Oleh pada 19 Jul 2017 kategori

Ini boleh dikatakan perbalahan dan pertengkaran yang tak akan berkesudahan dan terhebat dalam sejarah bola sepak. Siapa lagi hebat, Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi?

Sukar untuk kita perkatakan siapa lebih hebat kerana kedua-duanya mempunyai kehebatan dan kelebihan tersendiri.

messi and ronaldo 460

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jika disoal peminat Real Madrid, sudah tentunya Cristiano Ronaldo lebih hebat, dan jawapan yang sama akan diberi oleh peminat Barcelona bahawa Lionel Messi lebih sempurna.

Jadi, bagaimana kita mahu membuat keputusan siapa lebih hebat?

iluminasi.com ingin berkongsi mengenai perbandingan mengenai 10 aspek di antara kedua-dua pemain terhebat di atas planet bumi ketika ini, dan siapa lebih hebat.

Jumlah gol :

Messi : 565 (701 perlawanan)

Ronaldo : 604 (860 perlawanan)

Penyudah menggunakan kaki

Messi : 9/10 

messi shooting

Kaki kiri Messi yang memang tidak dapat disangkal, menjadi satu mimpi ngeri kepada setiap penjaga gol. Messi lebih banyak menyudahkan peluang yang ada di bahagian kiri. Ketika Guardiola mengendali Barcelona, Messi banyak bermain di sebelah kanan, namun kemudiaanya Messi lebih banyak masuk ke tengah.

Keupayaannya dalam menyudahkan peluang 1-on-1, melambungkan bola melepasi penjaga gol yang keluar dan juga melencongkan bola ke penjuru gol. Amat sukar untuk mencari cela pada penyudah Messi.

Ronaldo : 9/10

ronaldo shooting

Berbanding Messi yang lebih menggunakan peluang, Ronaldo lebih gemar melakukan penyudah deras. Tidak seperti Messi yang banyak menggunakan kaki dominan untuk menjaringkan gol, Ronaldo yang dominan kaki kanan, juga mampu menjaringkan gol menggunakan kaki kiri.

Daripada 428 gol yang dijaringkan Ronaldo, 90 gol atau 21% daripadanya menggunakan kaki kiri, berbanding Messi yang hanya menjaringkan gol menggunakan kaki kanan sebanyak 16%.

Penyudah dengan kepala

Messi : 6/10

messi heading

Sebagai antara salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman, penggunaan kepala oleh Messi tidak boleh dianggap sebagai bertaraf dunia. Faktor ini disebabkan oleh ketinggiannya. Namun satu memori yang masih kekal dalam ingatan semua peminat bola sepak adalah ketika Messi menanduk masuk gol kedua ketika Barcelona menewaskan Manchester United dalam final Liga Juara-Juara Eropah 2009.

Namun, tidak banyak lagi gol yang dijaringkan oleh Messi menggunakan kepala. Jumlah gol dijaringkan menggunakan kepala hanya 24 biji.

Ronaldo : 9/10

ronaldo heading

Bukan sahaja hebat menjaringkan gol menggunakan kaki, tandukan Ronaldo juga amat penting dalam menyumbang kepada jumlah gol oleh Ronaldo. Jauh meninggalkan gol yang dijaringkan oleh Messi, Ronaldo lebih dominan menggunakan kepalanya daripada Messi.

Sebanyak 100 gol dijaringkan Ronaldo menggunakan kepala, hampir 5 kali ganda berbanding Messi. Dengan perbezaan ketinggian yang sangat ketara iaitu Ronaldo 184cm berbanding Messi 170cm, membuatkan Ronaldo lebih hebat beraksi di atas udara.

Menggelecek dan mengawal bola

Messi : 10/10

messi dribbling

Boleh dikatakan antara penggelecek terhebat atau paling hebat dalam sejarah bola sepak. Semua orang tahu kebolehan Messi yang sangat menakjubkan dalam menggelecek dan mengawal bola. Kelajuannya kakinya membuatkan semuanya nampak mudah dan membolehkan pemain cilik ini menembusi beberapa pemain tanpa masalah. Ketika menggelecek, bola seolah-olah melekat di kakinya.

