Forbes baru-baru ini telah mengeluarkan senarai 30 Under 30 Asia 2020, dan daripada sejumlah 300 orang individu dan usahawan yang tersenarai, 14 daripadanya adalah dari Malaysia. Mereka ini datang daripada pelbagai latar belakang profesional yang berbeza, dengan sebahagian besar dari sektor kewangan dan modal teroka (venture capital). 

1. Arif Tukiman, CEO RunCloud

BESARKAN TEKS     A-  A+

arif tukiman pengasas runcloud

Arif berusia 28 tahun dan berasal dari Johor Bahru. Beliau adalah pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif RunCloud, sebuah syarikat panel kawalan pusat yang membantu menyebarkan, mengkonfigurasi, mengurus dan memantau cloud servers.

Sejak pelancarannya pada tahun 2016, startup ini menguruskan lebih daripada 220,000 aplikasi sesawang daripada 100 negara dari seluruh dunia, termasuklah Amerika Syarikat, United Kingdom dan India. RunCloud juga telah berjaya memenangi Startup World Cup Malaysia 2018.

Beliau disenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2020 di bawah kategori Perniagaan Teknologi.

2. Yi Hern Change, Pengasas JomRun

yi hern chang pengasas jomrun 214

Yi Hern meninggalkan University of Oxford pada pertengahan pengajiannya dalam sarjana kejuruteraan bagi memberi sepenuh perhatian kepada startup-nya JomRun, yang mula berkembang sebagai sebuah portal tiket terbesar bagi acara sukan di Malaysia. 

Sejak pelancarannya pada tahun 2017, Yi Hern yang berusia 23 tahun berkongsi bahawa JomRun mempunyai lebih daripada sejuta orang pengguna, dan menarik sekitar 150,000 orang ke acara yang diiklankan di portalnya, secara purata dalam tempoh sebulan.

JomRun juga telah bekerjasama dengan lebih 1,000 pengendali acara sukan, dan kini semakin berkembang ke serantau Indonesia, Kemboja dan Singapura.

Beliau disenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2020 di bawah kategori Teknologi Pengguna.

3. Zac Liew, CEO dan Pengasas Bersama Curlec

zac liew pengasas curlec

Zac bersama mengasaskan Curlec, sebuah startup teknologi kewangan (fintech), bagi membantu Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang kerap kali terlepas pandang oleh bank untuk mengutip bayaran bulanan. Curlec menyediakan perkhidmatan yang automatik, menggantikan kaedah manual seperti kutipan tunai, cek dan kad kredit. 

Sejak pelancarannya pada tahun 2017, Curlec telah memproses sekitar $USD50 juta transaksi bersama lebih 300 perniagaan, termasuklah PKS, syarikat-syarikat besar dan lain-lain syarikat fintech seperti Funding Societies dan StashAway, melalui platformnya. Sebelum memulakan Curlec, Zac merupakan seorang penganalisa dia Barclays Bank di London.

Beliau disenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2020 di bawah kategori Kewangan dan Modal Teroka (VC).

4. Joshua Smith, CTO MyPay

joshua smith pengasas mypay

Pada usia 29 tahun, Joshua adalah pengasas bersama dan Ketua Pegawai Teknologi (CTO) MyPay, sebuah platform bayaran dalam talian kepada agensi kerajaan. Sejak dilancarkan pada Ogos 2019, pengguna boleh membayar denda, jaminan dan pinjaman pelajaran kepada 3 daripada 10 agensi kerajaan di Malaysia. 

Sehingga hari ini, MyPay mempunyai lebih daripada 100,000 pengguna, yang mana 6000 daripada adah pengguna aktif bulanan. Sebelum MyPay, Joshua adalah seorang ketua analitik di Uber, perunding teknologi di Accenture, dan penganalisa di Citi.

Beliau disenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2020 di bawah kategori Kewangan dan Modal Teroka (VC).

