Satu ketika dulu, pemahaman kita tentang kuman penyebab penyakit belum sampai ke tahap sekarang. Hanya dalam tempoh 200 tahun kebelakangan ini, kita semakin memahami tentang kewujudan bendasing seperti bakteria dan kuman.

Semua ini dibolehkan dengan penciptaan pelbagai jenis peralatan yang membantu kita mengkaji kuman-kuman ini, seperti mikroskop elektron yang mampu membesarkan virus untuk penglihatan kita dan juga kemajuan teknologi yang memudahkan kita memahami beza sebenar antara virus dan bakteria.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah satu ciptaan paling penting tetapi jarang diperkatakan tentang sejarah penciptaannya adalah topeng muka. Topeng muka merupakan alat paling asas, tetapi memainkan peranan besar kan? Ini sejarah ciptaannya.

Teori di sebalik penciptaan topeng muka

asal usul topeng muka pembedahan elak wabak berjangkit

Dalam sebuah artikel kami, kami sudah menceritakan tentang pengamal perubatan yang bertanggungjawab mengawal penyebaran wabak dikehendaki memakai topeng berbentuk mirip kepala burung semasa menjalankan tugas mereka.

Topeng itu dipakai kerana pemahaman mereka pada abad ke 17 percaya udara merupakan agen penyebar wabak yang utama.

Selepas pendapat itu tidak lagi digunapakai disebabkan oleh kefahaman manusia tentang bakteria dan virus semakin berkembang - penyelidik perubatan mula mengambil kira ilmu-ilmu baru yang telah diterokai untuk diamal secara praktikal.

Penemuan utama terpenting yang berlaku dan menjadi titik tolak kepada penciptaan topeng muka, disebabkan oleh penemuan Louis Pasteur pada tahun 1862.

jururawat sedang memakaikan topeng muka pada doktor bedah

Pasteur berjaya membuktikan kewujudan bendasing-bendasing dalam udara melalui habuk yang terapung, mampu memerangkap organisma halus di dalamnya. Udara didapati mampu menjadi agen penyebar mikroorganisma itu.

Pada penghujung abad ke 19, berlaku jangkitan tuberkulosis (TB) yang melanda Eropah. Robert Koch dari Jerman berjaya membuktikan kewujudan bakteria penyebab penyakit tuberkulosis pada tahun 1882.

Penyelidikan yang dijalankan seorang saintis bernama Dr. G. Cornet selepas penemuan Koch, membuktikan bahawa bakteria itu turut sama mampu merebak melalui udara.

Bakteria terbang di udara

wabak london

Kajian yang dijalankan Cornet berdasarkan kepada penemuan Koch, menemui bukti bahawa kehadiran bakteria dalam tekak pesakit TB boleh berpecah dan tersembur keluar semasa pesakit batuk.

Apabila batuk berlaku, tekanan kuat yang terhasil akan menyebabkan semburan titis-titis air pesakit mampu menyebabkan bakteria merebak di udara, dapat berpindah kepada individu lain dalam jarak dekat.

Perkiraan yang dilakukan Cornet menganggarkan sebanyak 7.2 billion bakteria boleh merebak dalam tempoh 24 jam hanya daripada seorang pesakit. Cornet juga mendapati bakteria pesakit TB mampu merebak individu ke individu, melalui bukaan saluran pernafasan serta bukaan pada kulit seperti kesan luka.

Kajian menyeluruh Cornet turut melibatkan jangkitan pada permukaan-permukaan lantai, dinding dan peralatan hospital mendapati wujudnya bakteria dalam kadar yang banyak. Bakteria ini apabila kering akan menjadi sebahagian daripada habuk dalam kawasan yang dijangkiti.

Cornet menyimpulkan habuk sama ada di udara atau permukaan merupakan agen paling berisiko tinggi menjangkitkan orang ramai dengan penyakit TB ketika itu.

sejarah asal usul topeng muka elak bakteria virus

Walaupun begitu, seorang lagi penyelidik bernama Profesor Carl Flugge mengeluarkan pendapat berbeza.

Flugge melaporkan 80% jangkitan pesakit TB adalah disebabkan oleh pertukaran titisan air dari individu ke individu, khasnya di kalangan petugas perubatan. Berbeza dengan bakteria yang sudah menjadi habuk, Flugge mendapati bakteria yang terbang daripada mulut mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi - kerana masih 'segar' serta 'baru keluar.'

Hasil kajian Flugge yang memperbaiki pendapat Cornet menasihatkan semua individu yang merawat atau berada berdekatan dengan pesakit TB, agar menjarakkan diri jika boleh sejauh 3-4 kaki.

Selain itu, Flugge juga menasihatkan agar pemakaian sapu tangan pada wajah dimulakan bagi mengelakkan bakteria menjangkiti individu yang sihat.

Penciptaan topeng muka pertama

sejarah dan asal usul topeng muka pembedahan surgical

Berikutan banyak bukti yang menunjukkan keperluan orang ramai untuk menutup wajah ketika berhadapan dengan wabak TB, seorang pakar bedah Poland bernama Jan Mikulicz Radecki (yang kini dikenali sebagai 'Bapa Pengasas Sistem Pembedahan Moden') mula memanfaatkan kemahirannya mencipta topeng muka yang sesuai.

Topeng muka yang mula digunakan pada tahun 1897 merupakan jenis topeng selapis, dicipta oleh Radecki untuk kegunaan doktor yang perlu merawat pesakit.

Ciptaan itu ditambah baik oleh salah seorang lagi pencipta bernama W. Huebner yang merasakan dua lapisan topeng perlu digunakan. Huebner menambah satu lagi lapisan nipis pada topeng ciptaan Radecki serta memperkenalkan rangka wayar yang membolehkan wujud ruang antara hidung dan lapisan topeng.

Huebner juga membuktikan bahawa kadar tapisan topeng muka akan meningkat sekiranya lapisan pelindung ditambah.

asal usul surgical mask

Pada mulanya penggunaan topeng hanya khas untuk golongan doktor yang merawat dan menjalankan pembedahan sahaja.

Wabak 'scarlett fever' yang melanda dan didapati tersebar melalui titisan air daripada tubuh manusia melalui mulut, menyebabkan seorang penyelidik perubatan bernama Alice Hamilton menyarankan agar pemakaian topeng muka tidak lagi dihadkan kepada doktor dan doktor bedah semata-mata.

Kumpulan jururawat yang menguruskan pesakit 'demam scarlett' mula dibekalkan dengan topeng muka bagi melindungi mereka daripada jangkitan.

Bermula era 1920, penggunaan topeng muka ketika wabak mula menjadi satu kebiasaan yang akan diamalkan bukan sahaja oleh petugas perubatan malahan turut menjadi amalan orang kebanyakan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)