kadang eksyen je lebih bergambar dengan kereta besar

Forbes setiap tahun mengeluarkan senarai terbaru hartawan terkaya di Malaysia. Seperti biasa, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary adalah satu-satunya anak Melayu yang tersenarai dalam Top 10 paling kaya. Walaupun dalam keadaan ekonomi yang dikatakan sedang gawat, nampak gayanya semakin bertambah bilangan orang Melayu yang turut disenaraikan sebagai 40 hartawan terkaya di Malaysia bermula tahun 2016.

40 hartawan terkaya malaysia forbes 2016 dipublish pada 2017 454

Setakat ini dalam senarai tersebut masih belum ada lagi usahawan yang sukakan glamor dan publisiti. Kadangkala rasa agak pelik dengan perangai segelintir masyarakat yang begitu taksub suka memperagakan kekayaan mereka. Setiap hari kemaskini akaun Instagram untuk muat naik gambar "check in" di mana. Kemas kini Facebook dan muat naik gambar rumah bernilai juta-juta dan posing maut di hadapan 10 buah kereta mewah. Taja sana sini sambil keluarkan muka sendiri dalam TV, radio, akhbar dan majalah.

Anda pernah nampak mana-mana orang terkaya di Malaysia ini update akaun media sosial mereka sambil mempamerkan kemewahan? Kalau ada terjumpa gambar pun, mungkin wartawan atau orang lain yang tangkap secara curi-curi. Jarang sekali mereka saja-saja nak selfie dengan gambar stereng kereta sambil pegang kopi Starbucks. Malah, Tan Sri Vincent Tan sendiri pun tidak pernah selfie dengan kopi yang beliau jual.

Cubalah buat carian google tentang Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary. Apa hasil carian? Gambar isteri beliau pun susah dijumpai. Kalau ada pun, nampak pakai baju biasa-biasa saja, tidak mengenakan tudung lilit-lilit eksklusif bertatahkan Swarovski ataupun baju mahal jenama dari Eropah.

tengoklah baju pasangan ini biasa biasa je walaupun mereka pasangan melayu terkaya dalam malaysia

Anak perempuan Tan Sri Robert Kuok pula, Yen Kuok, juga pernah melaporkan dalam satu temuramah dengan media Hong Kong bahawa dia tidak pernah dimanjakan oleh bapanya walaupun bapanya merupakan hartawan paling kaya di Malaysia. Sepanjang zaman persekolahannya, Yen hanya diberikan wang saku yang cukup-cukup makan sahaja. Rakan-rakannya yang lain pula mendapat wang saku lebih banyak daripada Yen.

Baju branded pertama yang Yen miliki buat pertama kali pula adalah semasa beliau berusia 17 tahun. Itu pun abangnya yang sudah bekerja berikan sebagai hadiah, bukan Tan Sri yang belikan buat Yen.

mark zuckerberg dan isterinya berjalan kaki pergi beli barang lihatlah apa yang mereka pakai rilek je

Jika anda perhatikan Steve Jobs atau Mark Zuckerberg sekalipun, mereka sering mengenakan pakaian yang sama sahaja. Mark Zuckerberg dengan kemeja-T warna kelabunya. Steve Jobs pula sering mengenakan baju turtleneck hitam, fesyen yang serupa sepanjang hayatnya apabila berdepan dengan orang ramai. Tidak ada keperluan bagi mereka untuk bermegah-megah dengan hashtag #ootd setiap hari.

steve jobs dari muda sampai tua pakai baju sama je

Walau bagaimanapun, ada sesetengah orang berada merasakan bahawa duit dan kekayaan membolehkan mereka disanjung, dikenali dan dihormati. Tidak dapat tempat duduk untuk menonton acara anugerah pun sampai mengamuk-ngamuk buat video tular. Tidak dapat berjalan ke luar negara pun sentap, update sana sini canang satu dunia yang dialah pembayar cukai juta-juta. Kemudian ada juga yang canang dirinya kaya, poket tebal tapi masih boleh makan sambil duduk bersila di tengah kawasan lapangan terbang. Apakah tujuannya? Sama-sama kita renungkan.

Ya, memang mereka punya wang. Ada duit berkepuk. Aset berjuta. Namun, perwatakan mereka kadang-kadang menimbulkan tanda tanya. Kata orang, '"respect is earned. It cannot be given, demanded or bought." Wang ringgit tidak boleh membeli rasa hormat daripada sesiapa. Tapi tidak tahulah jika zaman sudah berubah.

ubatkanlah penyakit hati yang membelenggu sekiranya pernah wujud sifat riak ujub dan takbur dalam diri

Menurut Imam Habib Abdullah bin Alwi Al-Haddad, "Riak bermaksud menuntut kedudukan atau minta dihormati orang ramai dengan amalan yang ditujukan untuk akhirat." Riak ini pula ada pelbagai jenis. Tahukah anda bahawa sekecil-kecil riak sudah boleh membawa syirik kepada kita?

Itu baru menyentuh tentang riak. Belum topik takbur dan ujub lagi. Rasanya kita semua sudah fasih kerana belajar kesemua sifat yang perlu dielakkan ini sejak dari bangku sekolah lagi. Tidak perlu dihuraikan panjang lebar di sini.

Perangai-perangai tidak baik seperti inilah yang perlu dihindari. Ia menunjukkan ada masalah dengan hati kita. Penyakit riak, ujub dan takbur sememangnya sering berlaku tanpa disedari. Apatah lagi jika ada ramai followers yang tumpang sekaki tolong back up. Boleh makin besar kepala jadinya.

Maka, marilah kita sama-sama bermuhasabah dan perbetulkan diri. Contohilah sifat semua hartawan paling kaya ini (yang baik-baik) dan elakkan perangai yang boleh memakan diri.


tags : , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)