will carroll covid 19

Kesan jangkitan Covid-19 kepada seseorang yang dijangkiti pada tahap teruk, memang menggerunkan.

Kemungkinan berlaku kerosakan kekal pada organ bukan terhad kepada organ pernafasan sahaja, malahan boleh melibatkan hati, buah pinggang, sistem endokrin dan juga saluran darah seseorang.

Bagaimanapun, bagi pemain dram kumpulan muzik thrash Death Angel bernama Will Carroll, pengalamannya semasa koma dijangkiti Covid-19 memberikan beliau satu sensasi yang jauh berbeza dengan pesakit lain.

Dia yang sudah nazak dan tipis peluang untuk sembuh akhirnya pulih sepenuhnya tanpa ada kerosakan kekal. Namun pengalamannya semasa menderita agak unik; bila dia mengaku dia telah dibawa melawat neraka.

Hidup dijalanan semasa Covid-19 mula merebak

death angel band

Kumpulan Death Angel siri jelajah mereka di Eropah sekitar awal bulan Februari 2020, bersama dua lagi kumpulan thrash gergasi iaitu Testament dan Exodus sebelum pandemik mula merebak ganas.

Siri jelajah itu bagi Death Angel secara tak langsung merupakan sambutan kejayaan mereka tercalon dalam kategori kumpulan metal terbaik anugerah Grammy, buat kali pertama sepanjang karier panjang mereka.

Jadual jelajah tiga kugiran besar itu yang kesemuanya tertubuh pada era 80-an dijadualkan berakhir pada 11 Mac, tanpa mengetahui tarikh itu bakal jatuh semasa pandemik sudah merebak.

Lebih buruk untuk ketiga-tiga kugiran - disebabkan jadual padat mereka, mereka jarang mendapatkan laporan terkini tentang apa yang sedang berlaku.

poster jelajah konsert death angel

Dalam minggu ketiga siri jelalah konsert mereka, kerajaan Itali telah mula memperkenalkan larangan berhimpun, mengakibatkan konsert di situ terpaksa dibatalkan.

Tarikh beberapa konsert yang telah dirancang terpaksa dibatalkan selepas kerajaan Amerika Syarikat mewartakan larangan keluar negara.

Untuk meneruskan siri jelajah semasa pandemik akal membawa kepada risiko besar untuk setiap individu yang terlibat. Apatah lagi parti-parti yang mereka sertai setiap kali selepas konsert, memungkinkan kadar tinggi berlakunya jangkitan.

Itulah yang berlaku selepas mereka kembali ke Amerika Syarikat, sekitar 12 Mac 2020. Beberapa orang anggota dan kru termasuklah pengurus kugiran didapati positif Covid-19. Majoritinya menghadapi demam biasa, hilang selera makan dan akhirnya berjaya sembuh.

Malangnya nasib Will Carroll jauh lebih buruk. Dia pulang ke rumah terus terlantar di atas katil selama 5 hari berterusan.

Disebabkan jangkitan Covid-19 yang semakin teruk, dia mula menghadapi masalah pernafasan teruk sebelum dikejarkan ke hospital. Suhu badannya ketika itu 39.5 darjah celcius.

Pemeriksaan mendapati beberapa liter cecair sudah memenuhi paru-parunya, menyebabkan Will berdepan kesukaran hanya untuk menarik nafas.

Diletakkan dalam keadaan koma

will carroll death angel covid 19

Kondisi yang terlalu nazak memaksa pasukan perubatan melakukan satu tindakan drastik.

Kadar kemungkinan Will untuk pulih terlalu tipis, melainkan dia disambungkan ke mesin ventilator dan diletakkan dalam keadaan koma bagi memperlahankan pernafasannya serta aktiviti tubuhnya.

Ubat-ubatan diberikan mula menyebabkan jantungnya mula perlahan, sebelum Will disahkan telah koma. Malangnya untuk tempoh 12 hari selepas itu, tidak ada apa-apa perubahan positif dalam dilihat dan Will kekal berada dalam status kritikal.

Pakar perubatan sendiri mengakui tidak banyak yang boleh mereka lakukan, kerana tubuhnya tidak lagi memberikan reaksi kepada ubat yang diberikan.

Apatah lagi pada ketika itu tidak banyak yang diketahui tentang Covid-19.

Sementara orang lain berusaha sedaya upaya menyelamatkan Will yang menjadi antara pesakit terawal Covid-19 di California Pacific Medical Center, tidak ada siapa tahu Will pula sedang berhadapan detik-detik cemas dan menakutkan; terpaksa melalui halusinasi bertentang mata dengan makhluk ghaib dari neraka.

