Semua orang yang hidupnya belum kaya, mahu bergelar seorang yang kaya. Orang yang sudah kaya pula sibuk memikirkan bagaimana mahu jadi lebih kaya.

Kekayaan sering dijadikan ukuran kejayaan seseorang dalam hidup. Individu yang berkemampuan tinggi dikagumi ramai atas nilai harta yang mereka miliki, mengundang rasa hormat daripada kebanyakan orang dan ada kalanya rasa iri melihat kemampuan mereka yang kaya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi realitinya sedikit berbeza. Hidup kaya tidaklah menjaminkan bahagia dan kebebasan untuk berbelanja, sebenarnya membawa beban berbeza yang jarang diperkatakan. Berikut adalah lima masalah terbesar dihadapi orang kaya yang sering kita terlepas pandang, disebabkan rasa kagum kita.

1. Anda akan diganggu dengan permohonan pertolongan

setuju hutang pinjam duit kawan

Tidak ramai sedar, semakin ramai orang tahu kita berkemampuan - semakin ramailah kenalan yang akan cuba memohon bantuan kewangan. Ini tidak berlaku secara terang-terangan, tetapi begitulah cabaran yang perlu dihadapi mereka yang mampu secara diam-diam.

"Bro, nak minta tolong sikit boleh?" masuk mesej Whatsapp. "Sis, lama tak dengar khabar? Jom minum petang ni," mesej seorang kenalan lama. Rupa-rupanya dia nak ajak kita masuk MLM atau skim insurans dia.

Individu yang mampu sebenarnya sering berhadapan masalah ini. Kalau kita tak nak membantu, nanti dikatanya kita sombong pula lupa diri lupa daratan, sanggup tengok kawan, saudara-mara susah. Kalau dibantu pula, entah bilalah duit atau bantuan itu akan dibayar semula.

Silap-silap bila minta hutang, yang bagi hutang pula dimaki kerana duit dah banyak, pinjam sikit lambat bayar pun nak berkira ke?

2. Hidup anda bergelut kebimbangan

rumah dimasuki penyamun

Anda mungkin sering mengeluh rumah anda sempit, kereta anda biasa saja. Tetapi anda tidak perlu berhadapan rasa bimbang yang dihadapi orang kaya.

Pusing lihat rumah mereka, tembok punyalah tinggi, keliling rumah ada kamera. Nak parkir kereta pun bukan boleh parkir di mana-mana, kena parkir kawasan yang diyakini selamat dan terjaga. Duit pun mestilah lebih banyak perlu keluar.

Dalam hal melibatkan ahli keluarga pula, mereka yang hartawan juga berasa kurang tenteram untuk membiarkan anak-anak bergerak tak tentu hala. Takut jadi mangsa culik untuk habuan tebusan. Takut anak-anak berkawan dengan 'manusia tak tentu hala' yang hanya tahu nak kenyangkan perut mereka.

Kita belum sentuh tentang kebimbangan berkenaan nilai aset, pelaburan, portfolio, saham, politik dan bermacam lagi faktor yang menyumbang kepada kebimbangan, walaupun realitinya hidup mereka jauh lebih senang berbanding orang kebanyakan.

3. Anda akan mula meragui keikhlasan orang lain

orang kaya risiko ditikam belakang

Walaupun kita yang bertaraf orang kebanyakan ni selalunya mengkritik amalan penggunaan kabel dalam membantu 'melicinkan' sesuatu urusan, realitinya kita pun ada kalanya menggunakan kenalan yang kita ada untuk bantu kita uruskan sesuatu, kan?

Alah, mengaku sajalah. Ini sifat semulajadi kitalah. Tetapi untuk individu yang bukan saja hartawan tetapi turut sama memiliki pengaruh dan kedudukan, kedatangan individu-individu yang dikenali dan tidak dikenali dengan bermacam niat - menimbulkan 1001 persoalan.

Ada pihak yang hadir dengan cadangan nak jadikan kita rakan kongsi syarikat. Ada yang bawa peluang pelaburan. Ada yang minta kita jadi penaung untuk NGO atau gerakan yang mereka jalankan. Semua peluang itu, pada dasarnya tampak manis di permukaannya - memberikan kita jendela untuk mengintai bermacam jenis potensi.

Namun daripada 10 yang hadir tu, mesti ada seorang atau dua orang yang hadir tanpa niat ikhlas tetapi hanya sekadar mahu menamakan kita sebagai salah seorang penanggung risiko.

