Dekad 1970-an sehinggalah penghujung 1990-an menyaksikan muzik menjadi antara satu elemen besar dalam masyarakat kita.

Kumpulan-kumpulan rock tumbuh macam cendawan disebabkan oleh permintaan dan anggota kumpulan muzik rock, daripada vokalis sehinggalah pemain bass sekalipun menjadi sebutan orang ramai sehingga ramai nak bermenantukan rockers. Walaupun begitu bukan semua kumpulan rock menjadi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ada yang muncul dan hilang. yang meletup tetapi tidak mempunyai karier panjang. Hanya beberapa kumpulan unik meninggalkan legasi muzik yang mengubah citarasa masyarakat dengan lagu yang terus menjadi siulan sehingga kini.

1. Wings

kumpulan wings pengaruh industri

Bagi generasi anak muda sekarang, mereka berkemungkinan besar lebih mengenali Ahmad Azhar Othman atau Awie sebagai pelakon komedi dalam siri filem Hantu Kak Limah.

Tetapi bagi generasi terdahulu, Awie adalah salah satu ikon muzik rock Malaysia yang sangat disegani kemampuan vokalnya bersama kumpulan Wings. Kemunculan kumpulan Wings sekitar tahun 1987 menerusi album 'Belenggu Irama' mengejutkan semua pihak dengan lagu-lagu yang memukau.

Kerjasama antara Wings, Bob Lokman, JS Kevin dan seniman lejen M.Nasir terus membentuk diskografi Wings yang padu mencatatkan jualan lebih 180,000 unit untuk 6 album terawal mereka, setiap satu.

Antara lagu Wings yang terus menjadi nyanyian masyarakat kita adalah 'Sejati', lagu yang dipetik dari album Teori Domino.

2. Ukays

ukays kumpulan berpengaruh

Hasil tangan komposer Saari Amri memang banyak menghiasi halwa telinga masyarakat Malaysia, tetapi garapan beliau mendidik dan membentuk diskografi kumpulan Ukays meninggalkan kesan mendalam kepada kita.

Dua album awal kumpulan Ukays tidak mendapat hasil yang diharapkan, sebelum album 'Bisa-Berbisa' meletup, mencatatkan jualan sehingga 400,000 unit memperkenalkan 'bisa' Ukays kepada rakyat Malaysia.

Amir vokalis utama kumpulan Ukays mula menghiasi mimpi anak gadis kita, apatah lagi selepas lagu 'Di Sana Menanti Di Sini Menunggu' meletup memberikan harapan kepada mereka yang telah jatuh cinta.

Selain lagu-lagu yang kekal klasik, Ukays juga memulakan trend menamakan album dengan kata gandaan dengan judul 'Bisa-Berbisa' dan 'Tajam-Menikam' seolah-olah menjadi identiti mereka.

3. Slam

slam zamani kumpulan rock balada

Ketika zaman kemuncak mereka, ramai jejaka di luar sana berangan nak rambut macam vokalis Slam, Zamani. Terpilih menjadi vokalis Slam selepas sesi uji bakat bagi menggantikan vokalis asal mereka, keserasian Zamani dan Slam nyata berjaya.

Slam mempunyai karier panjang, terkenal di negara-negara Asia Tenggara dengan jumlah jualan album yang tinggi sehingga diberikan peluang merakamkan dua album berbentuk 'unplugged'.

Era kejatuhan Slam bermula selepas beberapa kontroversi melibatkan masalah disiplin melibatkan anggota Slam berlaku, menyebabkan jurang antara anggota membesar.

Walaupun demikian legasi mereka telah terpahat, dengan melodi cantik 'Gerimis Mengundang' juga ciptaan Saari Amri, menjadi lagu wajib anak muda kita untuk dimainkan semasa belajar gitar.

4. XPDC

kumpulan xpdc brutal mael ali

Di antara semua kumpulan dalam senarai ini, kumpulan XPDC mengalami turun naik yang cukup mendadak sepanjang karier mereka. Masalah disiplin, konflik dan pelbagai dakwaan menghantui mereka.

Tetapi pengaruh mereka kepada industri muzik cukup besar dan tidak boleh digugat, kerana XPDC terus mampu kekal relevan walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai isu - daripada pertukaran vokalis sehinggalah wujudnya dua versi kumpulan XPDC.

Setiap satu album XPDC pasti mempunyai satu lagu yang popular, antaranya C.I.N.T.A, CT Cinta Kenangan Silam, Titian Perjalanan sebelum album Brutal meletakkan XPDC sebagai sebuah kugiran klasik.

Album tersebut merupakan antara album rock terbaik pernah terhasil di negara, mencatatkan angka jualan mengagumkan serta memperkenalkan kembali sebuah lagu klasik Melayu berjudul 'Hidup Bersama' kepada generasi baru.

5. Search

search legenda rock malaysia

Kami mohon maaf kepada peminat kumpulan Wings. Jika anda tanya pada kami kumpulan rock nombor 1 Malaysia - kami akan jawab Search.

Search adalah fenomena muzik Malaysia yang sukar untuk ditiru dan diulangi dibantu oleh karisma setiap anggota kumpulan itu. Susah nak jumpa kugiran rock Malaysia lain yang setiap satu anggotanya kita kenal serta memainkan peranan besar dalam 'bunyi' yang terhasil dalam album mereka.

Kumpulan Search bermula dari bawah, menempuhi liku-liku yang ditempuhi semua artis sebelum benar-benar mencapai puncak menerusi album keempat mereka 'Fenomena', yang menampilkan lagu berhantu 'Isabella.' Search mengalami naik turun, menerbitkan album bersama Wings sebelum Awie sendiri terpilih sebagai vokalis utama Search.

Kerjasama itu kekal untuk satu album sebelum Search 'dibekukan' secara rasmi pada tahun 2001. Kugiran legenda ini kembali aktif, mengeluarkan album pada tahun 2006 sebelum melancarkan album terakhir mereka, 'Katharsis' pada tahun 2017.




Hakcipta iluminasi.com (2017)