Oleh pada 27 Jul 2021 kategori

Kebiasaannya, seorang penembak tepat atau sniper adalah lelaki. Namun bagi Roza Shanina, wanita ini menempa namanya dalam Kesatuan Soviet sebagai wanita pertama yang dianugerahkan pingat "Order of Glory" dan terkenal dengan tembakan "double hit", yakni kemampuan menembak tepat 2 musuh berturut-turut. 

Wanita ini cukup digeruni pihak tentera Nazi dan dikatakan telah membunuh 59 orang musuh dan nama kesemuanya dicatatkan dalam buku nota peribadinya. Pada April 1944, Roza Shanina berjaya menembak tepat musuhnya daripada jauh dan ianya menjadi permulaan hebat wanita ini yang dianggap sebagai "pembunuh Prussia Timur yang tidak dapat dilihat".

BESARKAN TEKS     A-  A+

Roza Shanina dilahirkan pada 3 April 1924 di sebuah perkampungan beberapa ratus batu di timur Leningrad (sekarang St. Petersburg) di Kesatuan Soviet, berhampiran sebuah sungai yang masuk ke Laut Putih di utara. Ibu bapanya ialah Anna, seorang pemerah susu dan Yegor, seorang pembalak dan veteran Perang Dunia I.

Setelah menamatkan sekolah rendah, Shanina bertekad untuk meneruskan pendidikannya dan sanggup berjalan sejauh lapan batu berulang-alik setiap hari ke sekolah menengah terdekat yang terletak di Bereznik. Dari kecil lagi, Shanina dilihat seorang yang tekad untuk mencapai impiannya dalam mendapatkan pendidikan. 

Dia adalah seorang pelajar dengan semangat yang berdikari yang tinggi. Ini dapat dilihat tahun 1938 apabila ibu bapanya menolak permintaannya untuk melanjutkan pelajaran sekolah menengah untuk belajar sastera dan dia yang ketika itu berusia 14 tahun telah melarikan diri, berjalan 50 jam ke stesen kereta api terdekat dan menuju ke bandar utara Arkhangelsk.

Shanina menetap disana bersama adiknya Fyoder sehingga dia dimasukkan ke sekolah menengah di bandar itu dan diberi bilik asrama dan elaun belajar. Namun, apabila Nazi menceroboh sempadan barat Kesatuan Soviet pada bulan Jun 1941, ekonomi jatuh menjunam dan pendidikan menengah percuma terpaksa dihentikan.

Untuk menanggung kosnya belajar, Shanina bekerja di tadika di kawasan setempat untuk menanggung kos pengajiannya dengan harapan dapat menghabiskan pengajian untuk merealisasikan impiannya bergelar guru sekolah.

Penyertaan dalam tentera

penembak sniper soviet

Pihak Nazi semakin mara dan mula mengebom Arkhangelsk dan Shanina yang sangat berani secara sukarela bertugas melakukan serangan udara dari bumbung tadika tempat dia mengajar.

Apabila dia mendengar berita bahawa abangnya Mikhail terbunuh dalam serangan bom pada bulan Disember 1941, dia bertekad untuk menyertai pasukan Kesatuan Soviet dalam perang tersebut demi membalas dendam atas kematian abangnya. 

Walaupun kepimpinan ketenteraan Soviet pada awalnya melarang wanita untuk menyertai barisan tenteranya dalam peperangan, namun kerana keadaan menjadi semakin kritikal mereka akhirnya berubah pikiran. Bersama dengan puluhan ribu wanita yang lain, Shanina memohon untuk menyertai pasukan tentera.

Dia mendaftar di Akademi Sniper Wanita dan lulus dengan kepujian pada April 1944, tepat pada hari ulang tahunnya yang ke 20. Dia dikenali karena tembakannya yang sangat tepat dan akademi itu memintanya untuk kekal disitu sebagai tenaga pengajar daripada pergi berjuang di barisan hadapan kerana berisiko terkorban. 

Namun, dia tetap dengan pendiriannya mahu berjuang di medan perang. Dia telah dilantik menjadi komander di platun sniper wanita Bahagian Rifle ke-184 selepas tamat pengajian. Hanya 3 hari selepas tiba di bahagian barat, Shanina sudah membuat pembunuhan pertamanya.

Pada bulan Mei selepas itu, Shanina dianugerahkan pingat "Order of Glory" - penembak tepat wanita pertama yang menerima penghormatan ini - dan terkenal dengan kemampuannya untuk menembak "double hits", iaitu kemampuannya menembak dua sasaran berturut-turut dengan pantas. 

Pembunuh Prussia Timur yang tidak dapat dilihat

penembak tepat 798

Tidak lama kemudian, jumlah sasaran pembunuhan Roza Shanina terus meningkat dan kehebatannya ini mula mendapat perhatian pihak media. Sebagai seorang penembak tepat, Shanina mahir menyelinap ke arah musuh untuk mencari sasarannya.

Pernah satu ketika dia menunggu di satu lokasi tempat askar penembak "machine gun" Jerman muncul keluar dari kubu persembunyiannya yang diperbuat daripada pasir dan balak. Sebaik sahaja askar tersebut muncul, dia terus menembaknya dengan tepat.

Ketika 2 lagi askar Jerman datang untuk menolong askar malang itu, Shanina dengan yakinnya menembak mereka berdua dengan tepat dan pantas sekali. Disebabkan kecekapannya bersembunyi dan mencari sasaran, dia dikenali sebagai "pembunuh Prussia Timur yang tidak dapat dilihat" yang cukup digeruni musuh,

Sementara itu, Shanina turut mendokumentasikan pengalamannya di medan perang dalam buku catatan hariannya, merenungkan masa dia dalam pertempuran serta menceritakan kesepian, patah hati dan harapannya untuk masa depan.

Pengalamannya di medan perang lama-kelamaan telah mengubah dirinya menjadi seorang yang terlampau berdikari dan sukar mempercayai lelaki sepenuhnya. Shanina mendapati sukar mendirikan rumah tangga kerana kebiasaannya teman-teman lelakinya akan terkorban dalam peperangan.

Hari-hari terakhir Roza Shanina

roza shanina enhanced photo sniper

Roza Shanina sering mendokumentasikan pengalamannya di medan perang dalam buku notanya. Jelas sekali dia menyatakan kehidupan di medan perang bukanlah sesuatu yang diinginkannya apabila terpaksa melihat mayat bergelimpangan, darah dan pelbagai perkara buruk setiap hari. 

Selain itu, dia juga pernah menyatakan dalam bukunya dirinya dilayan umpama sampah hanya kerana dirinya seorang wanita. Pada 24 Januari 1945, dia menulis bahawa ketua rejimen pernah mengejarnya dan melayannya dengan kasar umpama dia sedang berada di rumah pelacuran.

Kemudian dalam tulisan yang sama, dia menerangkan bagaimana anak lelaki kolonel itu yang sedang mabuk melemparkannya ke sofa dan menciumnya secara paksa. Semuanya kerana dia adalah seorang wanita yang terpaksa bekerja dikelilingi oleh ramai lelaki.

Pada 27 Januari 1945, 2 orang tentera menemuinya di medan pertempuran dengan dadanya cedera parah, jatuh di atas seorang pegawai yang cedera untuk melindunginya. Malangnya, dia tidak dapat diselamatkan dikebumikan dengan penghormatan ketenteraan penuh di Jerman timur.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Warfare History
  3. The Vintage News



Hakcipta iluminasi.com (2017)