pasangan bollywood kahwin campur agama muslim hindu 239

India merupakan antara negara yang mempunyai komuniti minoriti masyarakat Muslim yang rbesar, dianggarkan sekitar 14% daripada keseluruhan negara itu merangkumi lebih 200 juta orang individu. 

Oleh kerana itulah tidak menghairankan sekiranya ramai nama-nama besar dalam industri perfileman utama mereka iaitu Bollywood, datang daripada kelompok masyarakat Muslim ini. Namun kelemahan kefahaman agama serta penguatkuasaan undang-undang di negara itu, telah membenarkan budaya kahwin campur agama berleluasa. 

Berikut adalah lima pasangan kahwin campur agama paling gah nama mereka di India, dikenali di serata dunia serta berkemungkinan besar turut popular di kalangan ahli masyarakat kita yang terpesona dengan kuasa filem terbitan mereka.

1. Shah Rukh Khan dan Gauri Khan

keluarga shah rukh khan

Kita mulakan dengan nama yang paling besar serta paling dikenali dalam industri filem mereka, iaitu aktor legenda Shah Rukh Khan. Pasti ramai mengetahui dia mengahwini seorang gadis Hindu bernama Gauri Khan sejak tahun 1991.'

Perkenalan mereka berdua pada awalnya berdepan bermacam kekangan daripada keluarga Gauri sehinggakan ibunya memohon bantuan pengamal Hindu untuk memisahkan mereka. Abang kepada Gauri juga pernah mengacukan senapang kepada Shah Rukh Khan dan mendesak adiknya dilupakan.

Kematian ibu kepada Shah membuka pintu hati Gauri, seorang Hindu berstatus Brahmin dalam kasta mereka untuk menerimanya - selepas beberapa kali menolak lamaran suaminya itu.

Ekoran perbezaan agama di antara kedua-duanya, isu ini sering dibangkitkan dalam wawancara bersama beliau. Shah Rukh Khan sejak dari awal tegas berpegang bahawa agama tidak seharusnya membataskan rasa cinta dua individu berbeza kepercayaan. 

Majlis perkahwinan kedua-duanya dilakukan mengikut ritual agama Hindu. Pasangan itu memilih untuk membezakan amalan keagamaan kedua-duanya, tetapi tiga orang anak kepada pasangan itu dikatakan lebih rapat dengan agama Hindu disebabkan pengaruh ibu mereka.

2. Saif Ali Khan dan Kareena Kapoor

saif ali khan kareena kapoor kahwin campur agama

Dua nama besar dalam industri hiburan Bollywood mencetuskan kontroversi pada bulan Ogos tahun 2021, selepas didapati menamakan bayi terbaru mereka 'Jehangir', yang diambil sempena nama seorang maharaja empayar Mungal bersifat anti agama Sikh.

Kontroversi itu meneruskan kontroversi sebelumnya, selepas anak pertama mereka dinamakan Taimur, pengasas empayar Timur yang bertanggungjawab menjalankan kempen pembunuhan besar-besaran masyarakat Hindu sekitar abad ke 14. 

Saif Ali Khan seorang Muslim, mengahwini Kareena Kapoor yang telah dibesarkan sebagai seorang Kristian, selepas ibu beliau memeluk agama tersebut. Kedua-duanya dinikahkan mengikut tradisi masyarakat Kristian, dijalankan di dalam gereja.

Walaupun kedua ibu bapanya rajin mengamalkan ajaran Islam, Saif mengakui dia dan agama yang dianutinya kurang serasi, mengamalkan cara kehidupan agnostik serta tidak mempercayai kewujudan alam barzakh.

Dalam perkahwinan pertama beliau bersama seorang wanita Sikh bernama Amrita, wanita tersebut memilih untuk memeluk agama Islam dan jodoh mereka berkekalan selama 13 tahun.

3. Irrfan Khan dan Sutapa Sikdar

irrfan khan kahwin campur agama

Tidak ramai pelakon dari India benar-benar berjaya memecah masuk pasaran filem antarabangsa. Allahyarham Irrfan Khan yang baru meninggal dunia pada bulan April tahun 2020 adalah salah seorang yang berjaya.

