Oleh pada 26 Jul 2018 kategori

Perpindahan Cristiano Ronaldo daripada kelab Real Madrid ke Juventus beberapa minggu lalu sememangnya menarik perhatian media antarabangsa. Walaupun masih berada di puncak, Real Madrid merasakan penjualan tersebut perlu demi kemajuan kelab itu.

Seseorang yang hebat seperti Ronaldo bukanlah pemain yang mudah dicari ganti. Malah, terdapat pihak yang memberi gambaran bahawa Real Madrid mungkin mengalami sedikit kesukaran pada musim 18/19 akan datang akibat ketiadaan Ronaldo. Malah, Real Madrid sendiri mungkin tidak dapat mencari pengganti sehebat beliau dalam masa 2 3 tahun ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau bagaimanapun, beberapa hari lepas nama Vinicius Junior tiba-tiba muncul. Malah, ramai pihak yang mengatakan beliau mempunyai fizikal dan kebolehan bagi menggantikan Ronaldo. Kedatangannya ke Real Madrid seolah-olah tepat pada masanya apabila Ronaldo sudah tiada lagi bersama kelab itu.

Dalam erti kata lain, setiap pemain yang cuba mengisi kekosongan tempat Ronaldo tidak akan dibayangi lagi oleh kehebatan pemain lagenda kelab Real Madrid itu. Persoalannya, siapa Vinicius Junior ini?

Seorang lagi Wonderkid dari Brazil

vinicius junior dan neymar

Brazil sememangnya tidak pernah ketandusan bakat-bakat pemain muda hebat. Daripada Pele, Ronaldo, Ronaldinho dan Kaka sehinggalah kepada pemegang rekod pemain termahal di dunia, Neymar Jr negara Amerika Selatan ini sentiasa melahirkan pemain-pemain muda yang mengakhiri karier bermain bola sepak sebagai seorang lagenda.

Kini, Vinicius Junior lahir sebagai seorang prospek yang bakal mengikut jejak langkah pemain-pemain lagenda Brazil yang lain. Menariknya, Real Madrid sebenarnya telah menandatangani pemain berusia 18 tahun ini kira-kira 2 tahun lalu pada harga €45 juta.

Jumlah €45 juta bukanlah suatu jumlah yang kecil memandangkan 2 tahun lepas, beliau baru berumur 16 tahun! Malangnya, akibat daripada beberapa masalah dan menyedari peluangnya untuk bermain masih tipis berikut kehadiran pemain-pemain bintang lain, beliau telah dipinjamkan ke kelab Flamengo selama 2 tahun.

Mungkin menyedari inilah masa yang tepat setelah keberangkatan Cristiano Ronaldo ke Juventus, baru-baru ini Real Madrid telah mengumumkan kemasukan Vinicius Junior sebagai pemain utama mereka pada musim akan datang.

Profil Vinicius Junior

real madrid vinicius junior

Nama penuh beliau adalah Vinicius Jose Paixao de Oliveira Junior. Beliau dilahirkan pada 12 Julai 2000 di Sao Paolo dan pada tahun ini berusia 18 tahun. Mempunyai ketinggian 1.76 meter dan berat 62 kg.

Kaki dominannya adalah kanan dan beliau mempunyai kebolehan untuk bermain sebagai pemain sayap kiri dan pemain serangan kedua jika diperlukan. Fungsi ini sama seperti fungsi yang dimainkan oleh Cristiano Ronaldo ketika berada di Real Madrid dahulu.

Statistik sebagai seorang pemain

vinicius junior

Ramai pemerhati bola sepak melihat beliau mempunyai segalanya untuk muncul sebagai seorang pemain hebat pada masa akan datang. Antara kemahiran yang dimilikinya adalah kebolehan membuat hantaran-hantaran penting dan skil menggelecek bola yang mengagumkan.

Selain itu, beliau gemar bermain dengan membawa bola daripada bahagian sayap ke tengah dan suka membina permainan dengan bermain hantaran-hantaran pendek. Beliau juga rajin turun naik dan seringkali mematikan serangan mengejut pihak lawan dengan keberaniannya membuat bentesan kepada pihak lawan.

Daripada segi statistik pula, beliau merupakan pemain yang lebih baik daripada Neymar, Gabriel Jesus dan Coutinho apabila mereka berada pada usianya. Dengan corak permainannya dan gaya permain Real Madrid yang gemar melakukan serangan pantas, Vinicius Junior berada di pasukan yang betul untuk melebarkan kariernya.

Semasa majlis pengenalan beliau kepada pihak media baru-baru ini, beliau turut ditemani oleh pemain lagenda Brazil iaitu Ronaldo. Ronaldo sendiri memuji sikap dan bakat dan dimiliki Vinicius Junior dan beliau percaya pemain muda ini merupakan prospek besar untuk menjadi pemain bintang memandangkan beliau baru berusia 18 tahun.

Kini, segalanya terserlah kepada Vinicius Junior untuk memajukan diri dan merebut tempat dalam kesebelasan utama. Harapnya, beliau tidak diberikan tekanan terlalu tinggi sehingga gagal menterjemahkan prestasi terbaiknya di kelab besar seperti Real Madrid.

Kredit:

  1. Daily Mail
  2. ESPN



Hakcipta iluminasi.com (2017)