Dengan mempunyai tubuh yang kecil dan pusat graviti yang rendah membolehkan Messi untuk bergerak laju dengan keseimbangan yang tinggi. Sehinggakan ada pakar dan pemain professional yang menggelarkan Messi sebagai Alien kerana seolah-olah Messi berasal dari planet lain.

Disebabkan fizikalnya tidak sekuat dan se-sado Ronaldo, Messi lebih menggunakan kebolehan semulajadinya untuk melepasi pemain lawan.

Ronaldo : 9/10

ronaldo dribbling

Tak ramai yang boleh melakukan skil-skil yang dilakukan Ronaldo, seperti step-over. Kebolehan Ronaldo memecut dengan laju dan mengubah arah ketika mengawal bola dengan laju, membuatkan ramai pemain keliru dan rebah. Namun, berbanding Messi, Ronaldo lebih mengharapkan dan menggunakan kelajuan dan kepantasan lariannya bagi melepaskan dirinya dari kawalan pemain lawan.

Kebolehan menggelecek oleh Ronaldo lebih kepada kelajuan manakala Messi lebih kepada kerumitan.

Hantaran

Messi : 9/10

messi passing

Disebabkan ramai terlalu fokus kepada kehebatan menggelecek bola oleh Messi, hantarannya yang menakjubkan seolah-oleh terlepas pandang. Kebolehan Messi mengagak dan melihat rakan sepasukannya membolehkannya membuat hantaran yang tepat dan tidak diduga oleh pihak lawan. 

Sebagai pemain yang mempunyai posisi bebas, Messi lebih banyak membuat hantaran, dan hantarannya bukan biasa-biasa. Dengan menggelecek melepasi beberapa pemain, ia disulami dengan hantaran bijak tepat ke kaki rakannya yang sememangnya tidak dapat dibaca.

Pada musim lepas Messi telah menghasilkan 74 peluang dan ketepatan hantarannya adalah 82%

Ronaldo : 8/10

ronaldo passing

Boleh dikatakan tidak adil untuk membandingkan kebolehan menghantar bola oleh Ronaldo dengan Messi kerana kedua-duanya bermain di posisi berlainan dan juga cara bermain oleh Real Madrid dan Barcelona amatlah berbeza. Barcelona lebih menerapkan permainan dengan lebih banyak hantaran rumit manakala Real Madrid lebih kepada kelajuan menyerang.

Selain itu, Ronaldo sering digelar tamak kerana tidak gemar menghantar bola dan seolah-olah bermain sendirian, membuatkan kadar hantaran bola olehnya lebih rendah daripada Messi. Namun, Ronaldo masih bersaing rapat dengan Messi dalam kategori ini dengan menghasilkan 50 peluang musim lepas, dan mencatatkan kadar ketepatan hantaran sebanyak 79%.

Sepakan percuma

Messi : 9/10

messi freekick

Kebolehan Messi untuk mengenalpasti ruang dan menghantar bola betul-betul ke ruang itu sememangnya bertaraf dunia. Imaginasi dan kreativi oleh Messi dalam sepakan percuma membezakannya dengan pakar sepakan percuma yang lain. Walaupun sepakannya tidak sederas dan sepadu Ronaldo, kemahiran yang ada pada Messi membuatkan sepakannya sangat istimewa.

Jumlah gol yang dijaringkan Messi melalui sepakan percuma adalah 26 gol, jauh ditinggalkan Ronaldo dengan 47 gol, namun apa yang membuatkan Messi lebih hebat dalam kategori ini adalah ketepatannya menyempurnakan sepakan percuma dengan 8%, berbanding Ronaldo dengan 6.5%

Ronaldo : 8/10

ronaldo freekick

Jika anda menonton video kompilasi sepakan percuma terbaik, pasti beberapa gol daripadanya adalah oleh Ronaldo. Kombinasi sepakan bola yang sangat deras dan kebolehannya dalam menentukan hala tuju bola membuatkan Ronaldo juga salah seorang daripada pakar sepakan percuma. 

Namun, kederasan sepakan tidak menjanjikan gol dalam sepakan percuma kerana terdapat banyak sepakan oleh Ronaldo terhalang oleh benteng. Namun, ia tidak menghalang Ronaldo untuk menghasiklan 47 gol dari sepakan percuma. 

