Oleh pada 12 Feb 2018 kategori

orang terkaya tidak disenarai oleh forbes

Tahukah anda, senarai jutawan yang dikeluarkan Forbes setiap tahun sebenarnya tidak benar-benar menyenaraikan kesemua hartawan paling kaya di dunia? Vladimir Putin, misalnya, mungkin sebenarnya merupakan orang paling kaya di dunia, namun fakta ini amat sukar untuk dipastikan.

Jika anda ditanya soalan "Siapa orang terkaya dalam dunia?", kemungkinan besar anda akan menjawab Bill Gates ataupun Warren Buffet. Ya, jawapan itu betul jika dilihat dari sumber yang tradisional. Senarai yang dibuat oleh Forbes sememangnya merupakan senarai sahih untuk mengetahui siapakah golongan yang memiliki paling banyak harta di dunia melalui kaedah mereka tersendiri. Akan tetapi, adakah ia benar-benar menyenaraikan kesemua hartawan terkaya?

BESARKAN TEKS     A-  A+

orang kaya yang tidak disenaraikan forbes 301

Ada sesetengah orang kaya hanya mahu "kaya dalam diam". Ini disebabkan harta yang banyak akan membuatkan lebih banyak mata yang memerhati, tetapi mereka hanya mahu hidup biasa seperti orang lain. Ada orang kaya lain pula memperolehi pendapatan daripada sumber haram yang tidak diiktiraf oleh Forbes misalnya raja dadah, ketua samseng atau diktator.

Kita sedia maklum Vladimir Putin mungkin salah seorang manusia kaya yang tidak dimasukkan ke dalam senarai Forbes. Ada pihak yang mendakwa kekayaannya dianggarkan sekitar $70 bilion atau mungkin lebih dari itu. Walau bagaimanapun, kita tidak pernah melihat Putin membincangkan kekayaannya secara terbuka seperti hartawan lain. Begitu juga dengan beberapa lagi hartawan dan keluarga kaya berikut:

10. Zine al Abidine Ben Ali: $17 bilion

Zine al Abidine Ben Ali yang kini berusia 81 tahun merupakan presiden Tunisia dari tahun 1987 sehingga 2011. Bekas Presiden ini dilaporkan memiliki harta dan aset bernilai $17 bilion yang disembunyikan.

zine al abidine ben ali tunisiai orang kaya yang tidak disenaraikan forbes

Seperti diktator-diktator yang lain, Zine al Abidine telah mencuri dan merampas harta berbilion dolar dari Tunisia untuk kepentingan sendiri. Walau bagaimanapun, sebahagian besar jumlah itu telahpun selamat dikembalikan kepada rakyat selepas berlaku revolusi Arab sehingga pemerintah kuku besi ini berjaya digulingkan.

9. Hassanal Bolkiah: $20 bilion

Kita semua sedar dan sudahpun tahu yang ketua negara jiran kita ini sesungguhnya seorang manusia yang sangat kaya, bukan? Tapi tahukah anda, Sultan Hassanal Bolkiah memiliki kediaman peribadi yang terbesar dalam dunia?

sultan brunei orang kaya yang tidak disenaraikan forbes

Kita di sini kebiasaannya sudahpun berpuas hati jika mampu menyewa sebuah apartment dengan dua atau tiga buah bilik. Namun Sultan Brunei yang hebat ini mempunyai 1,800 buah bilik secara keseluruhan di dalam rumahnya.

Asetnya yang bernilai $20 bilion itu datang daripada industri minyak dan gas. Lelaki berkarisma tinggi ini juga mempunyai lebih 600 buah kereta Rolls Royce. Punyalah kaya!

8. Bhumibol Adulyadej: $30 bilion

Raja Thailand ini baru sahaja mangkat pada tahun 2016 yang lalu namun kekayaan bernilai $30 bilion miliknya terus kekal dan bercambah.

raja bhumibol thailand orang kaya yang tidak disenaraikan forbes

Ramai yang tidak sedar bahawa raja yang memegang takhta selama 70 tahun ini merupakan seorang yang sangat kaya. Sepanjang pemerintahannya, Raja Bhumibol banyak membuat pelaburan dalam bidang hartanah. Pelaburan Raja Bhumibol akan sentiasa meningkat nilainya kerana ibu negara itu semakin menjadi tumpuan dan bertukar menjadi hab antarabangsa utama di Asia Tenggara lewat kebelakangan ini.

7. Ali Abdullah Saleh: antara $30 bilion hingga $62 bilion

Ali Abdullah Saleh ialah bekas Presiden Yaman yang mula berkuasa selepas pemerintah terdahulu dibunuh. Ali memegang jawatan itu selama lebih tiga dekad.

ali abdullah saleh orang kaya yang tidak disenaraikan forbes

Apa yang menarik tentang bekas Presiden ini adalah dia tidak pernah menamatkan sekolah rendah. Ali menyertai pasukan tentera pada usia muda sebelum menjadi seorang kolonel. Seperti pemimpin-pemimpin Timur Tengah yang lain, pemerintahannya berjaya ditumpaskan ketika Revolusi Arab pada tahun 2011. Namun, sepanjang zaman pucuk pimpinannya, dia sudahpun mengumpulkan harta berbilion dolar untuk kepentingan sendiri.

