Oleh pada 08 Jun 2022 kategori

Peraturan sukan dibentuk hasil daripada perubahan zaman serta reaksi pengurusan, hasil daripada apa yang berlaku di atas padang.

Ada peraturan yang kekal relevan, ada yang perlu dibuang dan ada juga yang perlu dipinda bagi membolehkannya sentiasa relevan. Peminat sukan bola sepak pastinya sudah masak dengan peraturan asas sukan popular nombor 1 dunia itu.

Walaupun demikian kami yakin pasti ada beberapa peraturan yang dijadikan garis panduan permainan sukan ini, tidak diketahui kerana jarang menjadi kontroversi. Berikut adalah lima peraturan sukan bola sepak yang tak semua peminat sukan ini tahu ada.

1. Tiada gol dikira daripada balingan masuk

hantaran menggunakan balingan masuk

Dalam sukan bola sepak, balingan masuk atau throw-in merupakan antara perkara asas yang kini mampu menjadi senjata ampuh dalam merobek gol pihak lawan. 

Kita sudah biasa melihat bagaimana sesetengah pasukan sudah mempunyai seorang atau dua orang pemain yang ditugaskan khas untuk melakukan balingan-balingan jarak jauh berbahaya ibarat hantaran dengan kaki, yang akan disudahkan oleh rakan sepasukannya.

Walaupun begitu seandainya balingan tadi terus masuk ke gol lawan tanpa menyentuh mana-mana pemain lain baik lawan mahupun rakan, 'jaringan' itu tidak dikira. Sekiranya situasi itu berlaku, sepakan gol akan diberikan kepada pasukan yang bertahan.

Dalam situasi unik di mana balingan masuk terus masuk ke dalam gol pembaling pula, 'gol sendiri' itu juga tidak dikira. Pengadil akan memberikan sepakan sudut kepada pasukan lawan bagi meneruskan perlawanan.

2. Pemain boleh dikenakan kad sebelum perlawanan bermula

patrice evra serang penonton sebelum perlawanan

Dalam sesetengah situasi yang sangat jarang berlaku, sebelum sepak mula lagi pemain telah dilayangkan kad sama ada kad kuning atau merah. Jika merah, ini menandakan mereka tidak boleh lagi menyertai perlawanan yang bakal berlangsung.

Situasi ini pernah berlaku melibatkan Patrice Evra, bekas pemain pasukan Manchester United ketika dia bermain dengan kelab Perancis, Marseille.

Evra semasa sesi memanaskan badan bertindak menyerang kembali seorang penyokong yang menceroboh masuk ke padang bagi mengkritik prestasi Evra yang menurun dalam beberapa perlawanan sebelumnya. 

Ekoran tindak balas tersebut, Evra dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Belanda, Tamás Bognár sebelum sepak mula berlaku menghalang beliau turun beraksi dalam perlawanan Liga Eropah. Kini anda tahu kuasa pengadil sebenarnya sudahpun aktif sebelum perlawanan dimulakan lagi.

3. Pemain tidak boleh menyamar sebagai ahli pasukan lawan

pemain berlakon sebagai pasukan lawan

"Pass belakang bro!"

Pernah tak anda terfikir kenapa pemain bola sepak yang sedang beraksi di atas padang, tidak menggunakan helah menyamar atau menipu pemain lawan? 

Contohnya - semasa berlakunya serangan balas, pemain akan menjerit 'pass sini!' walaupun dia sebenarnya sedang bertahan. Pemain lawan yang cuba memahami situasi, terus melakukan hantaran menyebabkan serangan terbantut. 

Menyamar sebagai pemain pasukan lawan dikira sebagai satu bentuk pelanggaran etika ketika bermain di atas padang. Apa saja bentuk taktik atau kaedah yang dilakukan dengan sengaja untuk tujuan mengelirukan lawan dalam sedemikian rupa - dikira sebagai satu kesalahan. 

Pemain yang melakukannya biasanya akan diberikan amaran lisan namun seandainya berulang, dia boleh diberikan kad kuning sebagai amaran. Sekiranya berlaku, pengadil akan memberhentikan perlawanan dan memberikan sepakan percuma kepada pasukan yang menjadi mangsa taktik licik ini.

4. Tidak boleh acah-acah penjaga gol ketika sepakan penalti

sepakan penalti paradinha diharamkan

Sepakan penalti yang dilakukan secara 'panenka' memang mempesonakan bagi mereka yang menyaksikannya. Bola akan masuk secara perlahan sementara penjaga gol pula terbang ke arah yang salah. 

Ada satu kaedah sepakan berbeza yang gemar digunakan pemain dari Brazil dinamakan sebagai 'paradinha' atau 'berhenti sejenak', di mana pemain akan berhenti sebelum melakukan sepakan penalti dengan harapan agar penjaga gawang telah bergerak. 

Berbeza dengan panenka, paradinha dikategorikan sebagai salah satu gerakan yang tidak diterima - kerana bertentangan dengan semangat kesukanan. Sepakan penalti haruslah dilakukan dengan satu ayunan kaki yang tidak boleh dihentikan ayunannya.

Bagaimanapun peraturan rasmi bola sepak dunia masih membenarkan pengambil sepakan penalti mengacah-ngacah penjaga gol sebelum dia melakukan sepakan.

5. Bola bocor semasa jaringan menyebabkan gol tidak dikira

bola bocor semasa perlawanan

Katakanlah ada pemain yang mempunyai kekuatan sepakan yang cukup padu sehingga dia dikenali sebagai 'Kaki Besi'. Semasa satu serangan ke arah gol pasukan lawan, hantaran yang si Kaki Besi terima dirembat masuk sekuat mungkin.

Rembatan itu terlalu kuat sehinggakan bola yang sedang digunakan dalam perlawanan meletup ketika sedang terbang, masuk menerjah ke dalam gawang gol gagal diselamatkan penjaga gol lawan.

Si Kaki Besi meraikan jaringannya, sebelum pengadil membatalkan jaringan membuatkan sambutannya tersentak. Mana-mana jaringan yang dilakukan oleh pemain sehingga menyebabkan bola bocor selepas di sepak walaupun masuk ke dalam gol pasukan lawan, tidak dikira sebagai jaringan.



Hakcipta iluminasi.com (2017)