Oleh pada 19 May 2018 kategori

perbarisan tentera nazi

Seorang ahli arkeologi Jerman bernama Heinrich Schliemann terbang ke Ithaca, Greece pada tahun 1868 dengan satu tujuan. Beliau ke situ untuk mencari kota Troy yang telah hilang berpandukan kepada petunjuk-petunjuk dalam karya agung Homer, Iliad. Bagi Heinrich, dia percaya wujudnya kebenaran dalam tulisan Homer itu walaupun ramai pihak mengatakan semua itu hanyalah mitos.

Heinrich percaya Iliad adalah kunci untuk menemui kota lama dalam legenda tersebut.

Tiga tahun berikutnya pada tahun 1871, Heinrich benar-benar berjaya menemui kota lama itu membuktikan legenda yang ditulis Homer adalah benar. Penemuan kota itu di pesisir pantai Aegean, Turki membuatkan nama Heinrich menjadi terkenal. Walaupun begitu, dalam penemuan kota legenda Troy itu, Heinrich turut sama menemui satu simbol yang diukir pada peralatan dan dinding masyarakat Troy ketika itu.

Asal usul 'swastika'

ukiran swastika pada artifak lama

Sebenarnya, tidak ada sejarah tepat berkenaan asal-usul simbol ini berikutan banyak pendapat berkenaan asal-usulnya.

Swastika atau svastika adalah simbol geometrik bercabang empat yang telah mula digunakan, dipercayai sejak 11,000-15,000 tahun dahulu lagi. Artifak paling lama memaparkan simbol swastika adalah sebuah patung berbentuk burung yang diperbuat daripada gading gajah berusia lebih 11,000 tahun.

Swastika dipercayai memberikan pengaruh besar pada kesihatan mereka yang memakai dan memaparkannya serta membawa maksud yang positif.

Perkataan asal 'swastika' diambil daripada perkataan sanskrit iaitu 'Su-Asti' membawa makna kesihatan yang baik. Simbol tersebut digunakan dalam banyak agama di dunia, dengan Hindu, Buddha, dan Jainism menggunakannya secara besar-besaran.

Simbol swastika juga mampu dijumpai dalam budaya-budaya Eropah lama sebelum kedatangan agama Kristian. Persoalannya ; bagaimana simbol tersebut berubah maknanya? Kita kembali pada kisah Heinrich dan penemuannya.

Bangsa Aryan nenek moyang orang Jerman

bangunan lama dipasang bendera nazi

Menggunakan kaedah yang agak primitif, Heinrich masuk ke dalam kota Troy dan berjaya menemui tujuh lapisan kelompok masyarakat berbeza zaman yang pernah tinggal di dalam kota tersebut, sepanjang beribu tahun lamanya. Namun ada satu persamaan antara semua masyarakat yang tinggal di Troy - ukiran simbol swastika diukir pada peralatan seperti pasu, bekas air dan dinding.

Pada mulanya, Heinrich langsung tidak memahami simbol apa yang diukir. Heinrich hanya menamakan simbol tersebut sebagai 'swastika' selepas pertemuan dengan Emile Louis Burnouf, seorang ahli sejarah Perancis yang pakar dalam sejarah lama literatur India. Emile memberitahu dalam salah satu kitab lama bernama Rig Vedas, wujud satu bangsa yang dinamakan Arian yang menjadikan simbol palang bernama 'swastika' sebagai identiti mereka.

Bangsa Arian ini adalah bangsa pahlawan yang datang ke India dari arah utara lalu mengusir masyarakat India dari tanah asal mereka. Terdapat ukiran-ukiran ditemui Heinrich dalam kota Troy menunjukkan berlakunya asimilasi penduduk asal kota Troy dengan kaum penjajah Arian ini. Menurut Emile, simbol 'swastika' menjadi satu simbol penting kaum Arian dalam menyatu padukan masyarakat mereka kerana simbol tersebut sebenarnya melambangkan 'altar api' ; ikon kekuatan bangsa Aryan.