Sepakan penalti

Messi : 7/10

messi penalty

Antara salah satu kategori yang Messi tidak menunjukkan tahap yang terbaik. Rekod penalti oleh Messi dalam beberapa musim sebelum ini agak mengecewakan. Dalam 2 musim lalu untuk Barcelona, sebanyak 10 gol dijaringkan dan 7 sepakan penalti disia-siakan oleh Messi. Rekod ini adalah di bawah paras purata bagi pemain sehebat Messi dan orang yang bertanggungjawab mengambil sepakan penalti bagi kelabnya.

Dalam final Copa America 2016, Messi gagal menjaringkan sepakan penalti ketika Argentina menentang Chile dalam penentuan sepakan penalti yang menyebabkan Argentina tewas buat kali kedua berturut-turut di pentas final, kepada Chile.

Daripada 99 sepakan, 78 gol dijaringkan Messi yang membawa kepada kadar penyempurnaan sebanyak 78.8%.

Ronaldo : 8/10

ronaldo penalty

Walaupun ramai haters Ronaldo sering mengejeknya dengan gelaran "Penaldo" kerana dikatakan sering menjaringkan gol dengan penalti, tapi realitinya, jika dilihatkan kepada statistik, Ronaldo mengatasi Messi dalam sepakan penalti.

Seperti Messi, Ronaldo juga berperanan sebagai pengambil sepakan penalti bagi Real Madrid. Namun, lebih banyak gol dihasilkan oleh Ronaldo berbanding Messi dalam sepakan penalti.

Daripada 123 sepakan, 101 gol dijaringkan Ronaldo membawa kepada kadar penyempurnaan sebanyak 82.1%

Fizikal

Messi : 7/10

messi body

Tak dinafikan Messi kurang dari segi fizikalnya. Berketinggian 170cm, Messi hampir-hampir menjadi mangsa terlepas pandang disebabkan tubuh kecilnya dan kekurangan kekuatan fizikal. Namun, fizikal bukanlah segala-galanya dalam bola sepak. Dengan kemahiran dan skil yang memukau mengatasi had fizikalnya, dan membuatkan ramai pemain yang bertubuh lebih besar tewas.

Kadang-kadang saiz boleh mengelirukan anda, dan mungkin kehebatan yang ada pada Messi sebenarnya datang daripada kekurangan fizikalnya. Siapa tahu jika Messi lebih tinggi, beliau tidak akan sehebat sekarang.

Ronaldo : 10/10

ronaldo body

Bagi setiap pemain bola sepak di atas muka bumi ini, tidak dinafikan, susuk tubuh Ronaldo menjadi idaman. Boleh dikatakan ia hampir sempurna bagi bola sepak moden. Dengan ketinggian 184cm, ia membuatkan Ronaldo menjadi salah seorang mesin penjaring gol dalam sejarah bola sepak. 

Dengan tubuh berotot, ia membantu Ronaldo dari segi kelajuan dan rembatan yang deras, yang menyumbang kepada penghasilan gol serta trofi yang dikecapinya. Namun, umum mengetahui tubuh seperti Ronaldo tidak datang bergolek. Ronaldo sangat rajin dan bersungguh-sungguh bersenam, membuatkan beliau mengecapinya.

Team play

Messi : 9/10

messi assist

Bagi seorang pemain yang sangat berkemahiran, Messi mempunyai reputasi yang sangat tinggi dalam menjadi "team player". Jarang sekali Messi diherdik oleh sesiapa kerana terlalu tamakkan bola dan tidak membuat hantaran. Messi dikategorikan sebagai salah seorang pemain yang tidak tamak dan selalu membuat hantaran jika melihat situasi itu membuahkan hasil.

Statistik menentukan segalanya apabila rekod bantuan Messi dalam menjaringkan gol oleh Messi sangat tinggi. Jumlah assist oleh Messi adalah sebanyak 233.

Ronaldo : 8/10

ronaldo team play 659

Ronaldo tidak dapat dipisahkan dengan tanggapan oleh peminat, dan juga haters, yang beliau merupakan seorang yang tamak dan mementingkan diri. Ia adalah kerana sifatnya yang terlalu ingin membuat sesuatu bersendirian, seolah-olah bermain berseorangan. Banyak situasi di mana beliau boleh membuat hantaran namun diendahkan. Juga pernah berlaku di mana Ronaldo menunjukkan rasa kecewa apabila gol dijaringkan oleh rakan sepasukannya, dan bukannya beliau.

