ilustrasi charles boycott

Kita selalu guna perkataan 'boikot' dan kita tahu apa maksud perkataannya. Kita juga pasti jelas perkataan 'boikot' ini datangnya daripada pengolahan perkataan asal 'boycott' dari Bahasa Inggeris.

Namun, persoalannya - mengapa boikot selalu dikaitkan dengan tindakan kita memulaukan atau tidak menyokong sesuatu, dengan harapan agar apa yang kita pulaukan itu mendapat pengajaran atau dipinggirkan?

CHARLES CUNNINGHAM BOYCOTT

gambar charles boycott

Semuanya bermula daripada kisah seorang tuan tanah bernama Charles Cunningham Boycott. Charles lahir pada 12 Mac 1832 dan pernah bertugas sebagai seorang pegawai tentera dalam rejimen ke 39 Askar British, yang melantik dia untuk bertugas di Ireland dan dia pun menetap di sana.

Selepas bersara daripada perkhidmatan tentera, Charles dilantik untuk menjadi ejen tanah kepada Lord Erne, seorang pembesar Ireland yang memiliki banyak kawasan tanah di sekitar County Mayo. Lord Erne ini hidup mewah berikutan kadar sewa yang dia kenakan pada penyewa tanah pada kadar tak masuk akal dan bagi mengurus hal ehwal tanah, Charles ditugaskan untuk mengutip sewa atau mengusir keluar penyewa yang gagal membayar sewa dan cara yang digunakan oleh Charles pula, selalunya keras dan menumpahkan darah.

PENGENALAN UNDANG-UNDANG 3F

pemberitahuan undang undang 3f

Pada tahun 1880, undang-undang yang dikenali dengan nama 3F iaitu 'fair rent, fixity of tenure and free sale' atau kadar sewa munasabah, penetapan kontrak sewaan dan penjualan bebas diperkenalkan, buat pertama kalinya masyarakat di situ mempunyai kuasa untuk melawan pemilik tanah yang mencekik darah orang ramai, seperti Lord Erne.

Charles ditugaskan untuk menghalau 11 orang penyewa dan pihak penguatkuasa ketika itu mengarahkan agar semua pekerja yang bekerja dengan Charles, supaya berhenti melakukan kerja serta meminggirkan Charles daripada komuniti. Kempen yang dijalankan juga menggesa agar pihak peniaga agar tidak menjual barang kepada Charles.

Tertekan dengan kehidupan yang dipinggirkan, Charles memaklumkan kepada media berkenaan nasib beliau, mungkin kerana merasakan kedudukannya lebih tinggi berbanding orang lain. Charles menulis surat kepada The Times menceritakan berkenaan apa yang berlaku serta gesaan yang dihebahkan kepada orang ramai untuk meminggirkan dia.

CHARLES MULA MENJADI TERKENAL ATAS SEBAB YANG SALAH

notis boycott

Charles mengadu dalam surat tersebut berkenaan tindakan orang ramai memaksa kesemua pihak yang berkhidmat kepadanya untuk berhenti termasuklah mesej-mesej telegraf, tukang besi dan pekerja ladang beliau. Charles turut menceritakan berkenaan tindakan orang ramai dengan sengaja merosakkan ladang miliknya serta sengaja menjadikan tanaman di ladangnya laluan pejalan kaki.

Surat yang ditulis oleh Charles tersebar luas dan rintihan Charles membuatkan beberapa pihak yang bersimpati menghantar bantuan tenaga kerja kepadanya, namun mereka yang dihantar, kebanyakannya tentera - terpaksa berjalan kaki dari stesen keretapi ke rumah agam beliau ekoran penduduk tempatan yang tidak mahu menghantar mereka ke situ.

Bagaimanapun, selepas insiden itu selesai, pengkritik mengkritik tindakan pihak yang membantu Charles kerana jumlah yang perlu dibelanjakan adalah sekitar GBP10,000 sedangkan jumlah tanaman yang ditanam di ladang Charles hanyalah bernilai GBP350.

MELARIKAN DIRI DARIPADA TERUS DIBOIKOT

ilustrasi boycott mengarahkan pekerja

Tidak tahan dengan perbuatan penduduk setempat, Charles serta isterinya yang bernama Annie mengambil keputusan untuk meninggalkan kediaman mereka secara senyap-senyap dalam sebuah ambulans, yang diikuti oleh satu pasukan tentera sebagai pengawal. Kisah Charles melarikan diri diketahui ramai dan berita berkenaan apa yang sebelum itu mula disebarkan, sehingga menjadi bahan bualan orang ramai.

Perkataan 'Boycotting' mula digunakan oleh penduduk Ireland bagi menggambarkan penentangan orang ramai terhadap mereka yang menindas dengan Charles Boycott kini menjadi seorang legenda, ekoran sebab yang kurang elok. 20 tahun kemudian, perkataan 'boycott' dimasukkan ke dalam kamus buat pertama kali menjadikan nama keluarga Boycott secara rasminya menjadi rujukan kepada tindakan kita meminggirkan sesuatu dengan harapan mereka akan berhenti melakukannya.

Charles Cunningham Boycott meninggal pada 19 Jun 1897 pada usia 65 tahun, dengan legasi yang pasti dia sendiri tidak mahu ditinggalkannya. Dia bernasib baik pihak tentera menyempurnakan pengebumian serta tidak ada pihak yang mengajak supaya orang ramai memboikot persemadian dia.

Rujukan

Ireland Central


tags : , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)