Dalam catatan sejarah, banyak kedengaran kisah doktor-doktor yang mempunyai kemahiran perubatan yang tinggi, namun ada sedikit 'kerosakan' berlaku dalam mental mereka. Kerosakan itu menyebabkan mereka mampu melakukan perkara yang tidak langsung dapat dibayangkan oleh orang lain.
Zaman perang dunia memang membawa pelbagai jenis kisah berkenaan pengamal-pengamal perubatan yang aneh, tetapi sehingga kini tidak ada satu pun yang dapat menandingi 'kewibawaan' seorang doktor yang sangat cekap, berpengetahuan luas serta berkebolehan tinggi bernama Josef Mengele.
BESARKAN TEKS A- A+
Berstatus doktor pakar, malangnya dia tidak menggunakan kemahirannya ke arah kebaikan malahan nampak lebih berminat melihat pesakitnya sakit. Atas sebab itulah dia terkenal dengan jolokan 'Angel of Death' pada era perang dunia kedua.
Sejarah Josef Mengele
Josef lahir pada 16 Mac 1911, anak sulung kepada tiga orang adik beradik. Ayahnya seorang ahli perniagaan membina jentera ladang bagi di Bavaria, Jerman. Ekoran perniagaan ayahnya yang besar, Josef sejak kecil dilimpahi kemewahan.
Sebagai anak sulung, Josef sepatutnya dipertanggungjawabkan untuk mengambil alih perusahaan ayahnya, namun dia nyata kurang berminat untuk menceburi bidang tersebut. Lagipun ayahnya sendiri merasakan Josef kurang layak kerana ada sesuatu yang aneh dan agak dingin pada sikap anaknya itu.
Jadi Josef menyambung pendidikan dalam bidang perubatan di Munich pada usia 19 tahun. Ketika inilah dia mula terpengaruh dengan gerakan Nazi yang pada waktu tersebut sedang meningkat naik pengaruhnya.
Selepas menamatkan pengajian, Josef menyertai pasukan paramilitan Nazi pada tahun 1934, sebelum menamatkan pengajian peringkat kedoktorannya setahun berikutnya dalam bidang antropologi (kajian sifat manusia). Dia berkhidmat sebagai doktor sebelum menyertai Third Reich Institute di Frankfurt.
Di sinilah dia bertemu dengan mentor yang akan mencorakkan hidupnya, Otmar Freiherr von Verschuer yang ketika itu sedang menjalankan penyelidikan terhadap pasangan kembar. Berikutan pengaruh Otmar, Josef dibawa masuk secara rasmi ke dalam parti Nazi pada tahun 1937 dan dinaikkan pangkat sebagai seorang SS atau 'Schutzstaffel' yang berkhidmat terus dengan Adolf Hitler pada tahun 1938.
Ekoran perang yang melanda, Josef dilantik untuk berkhidmat sebagai pegawai perubatan. Di sinilah kisah kegilaan Josef benar-benar bermula.
Permulaan zaman gila Josef
Beberapa tahun berkhidmat dalam perang, Josef dipanggil pulang Otmar untuk bertugas bersamanya di Kaiser Wilhelm Institute pada tahun 1942. Ketika inilah mereka berdua berganding bahu bersama-sama melakukan kajian saintifik bagi mendapatkan bukti-bukti yang mengesahkan agenda 'darah suci' (pure blood) pihak Nazi.
Bagaimanapun impian Josef mula sesuatu yang lebih peribadi dan besar. Dia ada kemahuan mahu melakukan kajian terus ke atas manusia. Untunglah ketika itu (bagi Josef) wujud kem tahanan Auschwitz yang penuh dengan manusia yang boleh dijadikan bahan ujikajinya. Josef memohon pertukaran ke situ dan Otmar tidak menghalang.
Berikutan kedudukannya sebagai seorang berpangkat SS dalam tentera Nazi, tidak ada masalah untuk Josef menggunakan kuasanya bagi mendapatkan apa yang dia mahu. Matlamatnya hanya satu, dia berminat hendak melakukan kajian saintifik terhadap pasangan kembar di situ, sama seperti apa yang sedang dilakukan mentornya.
Menentukan hidup atau mati seseorang
Josef dilantik sebagai ketua pakar perubatan, bertugas untuk menyelia sebuah kem pelarian lebih kecil di Birkenau yang turut terletak dalam kompleks tahanan Auschwitz yang sangat besar keluasannya.
Tugasannya adalah memastikan perjalanan perkhidmatan doktor yang bertugas lancar dan mengarahkan pesakit yang gagal sembuh untuk dihantar bagi dibunuh. Tugasan kedua itulah yang cukup digemari Josef, kerana dia diberi kuasa menentukan hidup mati pesakit, dalam tangannya sendiri.
Selain itu, setiap hari keretapi akan sampai membawa tahanan perang yang baru tiba untuk diproses oleh Josef dan pasukannya. Dia dan pasukannya akan memilih mereka yang kuat untuk bekerja dalam kem, sementara mereka yang dirasakan hanya akan menjadi beban terus akan dihantar ke kebuk gas beracun untuk dibunuh.
Kebiasaannya, tiga per empat daripada banduan yang baru hadir termasuklah kanak-kanak, ibu dengan anak kecil, wanita mengandung, warga emas serta mana-mana individu yang mempunyai masalah kurang upaya atau masalah kesihatan terus dibunuh selepas tiba, hanya selebihnya terus hidup sebagai tahanan dan buruh.