Seorang anak Muslim berketurunan Pathan, Irrfan mengawini seorang wanita beragama Hindu, yang bekerja sebagai penulis skrip bernama Sutapa Sikdar pada tahun 1995. Pasangan itu dikurniakan dua orang anak lelaki sepanjang perkahwinan mereka selama 25 tahun.

Walaupun bergelar seorang Muslim, realitinya pegangan yang dianuti Irrfan agak longgar. Dia melihat agama sebagai sesuatu yang boleh diubah mengikut acuan dirinya, seperti yang diakui isterinya sendiri. 

Irrfan tidak menerima agama sebagai satu konsep yang perlu mempunyai batasan, serta haruslah dilihat perlu serasi dengan kehendak diri seseorang. Dia juga diceritakan pernah menjalankan ibadah puasa sempena menghormati Dewi Shiva, yang menjadi salah satu pegangan utama isterinya.

Salah seorang anak pasangan ini melalui media sosial mengakui mereka adik-beradik dibesarkan dalam suasana bebas beragama serta lebih senang menjadi seorang individu tanpa ada agama.

4. Sunil Dutt dan Nargis

sunil dutt nargis pasangan kahwin campur agama

Bagi peminat filem klasik Bollywood, nama pasangan Sunil Dutt dan Nargis, salah seorang pelakon wanita paling terkenal India satu masa dahulu tak perlu lagi diperkenalkan. 

Sunil Dutt adalah aktor beragama Hindu yang berpengaruh, bertukar karier sebagai salah seorang ahli politik berjaya dalam kerajaan India. Isteri beliau pula Nargis Dutt, sebenarnya merupakan seorang wanita Muslim yang lahir dengan nama Fatima Rashid.

Berbeza dengan artis generasi baru yang cenderung untuk kekal dengan agama masing-masing walaupun bercampur, Fatima memilih untuk murtad meninggalkan agama Islam seterusnya memeluk agama Hindu ekoran perkahwinannya.

Latar belakang beliau juga sedikit sebanyak memberikan kesan. Fatima lahir dalam keluarga yang mengamalkan percampuran budaya Hindu/Islam yang kuat, ekoran status ayahnya yang memeluk Islam sebelum kelahirannya - tetapi mengekalkan amalan Hindu dalam keluarga mereka.

Walaupun lebih dikenali dengan nama pentas Nargis, pelakon wanita ini mempunyai dua nama asal - Fatima Rashid serta Tejeshwari Mohan, nama timangan yang diberikan ayahnya sendiri.

5. Aamir Khan bersama Reena Dutta dan Kiran Rao

aamir khan keluarga campur agama

Aamir Khan dan Kiran Rao

Nama Aamir Khan mempunyai peminat fanatiknya yang tersendiri di Malaysia, apatah lagi selepas filem-filem lakonan beliau seperti '3 Idiots' dan 'PK' membawa elemen-elemen yang mencabar norma biasa masyarakat.

Nama sebenar Aamir adalah Mohammed Aamir Hussain Khan, seorang individu beragama Islam telah berkahwin dengan seorang wanita Hindu bernama Kiran Rao sejak tahun 2005, baru saja mengumumkan perceraian mereka pada bulan Julai tahun 2021.

Mungkin ramai sudah terlupa, perkahwinan pertama Aamir juga berlangsung dalam situasi sama ketika dia mengahwini Reena Dutta (gambar bawah), juga seorang wanita Hindu. Perkahwinan ini bertahan selama 16 tahun sebelum mereka mengumumkan perceraian pada tahun 2002.

aamir khan perkahwinan campur agama pertama 831

Aamir Khan dan Reena Dutta

Sejak perkahwinan pertama lagi, Aamir mengamalkan konsep keterbukaan dalam mendidik anak-anak mereka. Pasangan ini membenarkan anak mereka memilih sendiri agama apa yang dianuti serta tidak memaksa mereka membuat pilihan.

Bagi Aamir, identiti kebangsaan atau nasional berpandukan kepada teras 'masyarakat India' seharusnya menjadi tonggak utama setiap ahli masyarakat.

Beliau juga sejak mula melihat agama sebagai elemen hidup yang harus dihormati pegangannya, namun seharusnya tidak dijadikan ejen pembelahan masyarakat mereka - seperti apa yang berlaku di India, di mana Hindu hanya boleh berkahwin dengan Hindu dan Muslim hanya boleh membina rumah tangga dengan Muslim.



Hakcipta iluminasi.com (2017)