Walaupun begitu, bukan setiap masa Ronaldo bertindak begitu, dan statistik menunjukkan bahawa beliau juga banyak membantu dalam penghasilan gol, dengan rekod assist sebanyak 206.

Disiplin

Messi : 9/10

messi card

Dengan skil yang menakjubkan dan kaki yang pantas, Messi sering diasak dan dikasari oleh pemain lawan hampir setiap kali bola di kaki beliau. Namun, Messi tidak mudah menggunakan kesempatan ini untuk sengaja rebah seperti pemain lain. Beliau sebaliknya akan terus berusaha untuk kekal berdiri dan berlari dan meneruskan serangan. 

Namun sebagai manusia biasa, beliau tidak lari daripada menunjukkan kekecewaan dan ketidaksabarannya apabila dijatuhkan oleh pihak lawan. Dan jika anda melihat Messi marah, ia menunjukkan yang beliau benar-benar dikasari.

Jumlah kad kuning diterima Messi adalah 65 kad, dan hanya 1 kad merah.

Ronaldo : 7/10

ronaldo card

Jika dibandingkan dengan Messi, Ronaldo lebih dianggap sebagai budak nakal. Beliau sering menerima kritikan dan dituduh terlalu mudah menjatuhkan diri atau berpura-pura dan berlakon sakit untuk mendapatkan sepakan percuma dan seangkatannya.

Juga dikatakan semangat dan kecintaan Ronaldo terhadap bola sepak membuatkan kadang-kadang beliau menerima padah dengan dihukum oleh pengadil. 

Jumlah kad kuning dan merah diterima Ronaldo jauh lebih banyak berbanding Messi, iaitu 110 kad kuning dan 9 kad merah.

Anugerah

Messi : 10/10

messi balon dor

Karier Messi di Barcelona amat mengagumkan dengan pelbagai trofi dimenangi. Namun, anugerah yang paling berprestij dalam sukan bola sepak bagi pemain adalah anugerah Balon D'or. Ia adalah satu impian bagi setiap pemain untuk sekurang-kurangnya tercalon, apatah lagi memenanginya, namun hanya yang betul-betul layak boleh dianugerahkan trofi ini.

Dan bagi Messi yang memenangi anugerah ini sebanyak 5 kali, ia seperti upacara tahunan baginya bermula dari tahun 2009 sehingga tahun 2012 apabila beliau menggondol anugerah bagi keempat-empat tahun tersebut. Messi adalah satu-satunya pemain yang berjaya memenangi anugerah ini untuk 4 tahun berturut-turut, diikuti Michel Platini dengan 3 kali berturut-turut.

Ronaldo : 9/10

ronaldo balondor 661

Ronaldo berjaya memenangi anugerah Balon D'or sebanyak 4 kali, pemain kedua terbanyak yang berjaya memenangi trofi ini selepas Messi. Walaupun Messi mengatasi Ronaldo dalam anugerah ini, namun Ronaldo pernah memenangi Liga Juara-Juara Eropah bersama Real Madrid sebanyak 2 kali berturut-turut, dan menjadi kelab pertama yang berjaya mencatatkan rekod itu.

Jadi, siapa lebih hebat?

ronaldo messi 374

Jumlah markah :

Lionel Messi : 85/100

Cristiano Ronaldo : 85/100

Jadi jumlah peratusan markah yang diterima oleh Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi dalam 10 kategori yang dibincangkan adalah sama, iaitu 85%. Mereka sama-sama hebat, sama-sama handal!

Siapa yang lebih hebat dan handal, tak ada sesiapa pun dapat memberikan keputusan yang tepat dan muktamad. Hanya anda sahaja yang dapat menilainya dan penilaian anda mungkin tidak bertepatan dengan penilaian orang lain.

Jadi, tak kisahlah siapa pun yang lebih hebat, kita patut rasa bertuah yang kita hidup di zaman di mana kedua-kedua pemain hebat ini wujud dan menjadi saksi kepada kehebatan mereka. By the way, jangan komen, "Kita patut rasa lebih bertuah kalau kita hidup di zaman Rasulullah", sebab, kita tengah bincang pasal bola. 

Wallahualam.




Hakcipta iluminasi.com (2017)