Oleh pada 24 Aug 2017 kategori

Kontroversi pasti akan melanda mana-mana acara yang melibatkan penyertaan besar daripada beberapa negeri apatah lagi negara. Dalam Sukan Asia Tenggara atau SEA Games sekalipun, walaupun dianjurkan dengan tujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara negara bertanding yang sebenarnya berjiran, seolah-olah tidak dapat dielakkan berlakunya kontroversi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima kontroversi paling besar setakat ini yang melanda penganjuran Sukan SEA, tak kiralah negara mana pun yang menganjurkannya.

1. Kontroversi penganjuran Sukan SEA 2009 Vientiane

iluminasi kontroversi sukan sea5

Dalam penganjuran Sukan SEA di Thailand pada 2007, terdapat 43 acara dipertandingkan sementara bagi edisi tahun 2009 pula, hanya 25 acara dipertandingkan. Negara yang bertanding menuduh penganjurnya iaitu Laos sengaja menurunkan jumlah acara sukan untuk memperbaiki kedudukan pingat mereka. Laos menjelaskan semua itu perlu dikurangkan atas dasar kekurangan fasiliti.

Selain itu, Laos yang ketiadaan kawasan pantai membuatkan banyak acara air tidak dapat dijalankan. Filipina menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bagi acara tersebut namun ditolak oleh Laos, menguatkan lagi dakwaan Laos dengan sengaja mengurangkan acara atas faktor kekuatan atlit mereka.

2. Kes rasuah pemain bolasepak Vietnam

iluminasi kontroversi sukan sea4

Penganjuran acara bolasepak pada Sukan SEA 2005 di Filipina terpalit dengan kontroversi rasuah apabila 8 pemain bolasepak Vietnam dituduh menerima rasuah dalam satu perlawanan menentang Myanmar, sebuah pasukan yang jauh lebih lemah berbanding Vietnam. Dalam perlawanan tersebut, Vietnam perlu menang tetapi diatur supaya hanya menang dengan 1-0.

Pemain Vietnam dalam perlawanan tersebut bermain sambil lewa dengan penyerang utama mereka, Pham Van Quyen mensia-siakan banyak peluang untuk menambahkan gol. Akhirnya, 2 pemain pasukan Vietnam didapati bersalah atas tuduhan menerima suapan rasuah dan 6 lagi pemain digantung daripada meneruskan kerjaya.

3. Indonesia anjur acara yang hanya mereka hebat

iluminasi kontroversi sukan sea3

Menganjurkan acara yang menyebelahi tuan rumah sudah menjadi satu kebiasaan, namun Indonesia mengambil langkah dengan memperkenalkan acara luncur kasut roda pada tahun 2011. Bukan satu atau dua acara, Indonesia menganjurkan 12 acara perlumbaan kasut roda dengan 12 pingat emas dipertandingkan.

Pemenang kesemua acara perlumbaan kasut roda yang dipertandingkan? Atlit Indonesia menggondol kesemua 12 pingat emas pada acara itu dan menyapu bersih semua acara 3000m dan 5000m.

4. Filipina minta ujian jantina pada atlit Indonesia

iluminasi kontroversi sukan sea2

Pada Sukan SEA 2015 di Singapura, seorang pemain bola tampar wanita dari Indonesia dituduh sebenarnya seorang lelaki menyamar wanita, kerana kekuatannya yang cukup berbeza berbanding pemain lain.

Jurulatih pasukan Filipina, Roger Gorayeb berkata atlit tersebut, Aprilia Santini Manganang , mempunyai badan yang terlalu sasa seolah-olah lelaki dan kekuatannya pula jauh lebih kuat, seolah-olah dia datang dari divisyen lain berbanding pesaingnya. Sehingga kini isu ini masih belum jelas dijawab. Ura-ura mengatakan Manganang sebenarnya adalah seorang lelaki yang telah menjadi wanita. Pihak penganjur pula menolak permohonan pasukan Filipina untuk mengadakan ujian jantina atas dasar sensitiviti.

5. Bendera Filipina terbalik pada jersi pelari pecut Filipina

iluminasi kontroversi sukan sea

Bendera selalunya dipasang terbalik semasa negara berada dalam keadaan perang namun lain pula jadinya kepada dua pelari pecut Filipina, Eric Cray dan Kayla Richardson. Selepas kedua-duanya memenangi pingat emas acara 100 meter, orang ramai mendapati bendera Filipina yang dipasang pada jersi mereka berada dalam keadaan terbalik.

Yang memburukkan lagi keadaan, kontroversi terhadap kedua-dua atlit itu sudah pun wujud sebelum bertanding lagi kerana ramai yang mempertikaikan asal-usul mereka adakah benar mereka berketurunan Filipina seperti yang dikatakan. Eric Cray dan Kayla Richardson adalah individu berdarah kacukan Filipina dan Amerika.




Hakcipta iluminasi.com (2017)