Oleh pada 06 Oct 2018 kategori

Dr. A. William Frankland kelihatan segak mengenakan tali leher kegemarannya sambil duduk di kerusi tangan di pejabatnya.

Beliau yang lahir bersama pasangan kembar pada tahun 1912 memulakan pengajian di sekolah perubatan pada tahun 1930-an. Kemudian beliau dikerah menyertai tentera untuk berkhidmat di Singapura ketika Perang Dunia Kedua yang akhirnya menyebabkan beliau dipenjarakan sebagai tahanan perang selama lebih tiga tahun.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setelah perang berakhir, beliau selamat kembali ke England dan banyak belajar daripada Alexander Fleming, iaitu "Bapa Penisilin." Akhirnya beliau berjaya menjadi seorang pakar alergi dan membangunkan sistem kiraan debunga untuk membantu pesakit memahami apakah punca yang menyebabkan reaksi alahan mereka.

dr william frankland menemui alergi alahan doktor berusia 106 tahun

Atas sebab itu, Klinik Alergi di Hospital St. Mary di London diberikan nama bersempena Dr. Frankland. Namun, semua kronologi kehidupan itu semuanya berlaku sebelum tahun 50-an. Beliau telah menghabiskan separuh abad berikutnya meneruskan kerjayanya sebagai seorang pakar alergi.

Kini, jika sesiapa menyebut usianya 106 tahun, pasti Dr. Frankland akan mengingatkan usia sebenarnya iaitu 106 1/2 tahun. Walaupun telah berusia lebih daripada satu abad, ketajaman memori beliau adalah tidak seperti warga emas seusianya yang lain. Bahkan, ingatan beliau mungkin lebih hebat daripada orang dewasa yang lebih muda. Atas kurniaan itulah beliau masih mampu memberikan konsultasi kepada pesakit dan menulis artikel untuk diterbitkan dalam jurnal perubatan.

'Mengelak' Kematian

Setiap memori dalam kehidupan Dr. Frankland kekal jelas dalam ingatannya. Malah, beliau masih ingat kejadian ketika sambutan hari lahir ketiganya di mana beliau makan kek dengan terlalu banyak sehingga sakit perut. 

Ramai orang bertanya Dr. Frankland bagaimana beliau boleh hidup sehingga berusia lebih 100 tahun. Namun, menurut beliau, sebenarnya sudah banyak kali kematian begitu hampir dengan dirinya tetapi dengan takdir Tuhan, beliau dikurniakan usia yang panjang sehingga kini.

doktor tertua di united kingdom

Ketika dilahirkan, Dr. Frankland dilahirkan pramatang. Beliau dan kembarnya lahir enam minggu lebih awal dan hanya mempunyai berat 1.39kg sahaja. Akan tetapi, kedua-duanya berjaya hidup lama. Walau bagaimanapun, pasangan kembarnya meninggal dunia pada tahun 1995 ketika berusia 83 tahun. Sebagai bayi pramatang, itulah kali pertama Dr. Frankland terselamat daripada risiko kematian.

Kali kedua beliau 'diselamatkan' adalah ketika sedang bertugas di Singapura semasa Perang Dunia Kedua. Beliau dan seorang rakan sekerja yang juga seorang doktor membuat keputusan untuk melambung syiling bagi menentukan tugasan mereka selanjutnya. Dr. Frankland memilih kepala dan menang pusingan lambungan tersebut. Rakannya pun dihantar bertugas ke Hospital Alexandra sebelum diserang dan dibunuh dengan kejam oleh tentera Jepun pada tahun 1942. Beliau terselamat daripada serangan namun dipenjarakan sebagai tahanan perang di lokasi yang kini dikenali sebagai Pulau Sentosa.

Kerjaya awal sebagai doktor

Semasa beliau masih merupakan seorang penuntut sekitar 1930-an, beliau dan rakan sekelasnya berpeluang melawat Hospital Queen Charlotte untuk melihat pesakit wanita yang dijangkiti sepsis puerpera sejurus selepas melahirkan anak. Ia adalah sejenis jangkitan bakteria di dalam uterus dan tisu di kawasan sekeliling. Jangkitan ini mempunyai kadar kematian yang sangat tinggi.

Pesakit-pesakit ini dirawat menggunakan dadah sulfonamida iaitu prontosil rubrum yang merupakan dadah sulfonamida pertama kali yang digunakan di United Kingdom. Sebelum penisilin ditemui, dadah seperti ini sememangnya amat berkesan merawat pelbagai jangkitan namun bukan semua jangkitan mampu disembuhkan.

dr william frankland ketika berkhidmat semasa perang dunia kedua

Semasa Dr. Frankland pulang ke United Kingdom selepas perang tamat, beliau membuat keputusan untuk menjadi perunding dermatologi. Walau bagaimanapun, beliau sedar yang beliau tidaklah begitu berminat dengan bidang tersebut. Lagipun ia bukanlah sebuah kerjaya sepenuh masa.