5. Wan Hasifi Amin Wan Zaidon, Pengasas Bersama Baituljannah

wan hasifi pengasas baituljannah

Pada asalnya merupakan seorang doktor perubatan yang terlatih, Wan Hasifi Amin menukar arah kerjaya apabila beliau bersama mengasaskan Baituljannah, sebuah laman sesawang mencari jodoh buat mereka yang beragama Islam, dengan matlamat untuk membantu Muslim yang bujang mencari pasangan melalui cara yang halal, selamat dan mudah.

Juga merupakan Pengarah Urusan, beliau berkongsi bahawa lamannya itu mempunyai sekitar 500,000 pengguna berdaftar, dan berjaya membantu sekitar 25,000 Muslim di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura mencari pasangan sejak pelancarannya pada tahun 2017.

Pada Disember 2019, mereka melancarkan sebuah Baituljannah dalam bentuk aplikasi Android, dan dijangka melancarkan versi iOS pada bulan ini, April 2020. 

Beliau disenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2020 di bawah kategori Teknologi Pengguna.

6. Jason Ooi, Pengasas Bersama Agrain

jason ooi pengasas agrain hale

Jason bersama mengasaskan Agrain, sebuah syarikat yang menghidangkan makanan sihat. Dengan Agrain, pelanggan boleh 'membina' makanan mereka daripada resipi Barat dengan twist citarasa Asia, dengan pilihan karbohidrat, protein, suplemen, topping dan dressing yang luas

Buat masa ini, jenama ini mempunyai 5 outlet di Malaysia, dan Jason mempunyai rancangan untuk memperluaskan operasinya kepada 10 outlet pada tahun ini.

Beliau disenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2020 di bawah kategori Seni.

7. Anja Chong, Peluncur Ais Laju Trek Pendek

anja chong peluncur ais trek laju

Berusia 26 tahun, Anja sering digelar sebagai 'Ratu Ais' Malaysia selepas memenangi 4 buah medal dalam luncur ais laju di Sukan Asia Tenggara pada tahun 2017 dan 2019.

Beliau juga sebenarnya merupakan seorang graduan undang-undang dari University of Nottingham dan sangat bersemangat dalam memperkasakan wanita dan mereka yang kurang bernasib baik. 

Dengan semangat ini, beliau telah mengasaskan 'Skate to Dream', sebuah program bagi melatih dan mencari dana buat atlet OKU untuk bertanding di kejohanan Olympic Khas. 

Beliau disenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2020 di bawah kategori Hiburan dan Sukan.

8. Nor 'Phoenix' Diana, Ahli Gusti Profesional di Malaysia Pro Wrestling

nor phoenix diana ahli gusti wanita malaysia

Hanya baru berusia 20 tahun, beliau sudah terkenal sebagai ahli gusti wanita profesional pertama yang berhijab. Dilahirkan sebagai Nor DIana, beliau menggelarkan dirinya sebagai Phoenix di dalam gelanggang.

Beliau menyertai Malaysia Pro Wrestling (MyPW) Wrestlecon Championship pada tahun 2015, dan dengan sokongan keluarga, beliau bertanding dalam perlawanan pertamanya beberapa bulan kemudian. 

Pada Julai 2019, beliau mencipta sejarah apabila berjaya menjadi pemenang wanita pertama dalam MyPW. Kemenangan ini bukan sahaja berjaya menaikkan namanya dalam sejarah gusti, malah menarik perhatian dunia terhadap dirinya dan negara. 

Dengan kejayaan tersebut, beliau mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan berlatih di London pada November tahun lalu bersama UK's Pro Wrestling: EVE, yang merupakan sebuah syarikat gusti wanita terkenal di United Kingdom.

Beliau disenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2020 di bawah kategori Hiburan dan Sukan.

