doctor ignaz semmelweis

Kisah ini adalah sebuah kisah di mana idea seseorang yang mudah, mampu menyelamatkan ribuan nyawa. Kisah ini juga membuktikan ada kalanya, doktor dan saintis juga tidak tahu serta terlalu degil untuk menerima idea baru, yang sebenarnya baik.

Pada tahun 1846, ada seorang doktor di negara Hungary bernama Ignaz Semmelweis, yang bertugas sebagai seorang pembantu professor di John Hopkins School of Public Health. Ketika itu adalah era di mana pihak pakar perubatan mula menggunakan bukti saintifik dan bukan lagi bergantung kepada kepercayaan serta mistik dalam kaedah perubatan mereka. Kajian anatomi mula menjadi kerap dilakukan dan doktor mula menganalisa maklumat serta data.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Semmelweis yang pada ketika itu masih muda, juga mempunyai kecenderungan yang sama. Dia berminat untuk mengetahui mengapa terlalu ramai ibu yang mati akibat puerperal fever atau dipanggil 'childbed fever' ketika itu. Childbed fever menyerang ibu yang baru bersalin atau keguguran anak dengan jangkitan, sehingga mengakibatkan kerosakan organ dan kematian. Dia dibenarkan melakukan penyelidikan di Vienna General Hospital.

bilik pembedahan zaman dulu

Semmelweis melakukan kajian di dua wad bersalin, satu dijaga oleh doktor lelaki dan pelajar perubatan sementara satu lagi oleh bidan wanita. Melihat statistik kematian yang berlaku, Semmelweis mendapati kadar kematian pada wad yang dijaga oleh doktor lelaki 5 kali ganda lebih tinggi berbanding wad bidan wanita.

Semmelweis pun melakukan beberapa cadangan untuk membantu mengurangkan kadar kematian tetapi kebanyakannya tidak mendatangkan sebarang perbezaan, sehinggalah Semmelweis merasa kecewa lalu memohon cuti kerana kajiannya tidak mendatangkan hasil. Semmelweis pulang dari cuti dan mendapat perkhabaran rakan karibnya, seorang ahli patologi  telah meninggal dunia. Rakannya mati kerana mengalami demam yang menyebabkan kematian.

Terkejut dengan berita itu, Semmelweis menyedari mungkin ada kaitan di antara tugas seorang patologis yang perlu memeriksa badan wanita dengan jarinya dengan demam yang membunuh rakan karibnya itu. Gembira Semmelweis apabila dia mendapati bukan sahaja wanita bersalin sahaja yang menghadapi childbed fever. Rakannya turut sama mendapat penyakit serupa.

Walaupun begitu, persoalan paling besar belum dapat dijawab Semmelweis; mengapa kadar kematian di wad doktor lelaki dan pelajar perubatan 5 kali ganda lebih tinggi berbanding dengan wad yang dijaga bidan wanita?

membasuh tangan zaman dulu

Semmelweis melakukan pemerhatian dan mendapati doktor lelaki serta pelajar kerap berinteraksi dengan proses autopsi yang memerlukan mereka memegang mayat sementara bidan pula kerjanya hanya menyambut kelahiran. Ini menunjukkan kuman sebenarnya datang daripada mayat-mayat yang disentuh lalu berpindah daripada tangan doktor serta pelajar perubatan ke ibu-ibu yang bersalin, lalu menyebabkan infeksi.

Semmelweis pun mengarahkan agar semua pihak yang terlibat dengan kelahiran bayi membasuh tangan menggunakan sabun dan klorin, kerana pada Semmelweis, klorin adalah satu-satunya bahan yang dapat menghilangkan bau mayat dari jari. Selepas arahan ini dikuatkuasakan, kadar kematian menurun dengan mendadak.

Namun itu bukan penamat ceritanya!

membasuh tangan

Cadangan Semmelweis itu mendapat kritikan pihak doktor kerana Semmelweis meletakkan tanggungjawab kematian ibu bersalin selama ini pada bahu pihak doktor. Semmelweis pula bukanlah seorang yang pandai berkata-kata, dia membalas kritikan pihak doktor yang tidak mempercayai cadangannya itu dengan makian serta kutukan.

Atas desakan doktor-doktor, Semmelweis dibuang daripada kerja pada tahun 1850 dan pulang ke Budapest secara senyap-senyap. Pada tahun 1861, Semmelweis akhirnya menerbitkan kajiannya yang bertajuk 'The Etiology, the Concept, and the Prophylaxis of Childbed Fever' yang menerangkan teori beliau berkenaan childbed fever dan teknik yang perlu diamalkan untuk mengurangkan jangkitan, seperti teknik basuhan tangan yang betul.

Oh, tidak lupa juga diselitkan serangan-serangan bisa kepada semua pihak perubatan yang tidak mempercayai idea beliau yang telah terbukti berkesan menurunkan kadar kematian ibu bersalin.

kulit buku semmelweis

Hasil kerja Semmelweis dikatakan kurang bernasib baik kerana mendahului zaman. Hanya pada 1867, Joseph Lister yang langsung tidak pernah mengetahui tentang kajian Semmelweis memperkembangkan teori tentang penggunaan antiseptik ketika autopsi dan pembedahan, serta penggunaan bahan-bahan yang membunuh kuman ketika membasuh tangan. Hasil kerja Louis Pasteur pula hanya bermula pada hujung 1850 sebelum teori berkaitan kuman penyebab jangkitan ditemui antara 1860 hingga 1865.

Semmelweis pada penghujung hayatnya dimasukkan ke dalam institusi mental pada 30 Julai 1865, Dia meninggal 2 minggu selepas kemasukannya ketika usianya baru mencecah 47 tahun. Ada yang mengatakan kelakuannya sebelum dimasukkan ke institut itu semakin keterlaluan dan pelik, kerana dia kerap menjadikan dirinya sendiri bahan eksperimen, dengan menjangkitkan dirinya dengan kuman-kuman.

setem koleksi semmelweis

Jika anda membasuh tangan dengan sabun selepas ini, ingatlah kisah Dr.Semmelweis ini. Idea Semmelweis yang sebenarnya benar, dikatakan salah oleh komuniti perubatan, hanya kerana pihak doktor tidak mahu mengakui merekalah punca kematian ramai wanita pada zaman itu.

Bayangkan berapa nyawa dapat diselamatkan jika semua orang menerima idea mudah Semmelweis, yang hanya meminta orang ramai membasuh tangan dengan sabun dan klorin? Namanya juga susah hendak dijumpai dalam buku teks kita, kan?




Hakcipta iluminasi.com (2017)