6. Hosni Mubarak: $70 bilion

Ini lagi seorang pemimpin Timur Tengah yang digulingkan semasa revolusi 'Arab Spring' pada tahun 2011. Hosni Mobarak merupakan Presiden Mesir yang keempat dari tahun 1981 hingga 2011.

hosni mubarak orang kaya yang tidak disenaraikan forbes

Sebelum berkecimpung dalam dunia politik, Hosni Mobarak bertugas sebagai seorang pegawai tentera udara. Kini, Hosni yang telah berusia 89 tahun hidup dengan harta terkumpul sebanyak $70 bilion yang diperolehi semasa takuk pemerintahannya. 

Seorang pendakwa raya Mesir pernah menulis dan mendakwa bahawa Hosni Mubarak dan keluarganya mempunyai harta dan aset yang tidak terjangka oleh sesiapa. Menurut pendakwa raya itu, harta Hosni sebenarnya melebihi $700 bilion. Namun, nilai itu tidak dapat dipastikan kerana hanya Hosni dan keluarganya saja yang tahu.

5. Bashar al-Assad: $122 bilion

Siapa yang tidak mengenali nama diktator ini. Nama Bashar al-Assad sering disebut-sebut sepanjang krisis dan konflik yang melanda Syria yang berlangsung sehingga ke hari ini. Keluarga Assad sudah lama memerintah Syria dari awal 70-an lagi manakala Bashar pula mula mengambil alih kerusi Presiden selepas ayahnya meninggal dunia pada tahun 2000.

bashar assad orang kaya yang tidak disenaraikan forbes bersama isteri asma assad

Walaupun anggaran rasmi menyatakan kekayaannya bernilai sekitar $1.5 bilion, namun disyaki nilai sebenar adalah jauh lebih tinggi. Seperti Hosni Mubarak, dikhabarkan aset dan harta Assad disembunyikan di merata-rata tempat seluruh dunia dan secara keseluruhannya bernilai lebih dari $120 bilion.

4. Muammar Gadaffi: $200 bilion

Sebelum digulingkan dan dibunuh, Muammar Gadaffi dilaporkan sebagai salah seorang manusia terkaya sepanjang zaman.

muammar gadaffi gold outfit orang kaya yang tidak disenaraikan forbes

Bekas pemimpin Libya ini dilucutkan mahkotanya ketika revolusi Arab pada tahun 2011. Namun, situasinya agak berbeza kerana dia dilaporkan mempunyai harta kekayaan yang luar biasa sekitar $200 bilion. Kesemua harta ini disembunyikan di sebalik akaun bank rahsia, hartanah dan pelaburan korporat di serata dunia.

3. Vladimir Putin: $200 bilion

Secara tidak rasmi, Vladimir Putin merupakan lelaki terkaya di dunia dengan harta dua kali ganda lebih banyak daripada Bill Gates.

vladimir putin orang kaya yang tidak disenaraikan forbes

Donald Trump juga merupakan seorang ahli perniagaan yang sangat kaya. Namun, kekayaan itu tidak dapat menandingi Putin yang telah memegang jawatan Presiden dan Perdana Menteri Rusia sejak tahun 1999 lagi. Sepanjang tempoh ini, Putin telah mengutip kekayaan ratusan bilion dolar dari negaranya dan menyimpan dalam akaun-akaun rahsia di seluruh dunia. Satu testimoni daripada seorang ahli kewangan iaitu Bill Browder baru-baru ini menganggarkan harta bersih Putin adalah sekitar $200 bilion.

2. Keluarga Rothschild: antara $350 bilion hingga $2 trilion

keluarga rothschild orang kaya yang tidak disenaraikan forbes

Sesetengah ahli keluarga Rothschild telahpun disenaraikan oleh Forbes sebagai hartawan paling kaya di dunia tetapi jika kekayaan setiap ahli keluarga ini dikumpulkan, dianggarkan mereka mempunyai harta melebihi $400 bilion.

1. Keluarga diraja Saudi: $1.4 trilion

Keluarga diraja Arab Saudi dianggarkan mempunyai nilai kekayaan sekitar $1.4 trilion. Harta menggunung tinggi ini diperolehi melalui industri minyak seperti yang sudah kita sedia maklum. Melalui industri yang sama, negara itu juga mampu bersaing dengan negara besar lain di seluruh dunia selain menjadi pengaruh besar dalam bidang politik.

keluarga diraja saudi orang kaya yang tidak disenaraikan forbes

Salman Abdulaziz al-Saud yang kini merupakan pemimpin Arab Saudi sahaja sudahpun mempunyai aset melebihi $1 bilion. Jika dicampurkan dengan nilai harta ahli keluarga yang lain? Mungkin tujuh keturunan pun tak akan habis.




Hakcipta iluminasi.com (2017)