Satu ketika dulu hanya sekitar abad ke 19, tamadun manusia masih belum memahami punca sebenar di sebalik penyebaran wabak. Jadi banyak perkara tentang jangkitan yang berlaku, disimpulkan hanya berdasarkan andaian semata-mata.

Salah satu andaian yang diamalkan adalah tatacara pemakaian topeng untuk mana-mana individu berstatus doktor yang ditugaskan untuk menangani jangkitan wabak. Setiap kali berlakunya serangan wabak, doktor-doktor wabak atau 'plague doctor' akan diminta hadir bagi menjalankan siasatan serta rawatan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mereka mudah dikenali kerana mereka sahaja pakar perubatan yang akan memakai topeng unik, mirip seekor burung yang menutupi keseluruhan wajah mereka. Kenapa?

Teori di sebalik topeng doktor wabak

plague doctor doktor wabak zaman dulu

Sekiranya anda lihat rupa topeng itu, reka bentuknya agak menakutkan bukan? Sangat berbeza dengan usaha pihak perubatan zaman sekarang yang mahu mewujudkan perasaan mesra di antara doktor dan pesakit.

Kenapa rekaan seperti itu digunakan? Ada sebabnya.

Pandangan pakar perubatan zaman lampau sejak abad pertama lagi percaya wabak wikid disebabkan oleh  udara yang tercemar, digelarkan sebagai 'miasma'; diambil daripada bahasa Yunani yang bermaksud 'udara kotor.'

Teori wabak berpunca daripada udara ini diasaskan oleh seorang pakar perubatan zaman purba bernama Aelius Galenus sebelum dia meninggal dunia pada tahun 210.

Oleh kerana itulah pihak-pihak perubatan zaman dahulu seringkali mengaitkan udara kotor sebagai punca utama penyakit berlaku. Teori ini yang kita kenali sebagai 'teori miasma sebagai agen penyebaran wabak' dipegang pihak-pihak perubatan sehingga abad ke 19. Tak lama dahulu kan?

Kajian ketika itu percaya 'miasma' merupakan punca utama berlakunya jangkitan kolera di London dan Paris pada tahun 1850. Jadi dengan membersihkan badan serta barangan di sekeliling rumah, udara dipercayai dapat dibersihkan dan kadar jangkitan dapat dikurangkan.

Bagi petugas zaman tersebut, mereka berpegang bahawa mereka memerlukan pakaian seragam yang mampu menapis udara tercemar daripada menusuk masuk ke dalam hidung. Atas sebab tujuan itulah pakaian doktor wabak direka sebegitu.

Topeng seram doktor wabak

plague doctor topeng

Bertugas atas lantikan kerajaan atau pemerintah, seorang doktor wabak di Eropah mempunyai beberapa tanggungjawab penting. Mereka ditugaskan untuk merawat dan menjaga pesakit wabak, selain itu mereka juga akan diminta mengebumikan mayat pesakit yang telah meninggal dunia.

Disebabkan kekerapan terdedahnya mereka kepada pesakit wabak secara dekat dan terpaksa berkongsi udara 'miasma' yang kotor dengan pesakit, satu sut khas dicipta.

Semua doktor yang terlibat dengan pesakit wabak disediakan topi khas bagi memudahkan orang ramai mengenali mereka dan jubah panjang yang menutupi keseluruhan badan mereka.

Simbol utama doktor wabak sudah pastilah daripada rekaan topeng muka mereka yang agak menyeramkan dan unik - tetapi sebenarnya mempunyai fungsi yang penting pada zaman tersebut; berdasarkan kepada teori miasma yang mereka pegang.

Untuk menutupi saluran pernafasan seseorang doktor daripada miasma, semua doktor dibekalkan dengan topeng yang mampu menampung bahan-bahan nyahbau yang wangi dan kuat, seperti pudina dan bunga mawar.

Bahan-bahan ini yang dihancurkan, akan diletakkan di bahagian paruh topeng muka tersebut - bagi membolehkan seseorang doktor bernafas dengan selesa tanpa miasma mampu menjangkiti mereka.

Atas sebab itulah rekaan mirip paruh digunakan, bagi membolehkan wujud ruangan bagi doktor meletakkan bahan-bahan herba itu sebagai penapis pernafasan mereka.

Teori miasma akhirnya dibuang ke laut

teori miasma london wabak

Pereka kepada pakaian ini adalah seorang ahli perubatan bernama Charles de Lorme dari Perancis. Dia merupakan doktor yang pernah dilantik keluarga pemerintah Perancis dan Itali sebagai doktor di-raja, diberikan tanggungjawab merekabentuk uniform tersebut pada tahun 1619.

Dengan mengambil rekaan pakaian tentera ketika itu yang mampu menutupi keseluruhan badan individu askar, rekaan de Lorme bagaimanapun hanya mula digunakan pada tahun 1656 selepas Naples di Itali diserang wabak.

Walaupun dengan rekaan uniform wabak yang baru, tetap tidak dapat menghalang kematian berlaku dalam angka yang besar; sehingga mencecah 145 ribu orang di Rom dan 300 ribu orang di Naples.

Hanya selepas berlakunya perkembangan ilmu pengetahuan dalam bidang mikrobiologi dan pemahaman tentang bakteria, teori yang mengaitkan miasma dan penyebaran wabak mula dicabar.

Pada tahun 1846, sebuah akta diperkenalkan di London bagi mengenalpasti punca sebenar wabak kolera yang melanda - sama ada disebabkan oleh air atau udara.

Semakin banyak bukti yang dikenalpasti mula menunjukkan bahawa punca wabak bukannya disebabkan oleh udara kotor, sebaliknya oleh bendasing yang wujud dalam situasi kotor. Teori miasma hasil pandangan Galenus mula didapati mempunyai banyak ketidak tentuan, sebaliknya teori kuman atau bendasing yang menjadi alternatif sebelum itu mula diberikan perhatian lanjut.

Malangnya pendapat Galenus terus dipegang pakar perubatan yang percaya udara kotor menyebabkan jangkitan berpindah; walaupun penyelidik sarjana Islam seperti Ibn Sina dan Ibn Khatima telah pun mengemukakan sanggahan kepada teori miasma sejak abad ke 10; yang menyatakan kewujudan makhluk-makhluk halus mampu hadir ke dalam tubuh sehingga mampu menyebabkan jangkitan.

Kini kita telah mengetahui secara lebih mendalam bagaimana jangkitan mampu berlaku, menyebabkan teori miasma yang dipegang majoriti pakar perubatan hampir 2000 tahun lamanya tertolak.

Kita juga sudah tahu topeng doktor wabak sebenarnya langsung tidak berkesan dalam mengawal jangkitan, kerana udara kotor bukanlah punca sebenar masyarakat dunia sakit.Itulah berkat kemajuan kita dalam ilmu perubatan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)