

Ada satu kisah menarik mengenai topeng keselamatan yang kita pakai pada hari ini. Tahukah anda siapakah pencipta di sebalik topeng muka keselamatan yang kita pakai ini? Lagi mengejutkan, individu yang memberi inspirasi kepada penciptaannya adalah seorang rakyat Malaysia (Nota: Pada ketika itu "Malaysia" belum wujud, Pulau Pinang masih digelar Negeri-Negeri Selat).

Pendedahan mengenai Dr. Wu Lien-teh ini dibuat oleh Profesor Paul Tambyah, Presiden Persatuan Mikrobiologi dan Jangkitan Klinikal berdasarkan beberapa rekod dan laporan yang ditemui di National University of Singapore. Mungkin ramai juga tidak tahu bahawa Dr. Wu Lien-teh pernah dicalonkan sebagai penerima Anugerah Nobel pertama dari Malaysia.

Latar belakang dan karier awal

dr wu lean teh menginspirasikan topeng muka perubatan

Wu Lien-teh lahir pada tahun 1879 dan meninggal dunia pada tahun 1960. Beliau juga dikenali sebagai Goh Lean Tuck dan Ng Leen Tuck dalam bahasa Minnan dan Kantonis. Dr Wu adalah seorang doktor dari Tanah Melayu yang terkenal dengan pekerjaannya dalam kesihatan awam terutama sekali ketika membendung penularan wabak Manchuria pada tahun 1910 - 1911.

Dr Wu dilahirkan di Pulau Pinang, salah satu daripada 3 negeri yang dikenali sebagai  Negeri-Negeri Selat bersama-sama Melaka dan Singapura. Negeri-negeri Selat ketika itu membentuk sebahagian daripada jajahan Great Britain.

Ayahnya adalah seorang pendatang dari Taishan, China dan bekerja sebagai tukang emas. Keluarga ibunya juga berasal dari China dan Dr Wu adalah penduduk generasi kedua Hakka di Tanah Melayu. Dr. Wu mempunyai 4 orang adik -beradik lelaki dan 6 orang adik-beradik perempuan.

Beliau mendapat pendidikan awal di Penang Free School sebelum diterima masuk ke Emmanuel College, Cambridge pada tahun 1894 selepas mendapat tajaan Queen's Scholarship (ketika itu dianugerahkan kepada kawasan jajahan British). Beliau sememangnya seorang yang cemerlang dan menerima banyak pengiktirafan dan bantuan kewangan ketika di universiti.

Beliau kemudian meneruskan latihan industri (housemanship) di St Mary's Hospital, London dan kemudian melanjutkan pelajarannya di Liverpool School of Tropical Medicine. Pada tahun 1903, beliau akhirnya pulang semula ke Pulau Pinang setelah menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan.

Pada September tahun tersebut, beliau menyertai Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur sebagai pelajar penyelidikan pertama. Namun, nasibnya kurang baik kerana tidak ada jawatan pakar untuknya kerana pada masa tersebut, sistem perubatan di tanah jajahan British meletakkan syarat bahawa hanya warganegara Britain yang dapat memegang jawatan tertinggi sebagai pegawai perubatan atau pakar perubatan.

Dr. Wu menghabiskan kerjaya perubatan pada peringkat awalnya mengkaji penyakit beri-beri dan cacing gelang (Ascarididae) sebelum memasuki latihan perubatan di bidang swasta menjelang akhir tahun 1904 di Chulia Street, Pulau Pinang.

Usaha melawan jangkitan penyakit misteri

wabak manchurian

Pada tahun 1910, beliau telah dipanggil oleh kerajaan China ke Harbin dalam usaha melawan sejenis penyakit misteriyang sangat merbahaya. Penyakit ini boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia akibat perdagangan bulu haiwan pada ketika itu. Dilaporkan 95% pesakit akan meninggal dunia akibat wabak ini.

