Kita di Malaysia pada ketika ini sedang bertungkus-lumus atau mungkin juga sedang duduk tak buat apa, dalam berhadapan wabak Covid-19.

Walaupun manusia mampu memberhentikan pergerakan hidup mereka dengan undang-undang, alam semulajadi nampaknya masih belum mahu memberikan kita ruang untuk berehat.

Bagi sesetengah masyarakat di seluruh dunia, sambil mengharungi ancaman wabak yang dahsyat - mereka juga perlu berhadapan alam yang mengganas. Pasti sukar sekiranya kita berada di tempat mereka?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 bencana besar yang sedang melanda dunia ketika ini, semasa kita di Malaysia gusar bilakah hidup akan kembali seperti sedia kala.

1. Kawasan simpanan Chernobyl sedang terbakar

chernobyl terbakar ukraine

Pada ketika ini, ibu negara Ukraine, Kiev sedang berhadapan masalah jerubu disebabkan oleh kebakaran hutan yang berlaku - tidak jauh daripada tapak insiden radiasi terburuk dunia, Chernobyl.

Hutan itu terletak dalam radius kawasan khas yang dikosong berikutan masalah radiasi yang terlalu tinggi, satu ketika dulu.

Kejadian kebakaran yang dipercayai berpunca oleh seorang lelaki yang membakar sampah berdekatan dengan kawasan larangan itu, mula menyebabkan kebakaran sejak 4 April 2020. Pada ketika ini, 300 orang ahli bomba sedang cuba memadamkan kebakaran agar kawasan bersejarah itu dapat dilindungi.

Disebabkan api yang marak, beberapa kawasan yang masih terjejas radiasi melaporkan bacaan 16 kali ganda lebih tinggi berbanding tahap normal.

Setakat ini, Menteri Dalam Negeri Ukraine menyifatkan kejadian yang berlaku adalah sabotaj terancang - disebabkan oleh pergerakan api yang dilihat berlaku secara sangat sistematik seakan dibantu kiraan pergerakan angin.

2. Anak Krakatau mula aktif

anak krakatau meletus

Pada 10 haribulan April 2020, gunung berapi Anak Krakatau yang terhasil daripada insiden letusan Gunung Krakatau pada tahun 1883 mula mengeluarkan gas setinggi 200 meter daripada puncaknya selama 1 minit 12 saat.

Situasi ini menggerunkan rakyat Indonesia, kerana tidak lama dahulu pada bulan Disember 2018, satu kejadian tsunami telah melanda disebabkan aktiviti gunung berapi tersebut yang mengorbankan ratusan nyawa serta mengakibatkan kecederaan pada ramai penduduk setempat.

Tsunami yang berhasil berbeza dengan tsunami biasa yang berlaku disebabkan oleh gempa bumi. Tsunami bulan Disember itu berlaku disebabkan oleh runtuhan Anak Krakatau yang menghasilkan gelombang tsunami.

Kami harap warga Indonesia dapat berjaga-jaga dan berhati-hati, semasa menghadapi wabak dan ancaman gunung berapi yang berlaku tiba-tiba ini.

3. Zagreb berdepan gempa bumi

zagreb gempa bumi

Ketika bergelut dengan wabak Covid-19, penduduk ibu negara Croatia dikejutkan dengan bencana gempa bumi yang melanda - sekuat 5.3 pada skala magnitud menyebabkan kerosakan pada bangunan serta bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan.

Gempa bumi yang terkuat pernah melanda Zagreb setakat ini, turut sama menyebabkan sebuah hospital perlu dikosongkan. Banyak bangunan yang terselamat mengalami keretakan yang perlu dibaiki, menyebabkan proses pemulihan bakal memakan masa yang panjang.

Walaupun kerosakan pada bandar tersebut agak ketara, hanya satu kehilangan nyawa dilaporkan. Kerosakan harta benda menjadi fokus utama, selepas banyak kenderaan turut sama rosak ditimpa runtuhan konkrit.

Gempa bumi yang berlaku pada 22 Mac 2020 itu menimbulkan kontroversi, selepas kerajaan Croatia didakwa tidak mengambil sebarang langkah perlindungan - walaupun sudah dinasihatkan oleh pakar untuk mengkukuhkan struktur bangunan agar mampu menahan impak gempa bumi, sejak tahun 2014 lagi.

4. Bagaimana Covid-19 menghalang pemulihan Tennessee

amerika syarikat dilanda puting beliung

Sebelum Covid-19 melanda Amerika Syarikat seperti sekarang, negara itu baru saja berdepan serangan dua puting beliung - yang mempunyai kelajuan angin setinggi 285km/j. 24 orang meninggal dunia dan ratusan kediaman di Tennessee musnah dilanda badai pada 2 Mac 2020.

Berikutan serangan itu, pasukan sukarelawan dan petugas mula dikerah bagi membantu penduduk yang terjejas. Usaha pembinaan semula dan kemasukan sukarelawan mula terhalang, selepas kerajaan Amerika Syarikat mengumumkan perintah kawalan bermula 23 Mac 2020.

Pada 13 April 2020, daerah Chattanooga yang terletak tidak jauh dengan kawasan yang terjejas sebelumnya, menjadi mangsa selepas ribut dan puting beliung menyebabkan kematian 9 nyawa setakat ini.

5. Serangan serangga yang menggila di Afrika

orang afrika hadapi serangan belalang

Belum pernah terjadi serangan serangga seumpama ini di benua Afrika. Itulah yang berlaku dalam tempoh beberapa bulan lalu di kawasan meliputi negara-negara Afrika Timur, selepas kumpulan serangga belalang mula menyerbu kawasan penanaman menyebabkan tumbuh-tumbuhan yang ditanam habis dikerumuni serangga yang memakannya.

Apa yang lebih menakutkan - insiden itu diramalkan bakal berlaku lagi dalam tempoh enam bulan akan datang.

Situasi ini dikatakan berlaku disebabkan oleh kumpulan serangga seperti belalang yang mencapai tempoh matang serentak dalam jumlah yang terlalu besar, dibantu oleh taburan hujan yang tinggi pada penghujung bulan Mac.

Disebabkan oleh kemunculan belalang dalam jumlah besar dan mula menjalankan persenyawaan, situasi sama diramal akan berulang sekitar bulan Jun atau Julai tahun ini - cantik-cantik dengan musim menuai di benua tersebut tiba.

Antara negara yang terjejas teruk adalah Kenya, Ethiopia dan Sudan Selatan, selain Yaman, Arab Saudi, Oman, Iran dan Pakistan turut bakal berhadapan serangan dalam skala lebih kecil.




Hakcipta iluminasi.com (2017)