Permainan video kerap kali mempunyai judul yang agak unik, senang diingati sehinggakan menjadi ungkapan yang popular.

Namun kadangkala sebab atau kisah mengapa sesuatu judul itu dinamakan sedemikian rupa, jarang diceritakan walaupun tajuknya kerap kali dirujuk oleh kita.

Kenapa judul-judul permainan video klasik dinamakan sedemikian rupa? Jom kita lihat 10 kisah ringkas bagaimana judul-judul yang terus popular sehingga ke hari ini terhasil.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Metroid

metroid nintendo nama judul

Siri yang mempopularkan watak pemburu wanita bernama Samus Aran menentang kumpulan makhluk asing ini cukup popular di kalangan peminat konsol Nintendo.

Nama 'Metroid' pada mulanya menggunakan judul 'Space Hunter', namun dua orang produser Nintendo bernama Hiroji Kiyotake dan Yoshio Sakamoto memilih untuk menggabungkan perkataan 'metro' dan 'android' menjadi satu perkataan tanpa ada logik tertentu.

Apa yang lebih melucukan, nama watak Samus Aran yang ikonik, sebenarnya terhasil daripada nama sebenar legenda bola sepak Pele iaitu Edison Arantes do Nascimento. Oleh kerana mereka selalu terlupa perkataan 'Edison' dalam nama penuh Pele, mereka menyebutnya sebagai 'Something'- 'Arantes'.

'Something' mewakili istilah yang mereka kurang ingati dan Something Arantes ditukar menjadi Samus Aran, bagi menamakan watak yang cukup evergreen hingga kini.

2. Castlevania

castlevania title asal tajuk

Sebuah siri ikonik yang akan terus disebut sebagai rujukan kepada rumah studio penerbitan permainan video, judul 'Castlevania' mempunyai kisah penghasilan yang menarik.

Di Jepun, pada mulanya siri ini dikenali sebagai Akumajou Dracula atau 'Demon Castle Dracula.' Untuk terjemahan bagi pasaran Amerika Syarikat, 'Demon Castle Dracula' didapati agak panjang serta sukar disebut. Jadi pasukan yang menguruskan usaha penterjemahan, memilih untuk menggabungkan perkataan 'Castle' (istana) dengan 'Transylvania' - sebuah daerah di Romania yang menjadi mitos sebagai tempat asal lahirnya makhluk ghaib Drakula. Terhasillah 'Castlevania.'

3. Tetris

tetris word perkataan

Apa maknanya 'Tetris'?

Adakah ia satu perkataan yang wujud sebelum permainan video yang sangat penting ini wujud? Tidak. Perkataan 'tetris' itu sendiri tidak wujud, sehinggalah Alexey Pajitnov iaitu pencipta permainan 'Tetris' menciptanya sebagai judul permainan ciptaannya.

Asal perkataan 'tetris' datang daripada perkataan 'tetromino', mewakili bentuk yang boleh terhasil sekiranya empat kiub disusun mengikut kaedah yang berbeza-beza.

Bagi menjadikan judul permainannya unik, Pajitnov menggabungkan perkataan 'tetromino' dan perkataan 'tennis' yang sudah pastilah sukan kegemarannya - lalu menghasilkan perkataan baru 'tetris.'

4. Contra

contra pejuang kebebasan

Pernahkah anda terfikir kenapa judul popular ini dinamakan 'Contra'? Namanya datang daripada gerakan bersenjata yang menuntut pembebasan digelarkan 'Contrarrevolucionario' atau Pejuang Revolusi Kontra. Dalam penghasilan judul 'Contra', nama itu diinspirasikan daripada insiden yang berlaku di Nicaragua, dalam insiden yang digelarkan sebagai 'Revolusi Nicaragua.'

'Perang Kontra' berlaku pada tahun 1979 sehinggalah awal dekad 90-an, apabila pasukan yang dikenali sebagai 'Contra'  dibantu Amerika Syarikat bangkit menentang kerajaan junta Sandinista yang memegang kuasa pada ketika itu. Amerika Syarikat dilihat mahu memainkan peranan meletakkan sekutu mereka sebagai pemimpin negara tersebut, dengan pejuang Contra dipilih sebagai askar upahan mereka.

Selain daripada dijadikan inspirasi kepada judul klasik ini, salah sebuah lagu latar belakang yang dimainkan dalam judul permainan video 'Contra' juga diberikan tajuk 'Sandinista' - sempena inspirasi peristiwa peperangan tersebut.

5. Donkey Kong

nes donkey kong asal usul nama

Masa kecil bila kita main judul 'Donkey Kong' tak ada pula kita memikirkan kenapa namanya 'Donkey' kan? Kenapa 'Donkey' digunakan?

Ada dua kisah mengapa nama ini dipilih. Yang pertama adalah disebabkan kekeliruan semasa penterjemahannya. Judul asal sepatutnya adalah 'Monkey Kong' tetapi kesilapan yang berlaku menyebabkan 'Monkey' bertukar menjadi 'Donkey.'

Yang kedua, produser Nintendo yang terkenal iaitu Shigeru Miyamoto merasakan perkataan 'donkey' amat sesuai untuk menggambarkan sifat 'bodoh' dan 'degil', bagi mewakili watak monyet yang tak henti-henti cuba menghalang puteri diselamatkan.

Kami tidak tahu mana yang lebih tepat - tetapi memandangkan usaha penterjemahan permainan video Jepun ke Amerika Syarikat satu masa dulu memang caca-merba, kami memilih kisah pertama lebih logik dan sesuai.




Hakcipta iluminasi.com (2017)