sarjan leonard funk

Leonard A. Funk, seorang penduduk asli Pennsylvania barat yang mempunyai ketinggian kira-kira 5 kaki 5 inci dan seberat 63.5 kg ini adalah salah seorang askar payung terjun paling hebat yang pernah terbaik yang berkhidmat untuk Tentera Darat Amerika Syarikat.

Malah, dia juga merupakan salah seorang wira perang yang mempunyai kisah kemenangan paling aneh dan pelik semasa berlakunya Perang Dunia Kedua. Berikut adalah kisah pelik bagaimana Leonard Funk menjadi wira di medan perang.

Mula menyertai pasukan tentera

Funk telah disenaraikan untuk menyertai pasukan tentera pada bulan Jun 1941. Pada mulanya, dia menyertai sekolah udara Tentera Amerika Syarikat secara suka rela dan akhirnya berjaya menyertai Company C, Infanteri Payung Terjun ke-508, Bahagian Penerbangan ke-82.

leonard a funk jr

Perang Dunia Kedua meletus sejurus sahaja selepas Funk mendaftarkan diri untuk menyertai pasukan tentera. Namun, ketika itu dia sedang ditempatkan di England dan sehinggalah pada tahun 1944, barulah Funk benar-benar menyertai medan perperangan yang sebenar.

Pada hari perperangan bersejarah D-Day, dia telah dihantar ke Normandy bersama pasukan payung terjunnya dan mendarat lebih 65 km daripada pantai. Mereka telah bertempur selama lebih 10 hari sebelum berjaya menembusi pertahanan musuh dan bergabung semula dengan rejimen mereka.

Pada waktu itu, tiada seorang tentera pun dalam pasukan kecilnya itu yang terkorban atau hilang. Funk telah dianugerahkan pingat Bintang Perak untuk pencapaiannya itu selaku ketua.

tentera yang ketawa bunuh askar jerman

Pada bulan September tahun yang sama juga dia telah diarahkan untuk melakukan terjunan di Holland semasa Operasi Taman Pasar sebagai salah satu percubaan gagal Tentera Amerika untuk menguasai jambatan-jambatan di Sungai Rhine untuk ke Jerman.

Ketika itu Funk sedang mengetuai pasukan rondaan seramai tiga orang dalam misi memusnah tiga senjata anti-pesawat Jerman bersaiz 20mm yang menembak para penerjun Amerika. Funk dan pasukan kecilnya itu berjaya memusnahkan semua senjata anti-pesawat itu serta membunuh 20 orang tentera Jerman, sekali lagi tanpa kehilangan nyawa ahli kumpulannya.

Mendapat gelaran "Napoleon"

funk bersama rakan rakan tenteranya

Funk bersama rakan-rakan tenteranya

Selepas itu, Funk telah menerima anugerah Pingat Salib Cemerlang untuk kejayaan yang dikecapinya itu walaupun Tentera Amerika gagal menawan jambatan-jambatan di Sungai Rhine itu. Selepas kejayaan itu, ahli pasukan yang dipimpinnya mula memanggil Funk dengan gelaran "Napoleon".

Pada bulan Januari 1945, pasukan Funk telah ditugaskan ke Belgium untuk membantu menyekat kemaraan dan mencegah serangan Jerman semasa Pertempuran Bulge. Selepas hampir 25 km berarak dalam salji tebal, pasukan tentera Amerika itu telah kehilangan Pegawai eksekutifnya dan Funk telah mengambil alih kepimpinan pasukan itu. 

Setelah gagal mengumpul pasukan infantri yang mencukupi untuk memecah kubu kuat Jerman, dia telah merekrut sekumpulan kerani pejabat yang bertugas dengan Tentera Amerika. Funk telah mengetuai sekumpulan 30 orang kerani ini melalui salji setinggi pinggang, melalui bahagian bawah medan pertempuran yang dihujani peluru dan mengelilingi kubu kuat Jerman itu.