Terjaga!

will carroll covid 19 koma

Pada tarikh 30 Mac 2020 hari ke 12 dia koma, entah tak semena-mena Will Carroll kembali membuka matanya.

Apa yang berlaku merupakan sesuatu yang sangat menakjubkan pihak perubatan kerana mereka tidak menyangka Will mampu sedar, berdasarkan kepada keadaannya ketika itu.

Celik saja matanya, Will menegur jururawat yang berada berdekatannya dengan satu soalan aneh - "adakah saya masih di neraka?"

Hanya selepas diperiksa dan didapati stabil, barulah Will menyedari di mana dia berada kerana dia langsung tidak mengingati dia sebenarnya sudah dibawa ke hospital sebelum itu.

Sedikit demi sedikit informasi tentang apa yang telah berlaku disalurkan kepada Will, menerangkan kepada beliau apa yang telah terjadi sebelum itu sehinggalah dia mencelikkan mata.

Will menjadi pesakit pertama di California Pacific Medical Center yang terselamat selepas diserang Covid-19.

Mimpi alam ghaib

ilustrasi gambaran neraka

Dalam temubual pertama beliau dengan media selepas pulih Covid-19 pada bulan Mei 2020, Will membuka cerita tentang pengalamannya melalui koma.

Sepanjang koma, Will mengalami mimpi yang menakutkan.

Will juga mengalami halusinasi bahawa dirinya senantiasa muntah darah yang berpanjanga, sehinggakan merasakan seolah tubuhnya mula kejang akibat serangan jantung dalam dunia nyata.

Ada juga mimpinya membawa dia ke sebuah alam yang Will dakwa mirip syurga kepercayaan orang Rom zaman dahulu, dipenuhi makhluk-makhluk bersayap yang setiap masa melakukan hubungan intim beramai-ramai secara terbuka.

Mimpi yang paling diingati Will, adalah bagaimana dia di bawa ke neraka bertemu dengan Syaitan yang hadir menemuinya dalam rupa seorang wanita - sebelum dia dihukum atas kesalahan-kesalahannya.

Syaitan betina itu menukarkan Will menjadi seekor makhluk mirip watak popular siri Star Wars, Jabba the Hutt lalu dihukum kerana selalu melengahkan sesuatu perkara atau dalam bahasa mudahnya, pemalas.

Itulah visual yang bermain sepanjang 12 hari dia berada dalam keadaan koma, disebabkan oleh trauma kesan ubat-ubatan ke atas tubuhnya.

Will mengakui pengalaman itu merupakan sesuatu yang sangat tidak digemarinya tetapi dia tidak ada jalan keluar melainkan terus terpaksa menjalani mimpi ngeri itu.

Pengalaman ngeri membawa kepada keinsafan

will carroll death angel

Apa yang dihadapi Will Carroll benar-benar mengubah hidupnya. Terpaksa berhadapan dengan maut menyebabkan dia berhenti tabiat merokok dan mengambil ganja.

Tabiat minum arak yang menjadi kebiasaannya berjaya dikurangkan. Diet sehariannya diubah bagi membantu dia mendapatkan kembali kekuatan, selepas dirinya perlu menjalani fisioterapi bagi memperkuatkan kembali otot yang telah lemah.

Walaupun hanya koma selepas 12 hari, dia hilang kemampuan untuk berjalan.

Minatnya sebelum itu yang lebih banyak berkisar kepada kuasa-kuasa ghaib kejahatan mula beralih kepada usaha mencari jawapan tentang hidup. Beliau lebih yakin dengan kewujudan Tuhan Yang Maha Kuasa, bertanggungjawab mencipta alam serta hidupan yang ada.

Bagaimanapun, minatnya terhadap muzik-muzik bergenre gelap besar kemungkinan akan terus kekal menjadi sebahagian hidupnya.

drummer death angel

Pengalaman merasai sendiri peritnya derita dirawat akibat serangan Covid-19, Will Carroll hanya mempunyai satu nasihat kepada mereka yang masih memandang ringan pandemik yang masih melanda walaupun ternyata ratusan ribu individu sudah kehilangan nyawa.

"Amalkan apa yang disarankan. Ikut peraturan. Pastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan."

Seandainya seorang drummer muzik thrash pun menasihati orang lain untuk sama-sama memutuskan rantaian jangkitan, eloklah kita pun ikut.

Jika tidak, mana tahu anda pula yang akan turut sama dibawa menjelajah neraka, berhalusinasi menemui Syaitan dan dihukum atas semua kelalaian anda, tanpa anda mampu mencelikkan mata.



Hakcipta iluminasi.com (2017)