grace hooper ditepi komputer terawal

Mereka yang meminati bidang pengaturcaraan dan komputer sudah pasti amat rapat dengan satu terma atau istilah yang kerap kali disebut iaitu 'bug'. Istilah 'debugging' pula merupakan salah satu perkara paling dibenci atau disukai pengaturcara.

Sekiranya kita fikirkan, 'bug' atau 'debugging' ini membawa makna yang berkait dengan serangga - tetapi langsung tidak berkait dengan komputer.

Jadi sejak bila istilah yang sebenarnya merujuk kepada haiwan-haiwan kecil ini digunakan sebagai kata ganti kepada mana-mana ralat atau kesilapan yang berlaku dalam bidang komputer?

Kisah popular asal-usul 'computer bug'

rekod grace hooper bug

Sekiranya anda cari berkenaan asal-usul kisah ini, kisah yang paling banyak disebutkan akan melibatkan salah seorang tokoh paling awal dalam sejarah penciptaan komputer, seorang wanita bernama Grace Hooper. Hooper adalah seorang saintis dan tentera laut yang berkelulusan sarjana matematik.

Selepas menamatkan khidmatnya dalam tentera laut, Hooper mula terlibat dalam projek pembangunan komputer, menjadi pengasas kepada bahasa pengaturcaraan COBOL dan penghasilan peranti komputer yang dinamakan Harvard Mark I, komputer pertama dunia yang mampu memproses bahasa pengaturcaraan.

Ketika bekerja dalam tahun 1943, Hooper melakukan pemeriksaan peranti mendapati ada serangga mati yang tersangkut di dalam komputer yang sebesar bilik ketika itu, sehingga menyebabkan berlakunya ralat.

Bagi merekodkan penemuan itu, Hooper melekatkan serangga itu ke dalam buku notanya, mencatatkan penemuan 'bug' yang pertama di dalam kerangka komputer tersebut pada 9 September 1943 dengan ayat 'the first actual case of bug being found.'

Kisah ini sangat popular diceritakan sebagai asal-usul penggunaan istilah 'bug'. Ini juga dibantu oleh pengaruh Grace Hooper dalam dunia komputer, menyebabkan banyak pihak menganggap kisah ini adalah kisah sebenarnya. Sayangnya, perkara ini tidak benar.

Asal-usul  'computer bug'

thomas edison fonografead 720 405 579

Catatan yang dilakukan oleh Hooper dalam buku notanya yang kini dipamerkan di Naval Historian Center, memang merujuk kepada serangga tersebut kerana itu adalah kali pertama serangga mati menyebabkan ralat pada perjalanan sistem komputer mereka.

Apa yang berlaku sebenarnya Hooper sedang berseloroh dalam tulisannya, kerana terma 'bug' sudah pun terlebih dahulu digunakan bagi merujuk kepada ralat dalam sistem komputer oleh individu-individu lain, sebelum dia menemui serangga tersebut.

Pereka terkenal Thomas Edison pada tahun 1876, telah pun menggunakan perkataan 'bug' bagi menjelaskan ralat yang ditemui dalam mesin fonograf beliau, merujuk kepada kesukaran untuk dia menyelesaikan masalah itu seolah-olah ada serangga mati di dalamnya sehingga berlakunya ralat.

Dari mana Edison mendapat idea perkataan itu?

Raksasa yang sukar ditewaskan

pepijat komputer computer bug

Idea asal perkataan 'bug' bagi merujuk sesuatu ralat atau kepayahan yang sukar untuk diselesaikan, datang daripada istilah yang membawa makna sesuatu yang jahat iaitu 'bugboo.' Bugboo adalah raksasa yang diceritakan oleh ibu bapa zaman dulu bagi menakut-nakutkan anak-anak mereka.

Wujud beberapa versi perkataan serupa selain bugboo, seperti bugaboo, bugbear atau boogeyman yang menjadi popular dan akhirnya menjadi inspirasi kepada pencipta-pencipta zaman dahulu, untuk merujuk kepada masalah yang mereka hadapi.

Semua perkataan itu pula datang daripada perkataan 'bugge', sebuah perkataan Inggeris lama yang merujuk kepada makhluk 'hobgoblin', diambil daripada perkataan Jermanik lama 'bogge' yang bermaksud 'makhluk goblin.'

Serangga yang ditemui Hooper menjadi anekdot popular kerana telah membuktikan penggunaan istilah 'bug' boleh benar-benar berlaku, dalam dunia nyata jadi kisah itu bolehlah dikatakan penyebab utama kenapa terma 'computer bugs' atau 'debugging' menjadi istilah norma pada hari ini.

Rujukan

Computerworld



Hakcipta iluminasi.com (2017)