Platun sementara yang dipimpin Funk itu akhirnya berjaya menawan kubu itu serta 30 orang tentera Jerman di dalamnya. Ketika itu, satu lagi unit tentera Amerika Syarikat pula berjaya menangkap sekitar 50 orang tentera Jerman. Kesemua tawanan perang itu ditempatkan di perkarangan sebuah rumah dan dikawal oleh empat orang tentera Amerika. Funk kemudian kembali semula ke medan perang.

Kemenangan aneh dan terhebat Funk

leanord funk

Kemudiannya pada hari yang sama, setelah berhempas pulas menahan serangan musuh, Funk dan seorang lagi askar telah kembali ke tempat tawanan itu untuk memeriksa keadaan banduan dan empat orang pengawal itu. Apa yang tidak diketahui Funk ialah sekumpulan tentera German yang menyamar memakai pakaian tentera Amerika telah berjaya memperdaya pengawal dan sedang membebaskan 80 orang tawanan itu.

Funk dan seorang lagi askar bersamanya itu telah berjalan terus ke dalam laman yang menjadi tempat tawanan dikawal tanpa menyedari bahawa tentera Jerman sedang dibebaskan. Dengan tiba-tiba, salah seorang pegawai tentera Jerman telah meletakkan pistolnya di perut Funk.

Mungkin disebabkan tertekan atau sebahagian daripada tipu helahnya, Funk yang diacukan pistol pada perutnya oleh pegawai tentera Jerman itu mula ketawa. Semakin lama dia ketawa, semakin kelihatan marah pegawai Jerman itu. Ketika sedang marah, pegawai tentera Jerman itu menjerit dengan mengatakan sesuatu kepada Funk. Funk yang tidak memahami bahasa Jerman itu terus ketawa besar.

Keadaan itu membuatkan tentera Jerman lain turut kehairanan dan mungkin menganggap Funk sudah tidak siuman atau pasrah dengan nasibnya. Pada ketika itu jugalah Funk kelihatan seakan-akan sedang meletakkan submesingan Thompson miliknya sebagai tanda menyerah diri.

Tanpa diduga, Funk tidak menyerah diri sebaliknya menembak submesingannya itu ke arah pegawai Jerman di hadapannya itu. Tentera dan tawanan Jerman yang lain terkejut dengan keadaan itu dan segera ingin mencapai senjata api masing-masing untuk bertindak balas. Ketika itu Funk telah menjerit ke arah pasukannya untuk menembak semua tentera Jerman yang ada.

Dalam tempoh satu minit sahaja kekalutan itu berlaku, Funk dan pasukannya berjaya menembak mati 21 orang musuh, mencederakan 24 yang lain dan menawan semula saki-bakinya. Selepas tamat kejadian tembak menembak itu, Funk mengatakan itu adalah perkara paling bodoh yang pernah disaksikannya.

Bersara dengan pelbagai penghormatan

funk menerima anugerah daripada presiden harry truman

Funk menerima pingat daripada Presiden Harry Truman

Ketika perperangan berakhir, Leonard Funk telah menerima banyak pingat penghormatan. Antaranya ialah Pingat Salib Cemerlang, Bintang Perak, Bintang Gangsa, Hati Ungu dan beberapa lagi pingat terkenal yang lain.

Pingat paling berharga yang diterima Funk ialah Dutch Militaire Willems Order (Kelas Kesatria ke-4) yang dikatakan sama tarafnya dengan British Victoria dan Medal of Honor. Pingat itu telah diberikan oleh Presiden Harry Truman di White House.

Leonard Funk akhirnya bersara daripada Angkatan Tentera Amerika Syarikat selepas perang dan akhirnya menjadi Ketua Daerah Pittsburgh bagi Pentadbiran Tentera Veteran. Dia meninggal dunia pada tahun 1992 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Arlington.

Rujukan:

1. Military

2. Pamil Museum

3. Bad Ass of the Week


tags : , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)