"Medical tourism" atau pelancongan perubatan merupakan salah satu industri yang tiba-tiba popular selepas kenaikan kos rawatan bagi pesakit di seluruh dunia. Bukan semua negara sebenarnya yang menyediakan perkhidmatan kesihatan secara mudah, ada kalanya sesetengah pesakit langsung tidak akan diberikan bantuan perkhidmatan hanya kerana ketiadaan insurans atau wang, bergantung kepada situasi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pelancongan perubatan membuka pintu kepada negara-negara yang mempunyai pakej perubatan menarik untuk menjadi destinasi pesakit yang seterusnya membuka kepada pelbagai peluang lain bagi menjana ekonomi.

Negara-negara manakah yang diiktiraf sebagai destinasi pelancongan perubatan terbaik di dunia? Jom kita baca.

5. Singapura

doktor singapura kos rawatan masuk hospital murah

Memegang status negara maju menjadikan Singapura mudah untuk menarik minat masyarakat dunia berkunjung ke sana bagi mendapatkan rawatan, kerana mempunyai fasiliti yang cukup dan pakar yang berkemahiran tinggi. Singapura berada dalam kedudukan antara yang terbaik dunia dalam kualiti perkhidmatan kesihatan mereka. Terbukti dengan mempunyai kadar kematian bayi terendah dunia disamping mempunyai purata kadar hidup lebih baik berbanding banyak negara maju lain, tak hairanlah Singapura adalah antara salah satu destinasi terbaik bagi pesakit.

4. Costa Rica

costa rica hospital kos rawatan prubatan murah

Dengan pelaburan besar kerajaan Costa Rica bagi memastikan sektor kesihatan mempunyai peruntukan secukupnya, kesihatan kini menjadi salah satu sebab mengapa pelancong gemar berkunjung ke Costa Rica khasnya daripada Amerika Syarikat.

Mengamalkan dua sistem perubatan di Costa dengan satu dijaga sektor swasta sementara satu lagi sistem yang digelarkan 'caja' - memerlukan sumbangan bulanan daripada peserta dalam bentuk potongan gaji sebanyak 6 ke 12% yang turut sama melindungi ahli keluarga yang ada. Dengan pembayaran yuran bulanan tersebut, pesakit berhak mendapatkan sebarang jenis rawatan tak kira apa jenis sakit sekalipun.

3. Colombia

colombia doktor kos rawatan paling murah di dunia

WHO menyenaraikan Colombia dikedudukan ke 22 daripada 191 negara dalam kualiti perkhidmatan kesihatan. Mempunyai sistem insurans kelolaan kerajaan yang dinamakan sebagai EPS, setiap peserta membayar sebanyak 12% daripada gaji mereka untuk membolehkan pesakit mendapatkan semua jenis rawatan.

Pilihan hospital yang pelbagai juga menjadikan Colombia sebagai destinasi menarik pesakit. Lebih separuh daripada 43 buah hospital terbaik di benua Latin Amerika terletak di Colombia.

2. India

india doktor hospital kos rendah

Dengan tawaran mampu menjimatkan hampir 75% perbelanjaan jika perkhidmatan dilakukan di India, India menjadi sasaran pelancong yang mahu menjimatkan duit dalam menampung kos perbuatan. Dianggarkan pelancongan perubatan di India saja mempunyai nilai terkumpul hampir RM8.8 billion pada tahun 2015 selepas lebih 100 ribu orang pesakit luar berkunjung ke sana.

Perubatan di India terkenal kepada mereka yang perlu menjalani rawatan sum-sum tulang, pembedahan mata dan pakej pintasan jantung yang berharga RM45 ribu jika dibandingkan dengan jumlah RM450 ribu di tempat-tempat lain.

1. Malaysia

malaysia medical hospital doktor

Siapa sangka ketika ini Malaysia menjadi pilihan ramai dalam mendapatkan rawatan? Terkenal dengan kos rawatan rendah serta fasiliti yang mencukupi, Malaysia mendapat faedah besar selepas kos di Singapura semakin lama semakin meningkat. Fasiliti di Malaysia juga dilaporkan lebih baik berbanding India.

Dengan dibarisi doktor-doktor terlatih yang fasih berbahasa Inggeris, pelancong kerap berkunjung ke Georgetown atau Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan. Pesakit boleh memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital awam melalui konsep full paying patient atau ke hospital yang dikendalikan syarikat swasta bagi mendapatkan keselesaan yang lebih.

Dari tahun ke tahun, jumlah pelancong yang datang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan perubatan meningkat 100% atas permintaan yang banyak dan sedikit sebanyak, ini membantu meningkatkan ekonomi negara kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)