Apabila berlaku wabak penyakit di kalangan tahanan, Josef tidak teragak-agak untuk melakukan apa yang dia rasakan perlu. Dalam satu insiden melibatkan wabak demam tifus yang melanda kem wanita, Josef mengarahkan seluruh kem seramai 600 orang dikosongkan dan kesemua 600 orang itu dibunuh bagi memastikan sebaran wabak tidak keluar daripada kem itu.
Gila kan?
Eksperimen kejam Josef ke atas pasangan kembar
Walaupun Josef sangat suka menghantar tahanan ke kebuk gas beracun, minat sebenarnya tetap dengan kajian sains. Berada di Auschwitz, dia mudah menemui beratus-ratus pasangan kembar untuk menjadi bahan ujikajinya. Dianggarkan berpuluh pasangan kembar menjadi ujian Josef setiap hari melibatkan pelbagai kajian, dengan anggaran kasar keseluruhan dari mula hingga akhir seramai 732 pasangan kesemuanya.
Dalam menjalankan eksperimen kembar, Josef menggunakan pendekatan berbeza. Setiap pasangan kembar akan diberikan layanan yang lebih baik, berbanding kumpulan tahanan lain. Mereka juga diberikan kebebasan untuk bermain, serta tidak perlu bekerja khasnya mereka yang masih kanak-kanak.
Rutin semua pasangan kembar yang terpilih sama saja setiap hari. Setiap pasangan kembar perlu bangun tepat jam 6 pagi, diperiksa oleh pengawal dan diberikan sarapan. Mereka kemudian akan diangkut dengan trak ke makmal Josef, berbaris sekali lagi untuk diperiksa Josef sendiri dan kemudian sampel darah mereka akan diambil.
Ujikaji yang dilakukan ke atas mereka berbeza-beza dan dilakukan tanpa mengambil kira risiko kematian, bagi menjawab semua soalan yang ada dalam kepala Josef. Bagaimana ketahanan badan pasangan kembar pada kuman dan virus? Adakah seorang kembar boleh merasai sakit sekiranya kembarnya dikeluarkan organnya, tanpa bius? Apa akan berlaku sekiranya darah seorang kembar dipindahkan sepenuhnya pada teman kembarnya? Apa saja yang dirasakan perlu dijawab, Josef akan cuba mendapatkan jawapannya
Selain itu, Josef juga cukup berminat mengkaji kesan kesakitan dan kematian pada pasangan kembar. Banyak pasangan kembar yang organnya dengan sengaja dikeluarkan hanya untuk melihat wujudkah rasa sakit pada kembarnya. Dalam menguji kematian, Josef akan menyuntik bahan seperti kloroform atau phenol, yang bertindak menggumpalkan darah sehingga menyebabkan kematian - hanya untuk melihat adakah wujud sebarang perbezaan semasa pasangan itu masih hidup atau sudah tidak bernyawa.
Antara eksperimen gila lain yang menjadi fokus Josef adalah kajian untuk mencipta mata biru yang dikatakan identiti sebenar orang Aryan. Josef banyak menjalankan eksperimen menggunakan mata, menitis atau mencucuk mata tahanan dengan bahan-bahan tertentu untuk menukarkan warnanya - sehingga menyebabkan kesakitan, jangkitan, hilang penglihatan sementara atau dalam banyak kes, terus hilang penglihatan.
Josef mula melarikan diri
Dua tahun berkhidmat di Auschwitz, Josef berpindah ke kem tahanan Gross-Rosen yang terletak (kini) di Poland pada 17 Januari 1945.
Lebih seminggu kemudian, tentera Soviet berjaya menawan kem tahanan Auschwitz, membebaskan beratus ribu tahanan yang yang masih hidup. Dianggarkan seramai 1.1 juta tahanan telah meninggal dunia di kem tahanan itu sebelum dibebaskan tentera Soviet.
Josef berusaha melarikan diri pada 18 Februari dari Gross-Rossen namun telah ditangkap tentera Amerika pada bulan Jun tahun yang sama. Bagaimanapun identitinya sebagai seorang SS tidak terbongkar. Ini kerana dia tidak mempunyai tatu yang menandakan pangkatnya dalam tentera Nazi yang biasanya dibuat pada setiap pegawai berpangkat setinggi itu.
Selepas dibebaskan, Josef hidup sebagai seorang pelarian ke sana sini untuk melindungi identitinya walaupun terus dijejaki ejen risikan Mossad Zionist yang mengetahui Josef telah lari ke Argentina dan kemudiannya Brazil. Berdepan kekurangan dana, Mossad menghentikan operasi mencari beliau di sana dan membiarkan Josef hidup.
Josef memang dapat hidup, namun senantiasa dalam keadaan berjaga-jaga selama 17 tahun di Brazil. Dia diserang serangan angin ahmar pada tahun 1976 ketika berusia 65 tahun. Tiga tahun berikutnya, Josef yang ditakuti kerana berkuasa menentukan hidup dan mati tahanan perang Jerman di Auschwitz, meninggal dunia pada usia 68 tahun.
Dia dikebumikan di Brazil di dalam sebuah pusara dengan nama 'Wolfgang Gerhard.'
Hanya pada tahun 1992, selepas pusara itu dibuka semula dan sampel DNA diambil untuk diuji - barulah diketahui yang tertanam di situ sebenarnya Josef Menggele, pembunuh terkenal yang selama ini diburu kerana bertanggungjawab mencabut nyawa manusia tanpa ada rasa sekelumit pun rasa simpati darinya.
Rujukan