Benda paling kerap berlaku - adalah bila bank memerlukan penjamin untuk meluluskan pinjaman seseorang dan kita pula, tidak bernasib baik disenaraikan sebagai 'penjamin berpotensi.'

4. Kecenderungan anda untuk jadi tidak beretika lebih tinggi

polis saman kereta mewah

Tahukah anda dari segi kajian yang telah dijalankan, individu yang berkemampuan lebih cenderung untuk melakukan sesuatu yang tidak beretika? Kami cerita pasal etika ya, bukan kesalahan jenayah.

Menerusi penyelidikan dan pemerhatian seorang pakar psikologis bernama Brad Klontz, beliau mendapati cara pemikiran seorang hartawan unik - kerana mereka merasakan undang-undang dan peraturan tidak seharusnya mengikat mereka.

Sebaliknya, mereka merasakan disebabkan status yang dimiliki mereka lebih tinggi berbanding orang kebanyakan - mereka sepatutnya dibenarkan 'melanggar' apa saja had atau kekangan yang wujud menggunakan cara mereka sendiri.

Perkara paling mudah yang boleh kita nampak setiap hari, adalah bagaimana kereta mewah dan motorsikal berkuasa tinggi bebas melanggar had laju jalanraya seolah-olah jalan raya tiada had kelajuan.

Bagi mereka, kenderaan yang berkemampuan sepatutnya 'dibenarkan' untuk pergi selaju mana yang mereka mahukan dan tidak seharusnya dihalang untuk mengikut aliran trafik. Itu satu contoh yang biasa kita nampak.

Dalam erti kata lain, seorang hartawan enggan melihat dirinya sama melakukan perbuatan biasanya dikenakan kepada orang kebanyakan dan sanggup melanggari apa saja peraturan itu bagi mengekalkan perbezaan itu, dalam apa saja sekalipun.

5. Masa depan anak-anak mungkin lebih berisiko

anak anak risiko rosak dilimpahi kemewahan

Siapa tidak mahu membahagiakan anak-anak serta menyediakan ruangan yang selesa untuk mereka membesar? Semua orang mahu kemampuan tersebut. Walau bagaimanapun, dengan kesenangan itu ada juga keburukan yang jarang kita perkatakan.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh penyelidik-penyelidik barat, anak kepada keluarga yang berkemampuan tinggi ditemui mempunyai kadar stres yang lebih tinggi, seterusnya mampu membawa kepada risiko kemurungan dan kebimbangan.

Jika tidak diselia dengan baik, kanak-kanak dan remaja ini akan membesar lebih terdedah kepada penyalahgunaan bahan-bahan terlarang serta mempunyai kadar ketagihan alkohol lebih tinggi - berbanding kumpulan seusia mereka yang datang dari keluarga berpendapatan rendah.

Adakah ini juga berlaku kepada masyarakat kita? Sukar untuk kitakan ya memang berlaku, namun dalam beberapa kes melibatkan anak kepada individu berpengaruh dalam masyarakat kita - memang menampakkan wujud jurang nyata antara cara mereka berfikir dengan remaja lain seusia mereka.

Kenapa ini berlaku? Tekanan.

Seorang anak hartawan berdepan kesukaran untuk menerima hakikat mereka boleh terkebelakang atau ketinggalan, berbanding dengan anak orang biasa disebabkan oleh kemudahan yang mereka miliki - yang mereka rasakan sepatutnya memudahkan mereka mendahului dalam semua perkara khasnya melibatkan aktiviti pendidikan dan ko-kurikulum.

Sekiranya mereka gagal bersaing dengan baik, beban kesalahan selalunya akan ditanggung oleh remaja-remaja ini sendirian enggan mengakui kelemahan mereka, disebabkan oleh tekanan ibu bapa mereka yang mengharapkan mereka tergolong dalam kumpulan terbaik setiap masa.

Untuk menangani masalah ini, anak-anak hartawan yang 'gagal' akan mula menunjukkan rasa kurang senang mereka dengan meninggikan ego dan merendahkan nilai empati kepada orang lain, untuk mengekalkan status kedudukan mereka.

Tidak cukup dengan itu, mereka akan mula menyertai aktiviti-aktiviti kurang sihat menggunakan duit poket pemberian ibu bapa untuk dibelanjakan ke jalan tersebut.

Rujukan

The problem with rich people and ethics

How Money Changes the Way You Think and Feel




Hakcipta iluminasi.com (2017)