Ryan hanyalah seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun yang tidak jauh berbeza daripada rakan-rakan seusianya. Dia suka bermain dengan kereta dan kereta api mainan, ketawa menonton rancangan kartun di saluran Disney dan gemar membina bangunan menggunakan Lego.
Beza Ryan dan kanak-kanak lain adalah - apabila dia bermain, dia hanya bermain di hadapan kamera. Rakaman video Ryan bermain itu pula dimuat naik ke saluran YouTubenya, "Ryan ToysReview" yang mempunyai jutaan peminat dan majoritinya adalah kanak-kanak yang masih di tadika atau bersekolah rendah.
BESARKAN TEKS A- A+
Video-video pendek dan mudah yang dimuat naik ini telah menjadikan Ryan salah seorang influencer dalam talian yang paling popular di dunia. Sejak mula melancarkan saluran YouTubenya pada bulan Mac 2015 sehingga kini, dia telah berjaya ditonton hampir 26 bilion kali dan mempunyai lebih 17.3 juta followers. Malah, Rekod Dunia Guinness juga mengiktiraf kepopularitian Ryan yang telah berjaya mencatat rekod tontonan YouTube paling tinggi.
Bagi Ryan, ini bermakna dia akan sentiasa mempunyai banyak barang mainan yang boleh dimain tanpa henti. Namun, ia juga bermakna yang dia akan sentiasa menjana pendapatan tanpa henti melalui saluran tersebut sehinggakan dia berjaya mengumpul anggaran USD22 juta (RM91 juta) dalam masa 12 bulan sahaja sehingga tarikh 1 Jun 2018.
Budak paling kaya di YouTube
Dalam satu temu ramah bersama NBC, dia menjelaskan yang sikapnya yang suka menghiburkan dan lucu itu telah berjaya melonjakkan popularitinya sekali gus menjadikan dia seorang jutawan kecil.
Ryan juga menjadi salah seorang pelopor trend aksi unboxing dia mana dia akan membuka bungkusan atau balutan produk seperti mainan, produk teknologi dan pelbagai barangan lain sambil menerangkan serta membuat ulasan tentang ciri-ciri istimewa produk tersebut. Dalam videonya yang paling popular, Ryan membuka sebiji telur mainan gergasi dan teruja melihat mainan daripada karakter animasi "Cars" dan "Paw Patrol."
Hampir 95% wang yang diterima Ryan diperolehi melalui pengiklanan pre-roll iaitu tayangan iklan sebelum video mula dimainkan. Apabila bilangan tontonan meningkat naik di kedua-dua saluran YouTubenya iaitu Ryan ToysReview dan juga Ryan's Family Review, wang pendapatan melalui pengiklanan ini juga akan meningkat secara automatik. Dengan bilangan tontonan yang lebih daripada mana-mana orang, maka, tidak hairanlah dia berjaya menjadi YouTuber dengan bayaran tertinggi bagi tahun 2018.
Baki 5% pendapatan iaitu sebanyak USD1 juta (RM4.14 juta) pula diperolehi melalui kandungan berbayar. Nilai ini adalah jauh lebih rendah berbanding YouTuber lain dengan kandungan yang lebih kurang sama. Ia bukan disebabkan Ryan dan keluarganya terlalu memilih penaja, namun ini mungkin disebabkan saiz demografinya yang sangat kecil.
Kenapa kanak-kanak seluruh dunia suka sangat tengok Ryan?
Walaupun populariti Ryan tidak dapat disangkal, antara salah satu perkara yang membingungkan ramai pihak ialah mengapa kanak-kanak zaman kini tidak begitu minat bermain sendiri tetapi lebih gemar menonton video kanak-kanak lain bermain? Kehidupan kanak-kanak di seluruh dunia hari ini banyak yang 'dijalani' melalui kehidupan Ryan.
Menurut Chas Lacaillade yang merupakan pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif Bottle Rocket Management, video membuka permainan atau hadiah itu seolah-olah menjadi proksi kepada pengalaman seronok membuka sesuatu yang anda terlalu inginkan, lebih-lebih lagi jika barangan itu sukar dimiliki. Jadi, 'mengalaminya' melalui orang lain pun sudah dikira cukup baik.
Bagi generasi terdahulu yang sentiasa bangun awal pagi untuk menonton kartun setiap hujung minggu, ia mungkin kedengaran ganjil. Walau bagaimanapun, kanak-kanak hari ini mengenali YouTube sebagaimana generasi Milennial mengenali VCR. Dilaporkan aplikasi YouTube Kids mempunyai lebih 11 juta pengguna aktif setiap minggu. Ini bermakna ramai kanak-kanak yang sentiasa menantikan video kejutan yang bakal dimuat naik oleh Ryan.
Membina mini empayar di belakang tabir
Apabila tidak berada di hadapan kamera, Ryan akan mengambil kesempatan menyempurnakan pelbagai tugasan lain dalam empayar mininya. Selepas menandatangani perjanjian dengan studio hiburan kanak-kanak Pocket.watch tahun lalu, pelbagai tawaran mula menghujani keluarga mereka.
Pada bulan Oktober 2018, satu pengumuman dibuat mengatakan segala kandungan video dari saluran YouTube Ryan akan diperbaharui dan diedarkan melalui Hulu serta Amazon.
Dua bulan sebelum itu, dia telah melancarkan Ryan's World, iaitu koleksi permainan dan pakaian yang dijual secara eksklusif di Walmart. Jenama itu menawarkan pelbagai jenis 'slime' dan plastesin, model figura aksi Ryan, kemeja-T, kereta mainan dan banyak lagi. Sudah pasti, ia banyak dipromosikan melalui video-videonya. Ryan yang memegang jawatan pengarah kreatif menggambarkan keterujaannya melihat wajah sendiri terpampang di setiap cawangan Walmart. Menurut Ryan, ia adalah sesuatu yang sangat cool.
Kedua-dua perjanjian ini tidak memberikan kesan kepada pendapatan Ryan bagi tahun 2018, namun Forbes menjangkakan ia akan menambah nilai jutaan dolar lagi kepada pendapatan Ryan buat tahun-tahun seterusnya.
Disebabkan Ryan adalah seorang kanak-kanak bawah umur, sebanyak 15% daripada pendapatannya disalurkan ke akaun Coogan yang akan dilindungi sehinggalah dia mencapai usia matang. Dilaporkan sejumlah besar wang daripada baki yang dipegang itu digunakan untuk bayaran pihak pengurusan dan kos produksi. Tidak dilupakan juga kos untuk membayar segala harga permainan.
Apakah yang akan terjadi sekiranya tiba-tiba Ryan meningkat dewasa atau tiba-tiba memutuskan untuk menghentikan rakaman dan penyiaran pengembaraannya bermain untuk dunia? Menurut Lacaillade, mungkin pengurus dan ejennya akan berasa kecewa. Akan tetapi bagi Ryan, dia sudahpun memiliki "kekayaan secukupnya untuk 100 kali kehidupan."