Oleh pada 24 Jun 2018 kategori

Salah satu kisah yang kerap tersebar serta menjadi kepercayaan orang ramai adalah berkenaan keengganan pasukan kebangsaan India menyertai kejohanan Piala Dunia 1950, kerana syarat pertandingan yang memerlukan mereka main dalam keadaan berkasut.

Sejarahnya, pada kejohanan Olimpik 1948 di London dalam acara bola sepak, pasukan kebangsaan India pada ketika itu bertanding buat kali pertama dalam acara peringkat antarabangsa selepas mendapat kemerdekaan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Oleh kerana sudah menjadi kebiasaan mereka, pemain-pemain India yang bertanding dibenarkan bermain tanpa memakai kasut. Sesetengah pemain hanya berstokin dan majoritinya bermain kaki ayam. Walaupun tiada kasut, pasukan tersebut berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan - hanya tewas 2-1 kepada Perancis merupakan satu pencapaian besar India bagi penampilan sulung mereka.

Pasukan kebangsaan India menghadapi pusingan kelayakan

pasukan bola sepak india main tanpa kasut

Ekoran situasi dunia ketika itu yang masih lagi dalam proses permulaan semula akibat perang dunia kedua, kebanyakan negara tidak dapat menyertai kejohanan Piala Dunia 1950 yang akan diadakan di Brazil. Bagi Asia, empat pasukan dijemput untuk menyertai pusingan kelayakan iaitu Filipina, Indonesia, Burma dan India bagi merebut satu tempat sebagai wakil Asia.

Sebelum berlangsungnya pusingan kelayakan lagi, Filipina, Indonesia dan Burma memilih untuk tidak menyertainya membolehkan India secara automatik layak menjadi wakil benua Asia ke temasya tersebut.

India bagaimanapun memilih untuk tidak menyertai kejohanan itu. Tidak diketahui siapa yang memulakan mitos India tidak mahu menyertai kejohanan tersebut  disebabkan FIFA mewajibkan semua pemain memakai kasut ketika bermain. Alasan ini menjadi popular sehingga dipercayai ramai orang.

Piala Dunia tidak penting

pemain india masuk ke padang kaki ayam

Ada juga pihak mengatakan persatuan bola sepak India tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi menghantar pasukan mereka ke Brazil. Ketika itu banyak pasukan memang menghadapi kesukaran hendak ke sana dengan perjalanan panjang terpaksa dilalui menggunakan kapal, ekoran risiko menaiki kapal terbang.

Hujah itu tidak boleh diterima pakai kerana penganjur iaitu FIFA bersetuju untuk menanggung semua kos perjalanan pergi dan balik mana-mana pasukan bertanding. Lagipun, alasan 'tidak mahu bermain dengan memakai kasut' lebih sedap diceritakan kepada orang ramai. Lebih kelakar.

Mitos ini tersebar sehinggalah satu temubual bersama kapten pasukan India ketika itu, Sailen Manna yang diadakan beberapa puluh tahun kemudian.

Menjelaskan segala-galanya, pasukan India pada ketika itu merasakan Piala Dunia bukanlah keutamaan pada mereka berbanding kejohanan Olimpik.

Ini dibuktikan lagi kerana tidak ada negara Asia ketika itu hendak menyertai kejohanan tersebut yang diadakan untuk kali keempat. Semua negara Asia tak pandang Piala Dunia pada era tersebut.

Lebih mengutamakan kejohanan Olimpik

pasukan bola sepak india berangkat ke olimpik

Selepas menolak penyertaan mereka pada Piala Dunia 1950, pasukan kebangsaan India menyertai pertandingan Sukan Asia 1951 yang diadakan buat kali pertama.

Acara bola sepak dipertandingkan dengan enam negara menyertainya iaitu India sebagai tuan rumah, Iran, Jepun, Burma, Indonesia dan Afghanistan. Sudah terdedah dengan bola sepak peringkat antarabangsa, pasukan India berjaya memenangi acara bola sepak dan membawa pulang pingat emas, menewaskan pasukan Iran 1-0.

Atas kejayaan itu, India kembali menyertai kejohanan Olimpik 1952 di Hungary dengan lebih yakin dalam pertandingan yang dirasakan lebih berprestij pada pandangan mereka.

Bersaing dalam format kalah mati pada pusingan pertama, pasukan India diundi bertemu pasukan Yugoslavia. Mengekalkan tradisi berkaki ayam ketika bermain, pasukan India gagal menyaingi Yugoslavia akibat cuaca sejuk yang menyebabkan kesukaran pada mereka untuk berlari.

Mereka tewas teruk 10-1 mengakibatkan pasukan India terpaksa pulang hampa pada pusingan pertama.

Mula memakai kasut bola

pasukan kebangsaan india bergambar

Pengalaman dibelasah dalam kejohanan Olimpik membuatkan persatuan bola sepak India mengenakan syarat supaya semua pemain mula mengenakan kasut bola yang sesuai dalam perlawanan. Arahan itu membuahkan hasil kepada pasukan mereka.

Pada temasya Olimpik 1956 yang diadakan di Australia, pasukan India mencatat sejarah menjadi pasukan Asia pertama melayakkan diri ke pusingan separuh akhir, selepas menewaskan tuan rumah 4-2.

Berdepan seteru mereka sebelum itu Yugoslavia, pasukan India mempamerkan aksi yang jauh lebih baik sambil bermain dengan memakai kasut. Nasib tidak menyebelahi mereka selepas Yugoslavia berjaya memenangi perlawanan tersebut walaupun India mendahului sehingga minit ke 52. India tewas 4-1 dan pulang hampa sekadar berada pada tempat ke empat.

Zaman kegemilangan bola sepak India berakhir pada Sukan Asia 1962 yang diadakan di Jakarta.

Ekoran krisis politik yang timbul selepas wakil India mempersoalkan larangan penyertaan Israel dalam temasya itu, pasukan India dikutuk penonton sepanjang semua perlawanan dengan keselamatan mereka tergugat akibat ancaman orang ramai. Ini tidak menghalang mereka yang terkenal sebagai jaguh Asia ketika itu memenangi pingat emas.

Pasukan kebangsaan kita pada ketika itu masih dikenali dengan nama Malaya, turut sama bertanding. Mereka berjaya membawa pulang pingat gangsa selepas menewaskan Vietnam Selatan pada penampilan kedua negara kita.

Rujukan

Tehelka Magazine

Sports Illustrated




Hakcipta iluminasi.com (2017)