Oleh pada 24 Jul 2018 kategori

Lionel Messi tidak dapat dinafikan antara pemain bola sepak paling hebat, lagenda terbaik sepanjang zaman. Ramai yang membandingkan beliau dengan Cristiano Ronaldo, dan selalu berlaku perdebatan antara siapa yang lebih power. 'Ahli magik' ini mempunyai perjalanan karier yang sangat hebat bersama Barcelona, memenangi pelbagai trofi bersama kelab tersebut, walaupun menghadapi kesukaran bersama Argentina. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Setiap kisah yang hebat pasti mempunyai permulaan, sama ada mudah atau penuh mencabar, namun ianya memainkan peranan yang penting dalam membentuk siapa mereka hari ini. Artikel kali ini akan membicarakan beberapa perkara tentang 'Goat' ini yang ramai tidak tahu. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang Lionel Messi. 

1. Lionel Messi Mempunyai Masalah Hormon Tumbesaran

lionel messi mempunyai masalah hormon tumbesaran

Ketika kecil, Messi (Leo) sudah mempamerkan bakat sebagai seorang pemain bola sepak yang berskil. Namun, beliau mempunyai masalah kekurangan hormon tumbesaran yang menyebabkan fizikal beliau terbantut berbanding rakan-rakan sebayanya. Masalah kesihatan ini memerlukan rawatan yang sangat mahal, namun nasib beliau sangat baik. Kebolehan dan skil bermain bola sepak yang ditunjukkan beliau berjaya menarik perhatian banyak kelab besar, termasuklah Barcelona.

2. Leo Messi Sangat Gemarkan Minuman Cola

lionel messi suka minum coke

Kelab Catalan ini sanggup membiayai yuran perubatan Messi demi memastikan beliau bersama kelab tersebut. Ketika menyertai Barcelona, Messi hanya baru berusia 13 tahun. Walaupun mempunyai masalah kesihatan, Messi sangat menyukai minuman Cola. Terdapat kisah di mana mesin soda di La Masia terpaksa dikeluarkan daripada akademi tersebut kerana Messi minum terlalu banyak. Demi menjaga kualiti permainan serta kesihatan Messi, pihak pengurusan Barcelona terpaksa mengambil tindakan tersebut. 

3. Kontrak Tawaran Barcelona Kepada Messi Ditulis di Atas Sehelai Kertas Tisu

kontrak messi ditulis atas tisu

Messi berjaya melakarkan kebanyakan rekod bola sepak dengan rekod golnya yang sangat menakjubkan, namun segalanya bermula apabila setiausaha teknikal Barcelona Carles Rexach terpesona dengan kehebatan skil yang dipamerkan oleh beliau. Kerana tidak mahu Messi diambil oleh kelab lain, dan ingin menjadi yang pertama untuk menandatangi remaja itu, Carles dengan segera membuat kontrak tawaran di atas sehelai kertas tisu. Messi bersetuju untuk menyertai Barcelona. Hari ini, segalanya hanya tinggal sejarah.

4. Lionel Messi atau Leonel Mecci?

lionel messi 20 tahun

Messi mengukir namanya di tanah besar Sepanyol, dan kejayaan beliau turut bergema merentasi lautan Atlantik di tanah airnya, Argentina. Walaupun menjadi anak emas Barcelona, masih ramai yang tidak mengenali beliau pada awalnya. Apabila Messi pertama kali dipanggil oleh Persatuan Bola Sepak Argentina untuk mewakili pasukan bola sepak Bawah 20 Tahun negara itu, mereka tidak pasti tentang nama beliau, dan memanggilnya Leonel Mecci. 

5. Kemunculan Sulung Messi Bersama Argentina Hanya Bertahan Selama 43 Saat

Messi membuat penampilan sulung bersama skuad senior Argentina pada 17 Ogos 2005 ketika beliau berusia 18 tahun. Beliau masuk pada minit ke-63 menggantikan Lisandro Lopez dalam permainan persahabatan menentang Hungary. Momen yang sepatutnya diingati sebagai sebagai kenangan indah buat Messi tidak tercapai. Penampilan pertama bersama Argentina itu hanya bertahan selama 43 saat. 

Ketika masuk, Messi terus mendapat bola, dan beliau melakukan larian 'trademark' nya, membangkitkan para pemain pertahanan Hungary daripada lena. Sedar dengan kehadiran seorang bakat baru, beliau dijaga. Walaubagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Leo, apabila pemain Hungary iaitu Vilmos Vanczak menarik baju beliau. Bagi melepaskan diri daripada Vanczak, Messi dengan tidak sengaja telah menyinggung bahagian muka pemain pertahanan tersebut.

Messi terus dilayankan kad merah oleh pengadil kerana dilihat sengaja cuba menyakiti pemain lawan. Namun, penulis percaya bahawa itu bukanlah niat Messi. Menurut beberapa laporan, Messi telah dilihat menangis di dalam bilik persalinan dengan tangan menutupi wajahnya. Kad merah tersebut adalah satu-satunya kad merah yang diterima beliau sepanjang bersama kelab dan negara. 

6. Nama Messi Diabadikan Sebagai Perkataan Baharu

nama messi diabadikan sebagai perkataan baharu

Tiada perkataan yang dapat menerangkan betapa hebatnya Lionel Messi dalam bermain bola sepak. Pada Februari 2013, Santillana, sebuah kamus bahasa Sepanyol, telah menambah sebuah perkataan adjektif (kata sifat) baharu ke dalam bukunya - 'Inmessionate'. Perkataan tersebut telah dipilih oleh jurulatih Argentina pada ketika itu, Alejandro Sabella, dan secara kasarnya ia bermaksud:

  1. Cara sempurna untuk bermain bola sepak, keupayaan tanpa had untuk memperbaiki diri.
  2. Menerangkan pemain terbaik sepanjang zaman.

Messi bukanlah satu-satunya pemain bola sepak yang namanya diabadikan sebegitu rupa. Pada tahun 2012, sebagai mengenang jasa pemain bola sepak terbaik Sweden, Zlatan Ibrahimovic, negara itu turut menambah nama beliau ke dalam kamus Sweden. Perkataan 'Zlatanera' digunakan sebagai kata kerja, yang membawa maksud, untuk mendominasi. Sangat sesuai!

7. Sebab Sebenar Mengapa Messi Sentiasa Berdiri Di Hujung Dalam Semua Gambar Pasukan

messi suka berdiri di hujung ketika ambil gambar

Ketika sesi mengambil gambar pasukan, Messi kerap kali dilihat berdiri di penjuru kiri pasukan dengan lengannya diletakkan di atas bahu rakan seperjuangan. Dengan berdiri di hujung, Messi tidak perlu untuk membengkokkan lututnnya, dan dirian tegak beliau menampakkan beliau lebih tinggi berbanding ahli pasukannya. Dengan gaya ini, beliau bukan sahaja terserlah ketika dalam permainan, malah turut terserlah di dalam gambar. Ini hanya pendapat penulis.

Sumber:

  1. theguardian.com
  2. sportskeeda.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)