Oleh pada 16 Dec 2019 kategori

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

    

Seramai enam finalis diumumkan mara ke Konsert Akhir Gegar Vaganza 2019 (GV2019) yang dijadualkan berlangsung pada Ahad depan.

Mereka ialah Naqiu Boboy, Sham Visa, Jatt, Nurfatima, Hady Mirza dan kumpulan One Nation Emcees.

Keputusan didedahkan pada penghujung program separuh akhir di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, sebentar tadi.

Nasib bagaimanapun tidak berpihak kepada Wann dan Noorshila Amin yang menjadi peserta tersingkir untuk episod kali ini.

Wann mempersembahkan lagu Ku Gembira Di Sampingmu nyanyian asal Khatijah Ibrahim dan Dua Insan (M.Nasir & Yunizar Hussein) duet bersama Zarul Umbrella.

Manakala, Noorshila pula mempertaruhkan Dialah Di Hati dipopularkan Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Kerna Terpaksa (Francissca Peter) dengan penampilan penyanyi undangan, Ifa Raziah.

Persembahan mereka gagal menambat hati dua juri tetap, Datuk Ramli MS dan Hetty Koes Endang, bersama komposer Datuk M.Nasir selaku juri undangan.

Sementara itu, minggu kesepuluh itu menyaksikan Hady Mirza mengungguli persaingan dengan markah 82% menerusi dendangan lagu All My Life nyanyian asal K-Ci & JoJo dan Takdir Tercipta (Hafiz Suip & Adira) kolaborasi bersama Dia Fadila.

Berikut kedudukan dan markah diberikan berdasarkan penilaian juri profesional.

    

gegar vaganza 2019 337

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

    

CARTA KEDUDUKAN DAN MARKAH PESERTA KONSERT GEGAR VAGANZA 6 (2019) MINGGU 10 (SEPARUH AKHIR)

  1. Hady Mirza (All My Life, Takdir Tercipta) - 82%
  2. Naqiu Boboy (Always, Hanya NamaMu) - 77%
  3. One Nation Emcees (Drama, Seribu Tahun) - 71%
  4. Nurfatima (Kau Pergi Tanpa Pesan, Kali Pertama) - 67%
  5. Jatt (Kumiliki Bayangmu, Zakia) - 61%
  6. Sham Visa (Permata - Untuk Isteriku, Usang) - 60%
  7. Wann (Ku Gembira Di Sampingmu, Dua Insan) - 57%
  8. Noorshila Amin (Dialah Di Hati, Kerna Terpaksa) - 52%

    

Sementara itu, Hady Mirza dianugerahkan 'Artis Cili Padi Paling Power', manakala One Nation Emcees menerima gelaran Bintang Cuckoo Paling Gempak untuk minggu kesembilan.

Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse, GV2019 bersiaran secara langsung setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria.

   

Kredit video: [LIVE] Gegar Vaganza 2019 Live + (Minggu 10) Separuh Akhir

    




Hakcipta iluminasi.com (2017)