Setiap individu yang menyertai industri seni pasti mempunyai satu bidang pengkhususan, dijadikan fokus utama dalam kariernya. Pelakon berlakon, penyanyi menyanyi, pemuzik bermain muzik dan seterusnya.

Itu kaedah kita mengenalpasti kekuatan karier seseorang dalam bidang yang diceburinya. Walau demikian, individu yang mempunyai kemahiran seni kebiasaannya turut sama mempunyai kemahiran lain yang jarang kita perkatakan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apatah lagi apabila kemahiran mereka itu mencapah terlalu jauh berbanding imej mereka yang kita kenali. Berikut adalah lima orang selebriti yang sebenarnya menyimpan bakat berbeza dalam muzik keras, yang sama sekali kita tak sangka.

1. Jada Pinkett Smith

wicked wisdom band photo 1000x500

Kita lebih mengenali pelakon wanita ini dalam trilogi filem The Matrix serta status beliau sebagai isteri (bekas isteri?)  kepada aktor terkenal Will Smith.

Ketika permulaan abad ini, sekitar tahun 2002 sebelum beliau muncul dalam dua filem The Matrix, Jada Pinkett turut sama terlibat dalam sebuah kumpulan 'heavy-metal' yang digelarkan sebagai Wicked Wisdom bersama empat orang lagi sahabatnya, dengan Smith sebagai vokalis utama.

Mereka melakukan siri-siri konsert untuk beberapa tahun sebelum melancarkan album pertama pada tahun 2004, yang membolehkan mereka menyertai festival muzik besar Ozzfest pada tahun 2005.

Wicked Wisdom mengeluarkan album kedua pada tahun 2006 sebelum mula berhibernasi, semua anggota meneruskan karier secara berasingan tetapi tidak berpecah secara formal.

2. Christopher Lee

christopher lee charlemagne

Mendiang pelakon Christopher Lee lebih dikenali memainkan watak Saruman serta bermacam lagi watak ikonik sepanjang kariernya, sehinggakan karier panjang beliau dalam bidang muzik jarang diperkatakan.

Mendiang Lee terlibat dalam banyak projek-projek muzik dengan tunjang karier beliau dalam bidang ini, tertumpu kepada aktiviti solo serta penglibatan beliau dengan kumpulan metal dari Itali iaitu Rhapsody of Fire.

Mempunyai suara dalam, berada dalam skala bass yang cukup sesuai untuk nyanyian operatik, penglibatan beliau kali terakhir diterbitkan pada tahun 2019 melalui rakaman yang sempat dilangsungkan sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 2015.

3. Vitamin C

vitamin c pop punk eves plum

Nama penyanyi wanita ini mungkin tidak lagi sebesar dulu semasa kemuncak populariti beliau, namun nama penyanyi pop Vitamin C atau nama sebenarnya Colleen Ann Fitzpatrick terus diingati kerana lagu ini...

Lagu yang menjadi lagu tema rasmi setiap kali berlakunya graduasi atau majlis-majlis perpisahan terus menghantui hidup kita, sama ada kita suka atau tidak.

Sebelum bergelar penyanyi pop, Vitamin C sebenarnya telah pun bertindak sebagai vokalis sebuah kumpulan punk yang aktif bernama Eve's Plum, bergerak sekitar dekad 90-an dalam industri muzik bawah tanah New York.

Kugiran itu menerbitkan 3 album dengan Vitamin C/Colleen bertindak sebagai vokalis dengan penampilan yang sangat-sangat jauh berbeza dengan imejnya yang lebih dikenali. Selepas digugurkan daripada label syarikat rakaman, Eve's Plum bergerak secara bebas untuk beberapa tahun sebelum dibubarkan pada tahun 1998.

Colleen memilih untuk menukar perjalanan karier, menukar personanya kepada vokalis pop dan bergerak solo sebagai Vitamin C.

4. Keanu Reeves

dogstar keanu reeves

Kami tidak perlu memperkenalkan Keanu Reeves kepada anda. Walaupun banyak pihak mengkritik beliau sebagai pelakon yang kurang berbakat, kerjayanya kekal dipuncak untuk beberapa dekad sehinggakan pada usia 50-an dia lebih dikenali sebagai pelakon aksi paling berjaya.

Sebelum meledak namanya sebagai pelakon sekitar tahun 1991-1992, Reeves beserta beberapa orang rakannya menubuhkan sebuah kugiran alternatif yang diberi nama Dogstar.

Berikutan nama Reeves yang ketika itu mula meningkat, Dogstar melancarkan siri jelajah yang boleh dikatakan berjaya serta membuka jalan kepada beberapa buah kugiran baru (ketika itu) seperti Weezer dan Rancid untuk memulakan karier.

Dogstar akhirnya memilih untuk berpecah pada tahun 2002, sempat melancarkan 1 album mini dan dua album penuh. Secara rasmi, Dogstar belum kembali bersatu tetapi sekali-sekala masih melakukan penampilan bersama.

5. Pele

pele komposer muzik handalan

Nama Pele merupakan salah satu nama besar dalam sukan bola sepak, berikutan kemahirannya yang dianggap terulung dalam generasinya. Tetapi tahukah anda, Pele juga mempunyai karier panjang dalam bidang muzik?

Pele mewarisi bakat seni ayahnya yang banyak mempengaruhi minat beliau sejak kecil dan kemahirannya itu mula diasah melalui penghasilan lagu-lagu, sekitar dekad 70-an dan 80-an. Namun dia dan pengurusannya tidak mahu orang tahu disebabkan untuk melindungi imejnya sebagai seorang pemain bola sepak ternama.

Sepanjang karier tidak rasmi beliau dalam bidang seni, Pele telah menghasilkan banyak karya yang dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi lain. Dia juga sempat bekerjasama vokalis wanita paling terkenal di Brazil bernama Elis Regina, menghasilkan lagu duet keduanya yang terbit pada penghujung karier bola sepaknya.

Melihat muzik sebagai hobi, Pele masih terus aktif dalam muzik kali terakhir karya karangannya diterbitkan pada tahun 2020, bersama pemenang anugerah Grammy dari Mexico, Rodrigo y Gabriela.

(Ya, kami tahu kami sebut rock, punk dan metal dalam tajuk artikel - tetapi kami terpaksa letak Pele sekali di sini.) 

6. Ben Stiller

ben stiller capital punishment

Ben Stiller kini lebih dikenali sebagai seorang pelakon komedi, pengarah dan produser filem tetapi sebelum semua itu - dia dan beberapa orang rakan sekolahnya telah pun menubuhkan sebuah kugiran punk rock bernama Capital Punishment.

Sebuah album berjudul 'Roadkill' diterbitkan secara sendiri sebanyak 500 unit, dengan bantuan modal daripada keluarga. Bagi melancarkan album itu, satu persembahan khas diadakan kepada mereka yang menyumbang untuk menjayakan album itu. Album itu gagal dipasarkan, walaupun mereka bergerak dari satu kedai ke kedai untuk cuba menjualnya.

Menyedari kurangnya sambutan terhadap muzik yang mereka keluarkan, Capital Punishment mula senyap dan karier Stiller sebagai seorang pemain dram terhenti dan dia sendiri merahsiakan perkara itu dari media, selepas kariernya meningkat.

Hanya selepas seorang pemilik label rekod menemui rakaman itu secara tidak sengaja pada tahun 2015 dan berusaha mencari siapakah kesemua individu di sebalik kugiran itu untuk membolehkan album itu diterbitkan semula, barulah kisah berkenaan Capital Punishment mula dikeluarkan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)