Tulisan William Henry Goodyear, seorang ahli arkeologi, ahli sejarah dan kurator muzium Amerika Syarikat menyokong pendapat Emile. Pada tahun 1891 dalam tulisannnya berkenaan sejarah simbol swastika, beliau berpendapat yang simbol swastika sebenarnya memang telah dicipta sebelum bangsa Aryan sendiri menjajah dunia ketika nenek moyang orang Aryan masih tinggal di kawasan Eropah kuno.

Pendapat ini diperkukuhkan lagi oleh pendapat lebih awal yang dikeluarkan seorang aristokrat Perancis bernama Arthur de Gobineau. Arthur adalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan kepada dunia konsep bangsa elit Aryan atau 'Germanic people' . Pendapat beliau menyebut orang Jerman adalah antara pewaris keturunan bangsa Aryan mula tersebar dan mempengaruhi pemikiran masyarakat Jerman. Penemuan Heinrich di kota Troy menjadi bukti penguat hujah ini.

Hasil penemuan Heinrich mengubah dua perkara;

Heinrich menamakan simbol yang ditemui dalam kota Troy sebagai 'swastika' secara rasmi dalam kajiannya, berdasarkan pendapat Emile.

Asal-usul simbol 'swastika' mula dikatakan sebenarnya berasal daripada bangsa elit Aryan, yang dipercayai nenek moyang masyarakat Jerman ketika itu.

Bermulanya penggunaan simbol swastika oleh Nazi

adolf hitler dan swastika

Penemuan Heinrich di dalam kota Troy beserta pendapat pakar yang menyokong bangsa Aryan adalah bangsa yang memperkenalkan penggunaan simbol swastika, mula diterima ramai masyarakat Jerman. Kumpulan nasionalis Jerman seperti kumpulan Reichshammerbund dan Bavarian Freikorps, mula menggunakan simbol swastika sebagai simbol persatuan mereka.

Semua catatan sejarah berkenaan makna lain swastika tidak dihiraukan termaksuklah bukti-bukti yang ditemui dalam agama Buddha atau Hindu. Swastika mula diangkat sebagai simbol kedudukan orang Jerman berdasarkan keturunan mereka dan menjadi simbol penting menyatukan negara mereka di bawah satu matlamat.

Melihat pengaruh simbol swastika semakin hebat di dalam negaranya, Adolf Hitler mengambil keputusan menggunakan simbol swastika sebagai logo parti Nazi beliau. Parti Nazi berjaya menguasai pemerintahan Jerman tidak lama kemudian. Simbol swastika diangkat oleh parti Nazi sebagai alat propaganda menyampaikan mesej mengangkat bangsa Jerman sebagai tuan besar dunia.

Bagi memastikan 'swastika' hanya digunakan dalam memenuhi matlamat parti Nazi, kerajaan Nazi melalui Joseph Goebbels mengumumkan pada tahun 1933 semua penggunaan simbol 'swastika' hanya boleh digunakan atas kebenaran mereka di Jerman. Pihak Nazi menamakan simbol swastika mereka sebagai 'Hakenkreuz' yang bermaksud 'simbol silang yang bercabang.'

Adolf Hitler dalam buku manifestonya, Mein Kampf mengakui dia sendiri yang memuktamadkan rekaan logo dan bendera parti Nazi, menggunakan latar belakang merah, bulatan putih dan swastika hitam berbentuk geometrik ditengahnya.

Begitulah serba sedikit kisah bagaimana simbol swastika mengalami korupsi; daripada penemuan kota Troy, dikaitkan dengan bangsa Aryan yang mahu menjunjung konsep 'ketuanan orang putih' sehinggalah simbol tersebut menjadi salah satu ikon penting dalam sejarah Perang Dunia.


tags : , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)