Kemudian, sekeping notis di jabatan alergi menyatakan yang pihak jabatan sedang memerlukan khidmat seorang doktor bagi dua syif pagi setiap minggu. Dr. Frankland menerima tawaran tersebut dan amat menyukainya. Selepas bekerja selama enam minggu, beliau bertanya sama ada beliau boleh bekerja sepenuh masa di situ. Nasib menyebelahi Dr. Frankland apabila ketua jabatan ketika itu, Dr. Freeman bersetuju dengan tawarannya. Dari situlah Dr. Frankland memulakan kerjayanya sebagai seorang pakar alergi.

Rakan sekerja Alexander Fleming

Dr. Frankland pernah menjadi rakan sekerja Sir Alexander Fleming sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 1955. Dalam dua tahun terakhir hayatnya, Dr. Frankland telah mengambil alih wad perubatan Fleming. Setiap pagi selama dua tahun beliau perlu berjumpa Fleming pada jam 10 untuk berbincang tentang pesakit namun mereka juga berbicara tentang pelbagai perkara lain. Menurut Frankland, Fleming berkelayakan untuk menjadi seorang pakar bedah namun beliau tidak meminati bidang perubatan klinikal kerana lebih taksub dengan mikroskop.

Fleming menyokong penyelidikan yang dijalankan Frankland sepanjang mereka bekerja bersama. Itulah antara saat-saat yang paling dibanggakan Frankland. Ketika itu, vaksin bakteria autologus yang dihasilkan daripada bakteria tekak manusia dikhabarkan dapat merawat beberapa jenis jangkitan lelah.

dr bill frankland menemui alergi alahan

Pada mulanya, Frankland berpendapat ia hanyalah gembar-gembur semata-mata. Beliau berjumpa Fleming dan memberitahu yang beliau ingin melakukan uji kaji terkawal plasebo gelap ganda untuk menguji keberkesanannya. Fleming memberikan kebenaran walaupun kos terlibat adalah sangat mahal untuk menghasilkan vaksin autologus. Akhirnya Frankland mendapati suntikan plasebo memberikan keputusan yang sama dengan yang mahal.

Selepas kajian itu diterbitkan, Frankland sering menerima jemputan dari seluruh dunia untuk membentangkan hasil penyelidikannya. Apa yang lebih membanggakan, beliau hanyalah seorang doktor muda dan masih jauh untuk bergelar seorang perunding.

dr bill frankland sering dijemput memberikan ucapan berkenaan alergi

Datuk kepada alahan

Pada tahun 1953, Dr. Frankland telah mempopularkan pengiraan debunga yang digunakan di seluruh dunia untuk membantu doktor dan pesakit memahami apa yang mencetuskan alahan. Ketika itu, beliau menjalankan pelbagai ujian ke atas dirinya sendiri sebelum berjaya membuat penemuan itu.

Frankland dengan sengaja menyebabkan dirinya mendapat anafilaksis akut daripada gigitan serangga. Pada hari ini, penyelidik tidak dibenarkan melakukan perkara sedemikian. Namun bagi Frankland, beliau berazam untuk mengenal pasti bagaimana tubuhnya bertindak balas terhadap gigitan nyamuk, kutu atau apa sahaja serangga yang menggigitnya.

70 tahun kerjaya dengan NHS

Sempena ulang tahun ke-70 Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan UK (NHS), Frankland berbangga untuk berkongsi kisah suka dan dukanya sepanjang berkhidmat di bawah pengurusan itu. Setiap kali beliau menemui maklumat terbaru mengenai alahan, beliau akan terus memaklumkan kepada pihak NHS. Begitu juga doktor dan pakar di hospital yang tidak henti-henti menelefon Frankland untuk meminta nasihat dan tunjuk ajar.

Menurut Frankland, pada usia sebegini, ada beberapa perkara yang manusia tidak akan mampu lakukan. Sebagai contoh, beliau sudah terlalu tua untuk berlari dan bersenam untuk menjaga kesihatan. Walau bagaimanapun, beliau tetap memastikan mindanya sentiasa aktif sepanjang masa.

doktor berusia 106 tahun tertua di united kingdom

Pada masa lapangnya, beliau banyak menghabiskan masa dengan membaca jurnal perubatan dan saintifik serta mengikuti perkembangan terkini bidang kepakarannya. Semasa usianya antara 100 hingga 105 tahun, Frankland berjaya menerbitkan empat artikel yang mana dua daripadanya adalah artikel yang dihasilkan secara individu. Kini, beliau sedang menghabiskan penulisannya tentang kisah bagaimana penisilin ditemui berdasarkan pengalaman dan masa beliau bersama Alexander Fleming.

Apa yang penting menurutnya, seseorang harus mempunyai kehidupan yang wajar dari segala aspek agar boleh hidup lebih lama dan kekal sihat. Jangan sesekali merokok, jangan makan secara berlebihan dan sentiasa mengamalkan senaman ringan serta berikan sepenuh tenaga dalam apa sahaja yang anda lakukan tidak kiralah secara sosial, psikologi mahupun emosi.

Rujukan:

1. Imperial NHS

2. CNN




Hakcipta iluminasi.com (2017)