Oleh pada 23 Sep 2018 kategori

5 kad merah paling kontroversi terhadap pemain bintang sukan bola sepak

Baru-baru ini bintang Juventus, Cristiano Ronaldo telah dilayangkan satu kad merah walaupun tidak melakukan apa-apa kesalahan, menurut pendapat kebanyakan peminat bola sepak, termasuklah penulis sendiri. Tindakan kontroversi daripada pengadil Felix Brych telah menyebabkan kemarahan ramai pihak termasuklah Ronaldo sendiri.

Artikel kali bukanlah bertujuan untuk menjustifikasikan keputusan tersebut, namun untuk berkongsi lain-lain insiden kad merah yang kontroversi, sama ada disebabkan kesilapan pengadil itu sendiri, mahupun tindakan agresif pemain yang wajar dikenakan hukuman sedemikian.

1. Zinedine Zidane - Perancis vs Itali (Julai 2006)

Piala Dunia 2006 seharusnya menjadi kenangan manis buat Zidane dalam mengakhiri kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional. Piala Dunia tersebut adalah kejohanan terakhir beliau sebelum bersara daripada dunia bola sepak. Bintang Perancis itu adalah sinar harapan buat pasukannya kerana peranannya dalam memastikan mereka sampai ke peringkat akhir. 

Ketika perlawanan akhir, di mana kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1 pada masa tambahan, Marco Materazzi dilihat telah mengatakan sesuatu kepada Zidane. Bekas pemain tengah Juventus itu lantas berpusing dan mendekati Materazzi sebelum menanduk bahagian dada pemain pertahanan Itali itu.

Materazzi jatuh kesakitan. Pengadil lantas mengenakan kad merah kepada Zidane atas tindakan di luar jangkaan itu. Kad merah tersebut sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada fokus pasukan Perancis. Paling menyedihkan, Itali berjaya menewaskan Perancis dalam penalti, lantas mereka dijulang sebagai juara Piala Dunia 2006. 

2. David Beckham - England vs Argentina (Jun 1998)

Walaupun dimulakan sebagai pemain gantian dalam Piala Dunia 1998, persembahan menarik dan prestasi yang memberansangkan yang dipamerkan oleh Beckham berjaya meyakinkan pengurus England, Glen Hoddle untuk mengekalkan beliau sebagai salah seorang pemain dalam kesebelasan utama hingga ke perlawanan 16 terakhir. 

Ketika masuk separuh masa kedua, Beckham mula hilang sabar dengan tindakan Diego Simeone yang menjatuhkannya. Simeone berada di atas Beckham, dan sengaja bangun dengan lambat. Masih berasa geram, pemain tengah England itu membalas dengan tendangan ke arah betis Simeone. Walaupun tidak cedera, Simeone berpura-pura jatuh kesakitan. 

Kad merah buat Beckham, England tewas kepada Argentina dalam sepakan penalti. Bakat muda England itu dipersalahkan oleh kebanyakan penyokong England sebagai punca kekalahan mereka pada peringkat tersebut. 

3. Gianluigi Buffon - Juventus vs Real Madrid (April 2018)

Ketika peringkat suku akhir dalam Liga Juara-Juara Eropah (UEFA Champions League) musim lalu, Juventus telah diusir keluar daripada kejohanan tersebut gara-gara keputusan pengadil memberi sepakan penalti kepada pasukan lawan pada minit-minit akhir perlawanan. 

Berang dengan keputusan pengadil, Buffon membimbing pasukannya membantah tindakan tersebut, menjerit ke muka pengadil Michael Oliver bersama dengan pemain-pemain Juventus yang lain mengerumuninya. Pengadil tersebut tanpa teragak-agak mengeluarkan kad merah sebelum melayangkannya terhadap penjaga gol Itali yang sedang marah itu. 

Ronaldo dengan mudah menjaringkan sepakan penalti tersebut, mengakhirkan perjalanan Juventus dalam kejohanan tersebut.  

4. Eric Cantona - Manchester United vs Crystal Palace (Januari 1995)

Dalam sebuah perlawanan biasa Liga Perdana Inggeris, Cantona telah melahirkan kegilaan dan kemarahan yang pasti tidak akan dilupakan dalam sejarah bola sepak liga tersebut. Masih tidak jelas apa yang dikatakan oleh penyokong Palace, Matthew Simmons kepada pemain kebangsaan Perancis itu, namun ianya nyata membangkitkan kemarahan beliau. 

Berang dengan penderaan lisan itu, Cantona membalas dengan tendangan 'kung fu' dan beberapa tumbukan ke arah dada Matthew. Tindakan beliau itu menyebabkan kedua-dua Manchester United dan Football Association (FA) menggantungnya selama setahun daripada bola sepak. Beliau juga turut didapati bersalah oleh mahkamah kerana menyerang, dan dijatuhkan hukuman penjara selama 2 minggu, yang kemudiannya dikurangkan kepada 120 jam servis komuniti. 

5. Steven Gerrard - Liverpool vs Manchester United (Mac 2015)

Pertembungan antara Liverpool dan Manchester United kerap kali dicemari dengan insiden yang tidak enak, dan pertembungan antara keduanya pada Mac 2015 turut tidak terkecuali. Hanya selepas 38 saat masuk sebagai pemain gantian, kapten the Reds ini dengan sengaja telah mengasari Ander Herrera dengan memijak kaki pemain Sepanyol tersebut. Kad merah segera dilayangkan terhadap Gerrard, dan perlawanan tersebut berakhir dengan kekalahan Liverpool dengan jaringan 2-1. 

Sumber & Bacaan Tambahan:

  1. express.co.uk
  2. sportskeeda.com
  3. howtheyplay.com

tags : , , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)