Oleh pada 11 Jun 2019 kategori

penghuni neraka

Apabila disebut tentang neraka, perkara pertama yang akan terlintas pada setiap minda umat Islam adalah kawasan yang marak dengan api. Dalam al-Quran, gambaran-gambaran yang menerangkan tentang azabnya neraka terkandung dalam banyak ayat.

Bagi mereka yang tidak tahu apa itu neraka daripada perspektif umat Islam, neraka merupakan satu kawasan di akhirat yang layak dikatakan seburuk-seburuk sesuatu kawasan. Ada pendapat menggambarkan neraka sebagai sebuah penjara yang khas untuk menyeksa pesalah dengan kesengsaraan yang tak tergambar dengan minda kita.

Banyak pendapat mengatakan neraka mempunyai peringkat-peringkatnya yang digelarkan sebagai 'thabaqat' dan kesemuanya mempunyai 7 tingkat dengan setiap tingkat mempunyai penghuni yang berbeza. Walaupun ulama' mempunyai banyak pendapat dalam hal ini khasnya dalam bentuk tingkat ini serta jumlah sebenar tingkat neraka, majoritinya mengkategorikan neraka kepada 7 kesemuanya.

1. Jahannam

jenis peringkat neraka

Dari segi bahasa, istilah 'jahannam' mempunyai banyak makna dalam bahasa Arab tetapi dalam menerangkan tentang neraka, 'jahannam' ini bermakna jahat, gelap dan murung. Neraka jahannam secara asasnya adalah sebuah tempat yang seram dan gelap, kerana senantiasa malam serta kering kontang.

Mereka yang menghuni neraka jahannam adalah orang-orang kafir yang tidak mengakui kebenaran agama Allah, orang-orang munafik, pengikut-pengikut Syaitan, orang yang gagal bertaubat sebelum meninggal dunia dan orang yang menentang Nabi dan Rasul pada zamannya.

2. Ladza

ilustrasi neraka

Neraka ladza dikatakan neraka yang mempunyai rimbunan api yang stabil tetapi sangat panas dan sekiranya apinya terkena pada tubuh manusia, mampu mengelupaskan kesemua bahagian kulit.

Tingkat neraka ini dikhaskan untuk mereka yang senantiasa mengajak orang lain lari daripada kebenaran ajaran Nabi dan Rasul. Selain itu, tingkat ini juga dikhaskan untuk manusia yang sibuk mengumpulkan harta tanpa mempedulikan hukum-hakam halal haram sumbernya dan menyimpan hartanya, tanpa mahu mensucikan sumber pendapatannya itu.

3. Hutamah

dibakar hidup hidup

'Hutamah' disebutkan dalam al-Quran sebanyak 6 kali dan kesemuanya membawa makna yang serupa iaitu 'menghancurkan sesuatu.' Ini bermakna neraka hutamah adalah tempat dimana manusia akan dihancurkan berikutan perbuatannya semasa hidup di dunia.

Neraka hutamah disebutkan secara jelas dalam surah al-Humazah dari mula sehingga habis, digambarkan sebagai tempat di mana manusia yang terlalu asyik dan yakin dengan harta milikannya berbanding Allah swt. diseksa.Penghuni neraka hutamah akan diikat pada batang-batang palang sebelum api dinyalakan pada mereka yang akan membakar penghuninya - sehingga ke hati.

4. Sa'ir

seksaan neraka

Sa'ir bererti 'nyalaan api' dan istilah itu diambil daripada istilaa 'sa'ara' yang membawa makna menyalakan. Disebutkan sebanyak 15 kali dalam al-Quran.

Neraka sa'ir menjadi tempat bagi mana-mana manusia yang semasa hidupnya telah pun melakukan kesalahan memakan harta anak yatim dengan cara yang salah dan zalim, sehingga menidakkan hak anak-anak yatim itu.

5. Saqar

jenis neraka

Istilah 'saqar' merupakan istilah yang diambil daripada perkataan 'saqara' yang membawa makna sejenis perbuatan menandai sesuatu, dengan haba. Biasa tengok bagaimana haiwan ternakan dicop untuk memudahkan identifikasi? Itulah perbuatan 'saqara.'

Penghuni neraka saqar merupakan mereka yang semasa hidupnya tidak mengerjakan solat, bersedekah serta tidak berlaku adil dan kerap kali bersama-sama seronok memperkatakan tentang perkara yang tidak benar, sambil mempertahankan pembawanya. Penjelasan berkenaan neraka Saqar boleh ditemui dalam surah al-Muddaththir ayat ke 42 hingga 47.

6. Jahim

jahannam neraka

Disebutkan sebanyak 25 kali dalam al-Quran, istilah 'jahim' membawa makna api yang berkobar-kobar bentuknya. Tingkat neraka jahim ini dikhaskan untuk mereka yang terlalu leka dengan kemewahan dunia, sehingga lupa bersyukur terhadap rezeki yang diperolehinya.

Mereka diseksa disebabkan terlalu bermegah dan berseronok, sehingga lupa untuk menginfakkan atau mendermakan harta mereka kepada jalan yang diredhai Allah swt.

7. Hawiyah

heaven and hell

'Hawiyah' merupakan istilah yang berasal daripada perkataan akar 'hawa' yang bererti tergelincir atau terjatuh. Neraka hawiyah dianggap neraka yang paling ringan hukuman bagi penghuninya, berdasarkan kepada firman Allah swt. dalam surah al-Qaari'ah.

Dalam surah tersebut disebutkan bahawa penghuni neraka hawiyah adalah mereka yang apabila ditimbang amalannya, didapati ringan amalan baiknya. Walaupun begitu, hukuman kepada penghuninya kelak tetap dijanjikan datang dalam bentuk api yang panas serta membakar.

Rujukan

Eprints UIN Walisongo (PDF)



Hakcipta iluminasi.com (2017)