Setiap kali James Hamblin menyebut sudah 5 tahun dia tidak menggunakan sabun ketika mandi, reaksi jijik akan diterimanya. Apatah lagi Hamblin sendiri seorang doktor berusia 37 tahun yang mengajar di Yale School of Public Health.

Sudah biasa dihakimi orang yang kurang senang dengan pilihannya, Hamblin tahu pilihannya itu memang aneh untuk didengari. Tetapi anda perlu tahu, dia masih menggunakan sabun untuk mencuci tangan dan waktu lain bila perlu. Hanya ketika mandi, dia enggan bersabun seperti orang lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun demikian rupa parasnya yang kelihatan agak muda (untuk usianya) sedikit sebanyak menunjukkan ada kebenaran di sebalik pilihan pelik doktor muda ini.

Tabiat baru selepas memperolehi perspektif berbeza

james hamblin soap sabun mandi

Rutin mandi Hamblin mula berubah selepas dia mempelajari tentang sains di sebalik mikrobiome, hidupan-hidupan kecil yang menjadikan tubuh kita sebagai perumah mereka khasnya di bahagian kulit dan usus.

Cadangan-cadangan ahli mikrobiologi yang mendapati rutin mandian biasa kita sebenarnya menjejaskan sistem semulajadi yang ada pada diri kita, membuatkan Hamblin menukar tabiatnya - mempersoalkan apa yang 'asli' dan apa yang popular.

Hamblin merasakan stigma kita terhadap bau badan yang melampau, menyebabkan kita jadi terlalu takut untuk 'tidak berbau wangi,' memaksa kita menggunakan bermacam jenis produk hanya untuk memastikan kita rasa selamat.

Sehinggakan kita secara automatik mengaitkan bau sabun, minyak wangi, kolon dan wangian sebagai 'bau bersih' sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali.

Namun dalam masa yang sama, menurut Hamblin - lebih ramai orang tidak membersihkan tangan kita dengan betul dalam dua situasi yang benar-benar memerlukannya; sebelum makan dan selepas ke tandas.

Apa bau semulajadi anda?

body odour bau badan

Menurut Hamblin, setiap orang sepatutnya menghargai bau semula jadi tubuh mereka kerana beliau percaya bau yang terhasil memberikan kita bermacam informasi, tentang diri kita sendiri.

Dalam kajiannya, Hamblin menemui seorang pengkaji yang berjaya membuktikan anjing mempunyai kemampuan untuk mengenalpasti kewujudan sel kanser dalam tubuh seseorang hanya berdasarkan kepada bau.

Selain itu, kajian Hamblin juga menunjukkan kebanyakan pasangan khasnya pasangan wanita sebenarnya gemar dengan bau tubuh asli pasangan mereka, tanpa ada pertambahan bahan kimia yang selalu diamalkan.

Hamblin juga memetik seorang wanita yang memberikan inspirasi kepadanya untuk meninggalkan terus amalan menggunakan sabun iaitu Maya Dusenberry, seorang penulis yang mengalami masalah jerawat pada kulit.

maya dusenberry

Selepas menjalani bermacam rawatan dan mencuba pelbagai jenis produk, Dusenberry akhirnya berhenti menggunakan semuanya. Hasilnya? Masalah jerawat dirinya hilang.

Pengalaman Hamblin sendiri unik. Selepas berhenti menggunakan produk-produk yang ada, dia mula menyedari berlakunya perubahan pada bau badan yang bergantung kepada emosi. Ketika dia tenang, baunya berbeza - bila dia merasa tegang, baunya mula jadi lebih tengik.

Proses pemulihan yang akan memakan masa

microbiome tubuh

Perubahan yang dilakukan oleh Hamblin dan Dusenberry akan memakan masa berbulan lamanya sebelum hasilnya mula kelihatan.

Hamblin memulakan proses penggantungannya pada produk sabun dan deodoran secara berkala, sehinggalah ke satu tahap di mana dia mula rasa benar-benar selesa tanpa memakainya. Kesan perubahan ini membolehkan kulit Hamblin jadi kurang berminyak dan ruam-ruam yang kerap berlaku sebelum itu, mula hilang sedikit demi sedikit.

Pengalaman Dusenberry pula agak berbeza. Selepas dia mengalami pelbagai jenis kesan sampingan akibat pengambilan ubat-ubatan yang didakwa berupaya mengawal masalah jerawatnya, Dusenberry nekad berhenti dan bertahan.

Kulitnya mula berminyak teruk selepas itu untuk beberapa bulan, sebelum mula menjadi stabil. Kini Dusenberry hanya membersihkan muka dengan kain dan air sahaja.

Apa yang dilalui Hamblin dan Dusenberry mirip dengan hasil-hasil kajian yang telah dijalankan terhadap beberapa komuniti masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman. Komuniti ini didapati mempunyai tahap mikrobiome yang tinggi disebabkan oleh pendedahan mereka kepada alam, serta lebih kerap kotor berbanding penduduk bandar.

Pihak pengeluar produk cuba mengambil kesempatan

kesan sabun kepada kulit

Disebabkan kritikan-kritikan yang kedengaran daripada pihak-pihak yang sependapat dengan individu seperti Hamblin dan Dusenberry, pengeluar-pengeluar produk kosmetik ketika ini mula giat melakukan penambahbaikan dalam memastikan produk keluaran mereka 'mesra mikrobiome.'

Produk-produk baru yang kini mempunyai bakteria hidup atau bahan yang mampu mengekalkan sistem mikrobiome pada kulit kita, sedang dikaji dan diramalkan bakal dilancarkan tak lama lagi oleh gergasi-gergasi kosmetik dan produk kesihatan dunia.

Melihat taktik pemasaran pengeluar produk sejak dahulu lagi yang cukup gemar membesar-besarkan sesuatu yang tak sepatutnya dibimbangi seperti bau badan, Hamblin menasihatkan agar pengguna tidak lagi terpedaya.

Taktik terbaru pengeluar menurut Hamblin, berkemungkinan besar akan mula memfokuskan kepada usaha menakutkan kita dengan ketidak seimbangan mikrobiome sebagai pelaris jualan dan penggunaan produk mereka akan mengembalikan keseimbangan yang kita perlukan.

Adakah anda sanggup bertahan untuk beberapa bulan, berdepan kritikan orang sekeliling anda dalam usaha mengembalikan kulit anda ke tahap normal secara semulajadi?

Beberapa bulan saja menghadap bau badan untuk dapat kulit 'flawless'? Penulis sanggup.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel Soap dodger: meet the doctor who says we have been showering wrong yang diterbitkan pada 28 Julai 2020 oleh The Guardian UK.

Nak tahu bagaimana sabun tercipta? Rujuk artikel kami di sini tentang sejarah sabun secara ringkas.




Hakcipta iluminasi.com (2017)