9. Adrian Hia, Direktor Pelaburan di Kairous Capital

adrian hia kairous capital

Pada usia 27 tahun, Adrian adalah seorang direktor pelaburan di Kairous Capital, sebuah firma yang melabur di China dan Asia Tenggara dengan aset sekitar $USD50 juta di bawah pengurusannya. 

Dilatih sebagai peguam, beliau menyertai Kairous Capital pada tahun 2015 sebagai antara salah seorang pekerja terawalnya. Antara pelaburan penting termasuklah aplikasi bayaran tempat letak kenderaan, JomParking yang mana beliau telah membantu mengembangkan operasi mereka sehingga ke Sri Lanka, Indonesia, Thailand dan Timur Tengah. 

Adrian juga menerajui pelaburan Kairous Capital dalam SkinRun, sebuah startup teknologi medikal daripada China, dan dengan bantuan beliau, syarikat ini berjaya memperoleh keuntungan hanya dalam masa 6 bulan sahaja, satu pencapaian yang hebat bagi syarikat muda. 

Beliau disenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2020 di bawah kategori Kewangan dan Modal Teroka (VC).

10. Ashiwin Vadiveloo, Felo Penyelidik Paska Doktoral di Murdoch University, Australia

ashiwin vadiveloo murdoch university australia

Berusia 29 tahun, Ashiwin adalah seorang felo penyelidik di Murdoch University, Australia. Hasil kerjanya difokuskan kepada mikroalgae dan bagaimana spesis uniselular ini berpotensi untuk digunakan dalam rawatan air kumbahan dan pengeluaran tenaga bio yang mampan.

Beliau merupakan seorang pemegang biasiswa BP Advancing Energy Scholarship pada tahun 2019, dan pernah memenangi BASF Asia Pacific PhD Challenge Competition pada tahun 2015 dengan sebuah idea inovatif yang menggunakan mikroalgae sebagai sumber alternatif kepada penghasilan bahan api. 

Beliau disenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2020 di bawah kategori Penjagaan Kesihatan dan Sains. 

11. Jevin Singh dan Mohamed Afzal, Pengasas Bersama RAGE Coffee

jevin singh dan mohamed afzal pengasas rage coffee

Selepas Jevin tercicir daripada kolej kerana masalah kewangan, beliau mula memandu Uber bagi menyara diri. Lama-kelamaan, beliau mula berkenalan dengan para pemandu Uber yang lain melalui segelas kopi. 

Mereka berkongsi sentimen bahawa untuk menemui kopi berkualiti dengan harga berpatutan sangat susah, dan hal ini memberi inspirasi kepada Jevin untuk mengasaskan RAGE Coffee bersama Mohamed Afzal.

Kini, mereka mempunyai 12 outlet di seluruh Malaysia, di mana pelanggan boleh melakukan pra-pesanan kopi untuk diambil, atau permintaan penghantaran melalui aplikasi RAGE Coffee.

Mereka disenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2020 di bawah kategori Runcit & E-dagang.

12. Lennise Ng dan Aizat Rahim, Pengasas Bersama Dropee

lennise ng dan aizat rahim pengasas dropee

Dropee telah diasaskan oleh Lennise Ng dan Aizat Rahim pada tahun 2016. Ianya adalah merupakan sebuah pasaran dalam talian antara perniagaan ke perniagaan (B2B) yang menghubungkan peruncit dengan pembekal, di samping menyelaraskan proses pesanan dan bayaran. 

Pada tahun 2019, mereka berjaya mengumpul sebanyak $USD341,213 pelaburan awal oleh Vynn Capital. Buat masa ini, terdapat lebih 1,000 pembekal di platform Dropee, termasuklah syarikat besar seperti Unilever dan Nestle. Mereka kini berkhidmat untuk lebih daripada 3,000 peruncit tempatan.

Mereka disenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2020 di bawah kategori Runcit & E-dagang.

Rujukan:

  1. forbes.com
  2. theedgemarkets.com
  3. vulcanpost.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)