Setelah lebih setahun wabak Covid-19 melanda dunia, pelitup muka telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Pelitup muka atau face mask merupakan satu langkah pencegahan yang penting dalam mengelakkan penyebaran penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus, termasuk COVID-19.

Umumnya, sedia maklum bahawa virus COVID-19 didapati boleh merebak melalui droplet atau titisan pernafasan daripada percakapan, batuk ataupun bersin. Berdasarkan daripada kajian yang telah dijalankan,  pemakaian pelitup muka adalah sangat penting.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam juga telah dijalankan di hampir kebanyakan negara di seluruh dunia. Ia adalah untuk kebaikan bersama dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19 di kalangan masyarakat.

Namun, timbul pula masalah lain apabila pelitup muka terpakai tidak diuruskan dengan betul. Pelitup muka terpakai yang dibuang boleh mengundang pelbagai masalah seperti pencemaran, perparitan tersumbat dan boleh menyebabkan tersebarnya wabak Covid-19.

Jika anda ingin membuang pelitup muka yang telah dipakai, lakukannya mengikut langkah-langkah yang telah disarankan. Jangan sekali-kali membakar pelitup muka kerana ia akan menyebabkan lebih banyak kemudaratan.

Kenapa bakar pelitup muka berbahaya?

bakar pelitup muka 908

Baru-baru ini, tersebar sebuah video di mana orang ramai berkumpul di bangunan kerajaan Idaho Capitol di Idaho, Amerika Syarikat bagi mengadakan demonstrasi membakar pelitup muka. Kelihatan orang ramai termasuk kanak-kanak mencampakkan pelitup muka ke dalam tong yang dinyalakan api.

Demonstrasi yang diadakan oleh golongan anti-pelitup muka dan anti-lockdown itu menimbulkan persoalan kepada orang ramai yang tidak memahami apakah tujuan mereka berbuat demikian. Ada juga yang prihatin terhadap kesihatan kanak-kanak dalam video itu kerana berdiri berhampiran tong pembakar yang mengeluarkan asap tebal.

Sebilangan besar pelitup muka yang dibakar itu merupakan topeng pembedahan berwarna biru, biasanya diperbuat daripada sejenis plastik iaitu polipropilena.

Polipropilena digunakan secara meluas kerana dianggap sebagai bahan yang "selamat untuk makanan". Ia banyak digunakan dalam penghasilan plastik pembungkusan makanan. Seperti kebanyakan jenis plastik lain, polipropilena juga akan mengeluarkan banyak bahan kimia beracun dan berbahaya apabila dibakar.

penunjuk perasaan bakar face mask

Jadi, apakah sebenarnya kandungan asap yang dihidu oleh para peserta demonstrasi itu? Apakah kesannya terhadap kesihatan mereka terutamanya kanak-kanak yang tidak mengetahui apa-apa?

Mujurlah, terdapat satu kajian khusus mengenai kesan pembakaran polipropilena ini. Kertas kajian itu diterbitkan dalam Journal of the American College of Toxicology pada tahun 1988.

Para pengkaji mencuba beberapa kaedah berbeza termasuk membakarnya di ruang udara biasa, serupa dengan kaedah yang dilakukan kumpulan anti-pelitup muka di Idaho.

Kandungan asap pembakaran pelitup muka

Pembakaran polipropilena akan mengakibatkan pembentukan puluhan kimia yang berbeza. Terdapat beberapa bahan yang diketahui seperti air dan karbon dioksida tetapi beberapa bahan lagi dikenal pasti menghasilkan racun.

Antara bahan beracun yang terhasil termasuklah:

  • Formaldehid - Digunakan untuk memelihara spesimen biologi
  • Aseton - Sebatian yang berbau kuat, digunakan dalam penghasilan penanggal pengilat kuku.
  • Metanol - Komponen utama anti-pembekuan
  • Xilena - Bahan makmal yang digunakan untuk penyediaan tisu kajian mikroskopi
  • Benzena - Bahan bahaya yang ditemui pada ekzos kereta dan asap rokok
  • Toluena - Bahan yang terdapat dalam thinner (bahan pencair dan penaggal cat).

Sebilangan besar sebatian ini boleh menyebabkan tindak balas seperi kerengsaan mata dan masalah pernafasan. Malah, beberapa bahan kimia ini juga disenaraikan sebagai karsinogen iaitu bahan yang berkaitan dengan pertumbuhan barah.

pelitup muka 219

Walaupun menghasilkan pelbagai bahan berbahaya apabila dibakar, mujurlah pembakaran penutup muka oleh penunjuk perasaan itu dilakukan di ruangan terbuka di mana terdapat aliran udara yang dapat meniup asap beracun dengan cepat sebelum ia menyebabkan kerosakan teruk pada kanak-kanak berhampian.

Namun, ini bukanlah satu-satunya bahaya yang dihadapi para penunjuk perasaan itu. Dalam video tersebut, kanak-kanak itu dilihat mengambil pelitup muka terpakai dengan tangan kosong tanpa sebarang perlindungan. Mereka mungkin akan terdedah kepada sejumlah patogen berbahaya daripada pengguna pelitup muka itu.

Buang dengan cara yang disarankan

Di hospital, pelitup muka bekas pesakit atau kakitangan akan dibuang ke dalam beg sampah biohazard yang kemudian dibakar di kemudahan khas yang mampu memerangkap dan menyaring asap berbahaya ini.

jangan bakar pelitup muka

World Health Organization (WHO) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit mengesyorkan agar pelitup muka yang telah dipakai tidak digunakan semula. Ia harus dibuang atau dibersihkan dengan betul jika boleh.

Mana-mana organisasi kesihatan tidak pernah menyarankan orang awam untuk membakar pelitup muka terpakai.




Hakcipta iluminasi.com (2017)