Kereta api trans-Siberia yang membawa penumpang dan barang untuk perdagangan ke Eropah - termasuk bulu marmot Siberia (sejenis haiwan daripada spesies tikus) yang diperolehi di timur laut China - telah memudahkan penularan wabak itu. Seseorang yang menghidap penyakit itu boleh menaiki kereta api di Harbin dan dalam beberapa hari kemudian tiba di Paris atau Berlin untuk menyebarkan penyakit itu.

Penyakit yang menyerang kawasan Manchuria itu kemudiannya dikenali sebagai pandemik Manchuria dan dikatakan telah membunuh 60,00 manusia. Namun, hasil usaha Dr. Wu dan pasukannya, mereka berjaya mengekang wabak berkenaan dalam tempoh beberapa bulan kemudian.

Namun, bukan itu sahaja kejayaannya yang membanggakan. Hasil ideanya juga, beliau juga telah memberi inspirasi kepada penciptaan topeng keselamatan piawaian N95 yang digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang pada masa kini. N95 merupakan piawaian antarabangsa yang bermaksud topeng itu mampu menapis 95% partikel kecil di udara yang masuk melaluinya.

Penghasilan topeng muka keselamatan

topeng muka keselamatan

Pada peringkat awal kemunculan awal wabak Manchuria ini, ramai doktor tempatan berpendapat bahawa kutu atau serangga kecil merupakan agen penyebar penyakit ini. Walau bagaimanapun, berdasarkan satu autopsi yang dilakukan terhada seorang mangsa yang terkorban menunjukkan perkara sebaliknya.

Daripada bedah siasat yang dilakukan ini, beliau dapati bahawa wabak ini sebenarnya tersebar melalui udara. Oleh itu, beliau telah mencipta satu topeng keselamatan yang diubah suai daripada topeng muka pembedahan (surgical masks) sedia ada yang sudah digunakan di negara-negara Barat pada ketika itu.

Beliau telah menambah lapisan kain kasa dan kapas pada topeng pembedahan sedia ada yang berfungsi untuk menapis udara. GĂ©rald Mesny, seorang doktor terkemuka Perancis yang datang untuk menggantikan Dr. Wu enggan memakai topeng tersebut dan meninggal beberapa hari kemudian akibat wabak itu.

Selain itu, Dr. Wu juga telah memulakan usaha kuarantin dan mengarahkan usaha pembasmian kuman dilakukan di hospital. Malah, beliau turut mengarahkan bangunan asal tempat rawatan wabak ini dibakar dan pesakit dipindahkan ke pusat rawatan yang baru.

jalan bersempena memperingati mengenang jasa dr wu lien teh

Seterusnya, beliau juga telah mencadangkan agar mayat-mayat mangsa wabak ini dibakar dan tidak di tanam. Pada ketika itu, adalah mustahil untuk menanam mayat mangsa wabak tersebut jauh ke dalam tanah kerana tanah yang sedang sejuk mmbeku akibat musim sejuk. Oleh itu, mayat biasanya hanya akan dilupuskan dengan merendamnya dalam parafin sebelum membakarnya.

Proses pembakaran mayat mangsa wabak ini ternyata menjadi titik perubahan wabak ini apabila bilangan kes yang dilaporkan mulai berkurangan. Dalam tempoh beberapa bulan kemudiannya, wabak tersebut telah diisytiharkan pupus.

Dr. Wu bekerja dalam bidang perubatan sehingga berusia 80 tahun. Beliau ketika itu telah membeli rumah baru di Pulau Pinang untuk persaraannya. Beliau telah menghasilkan sendiri tulisan autobiografi setebal 667 halaman yang bertajuk "Plague Fighter, the Autobiography of a Modern Chinese Physician".

Dr. Wu akhirnya meninggal dunia akibat strok di rumahnya di Pulau Pinang pada 21 Januari 1960.

Kredit:

  1. South China Morning Press
  2. Wikipedia


Hakcipta iluminasi.com (2017)