mitos kewajipan pemakaian topeng mask muka musim wabak covid 19

Kesukaran orang ramai mendapatkan bekalan topeng muka akibat kekurangan bekalan, menimbulkan banyak kontroversi dalam pelbagai aspek.

Ada pihak dituduh sengaja menaikkan harga, kerajaan dituduh gagal mengawal kadar bekalan dan juga didakwa 'menjual' bekalan topeng muka. Ada juga pihak menyalahkan satu sama lain mencari punca kenapa kita kekurangan jumlah yang mencukupi.

Akibat keperluan memakai topeng muka, ke mana saja penulis hadir ketika ini untuk cuba membeli - nyata akan tertampal di depan kedai farmasi notis kehabisan stok. Persoalannya, perlu atau tidak kita memakai topeng muka?

Peraturan yang tidak sengaja diwujudkan

sesetengah penguatkuasa pun pening tentang tatacara pemakaian topeng muka

Banyak pihak berdepan kesukaran mendapatkan bekalan topeng muka. Apa yang memburukkan situasi, lebih ramai pihak mula berdepan kesukaran kerana ketiadaan topeng muka - seolah-olah pemakaian topeng muka wajib semasa kita mengharungi gejala wabak Covid-19.

Rungutan orang ramai bahawa ada sesetengah lokasi mewajibkan pemakaian topeng muka sebelum dibenarkan masuk premis sudah kedengaran, seperti apa yang berlaku di sesetengah cawangan pejabat pos. Ada juga pihak menceritakan tentang pihak polis yang memeriksa sesiapa saja yang tidak mengenakan topeng muka semasa sekatan jalan raya.

Ahli masyarakat juga seolah-olah memandang hina pada mereka yang tidak bertopeng muka, sedangkan realitinya bekalan pada ketika ini amatlah tidak memadai. Boleh jadi banyak kemungkinan kenapa seseorang gagal memakai topeng muka.

Pada ketika ini pengusaha pembuat dan pengilang topeng muka sudah pastilah tersenyum lebar permintaan terhadap produk muka naik mencanak-canak. Namun jika masyarakat sedar tentang beberapa fakta penting - kemungkinan bekalan tidak memadai mungkin tidak berlaku; kerana topeng muka tidaklah sepenting yang kita sangkakan.

Saranan sebenar WHO dan CDC

topeng muka mask penghalang virus dan kuman n95

Sekiranya anda merujuk kepada kenyataan rasmi WHO, amat jelas badan kesihatan dunia itu menyatakan dengan terang; 'anda tidak perlu memakai topeng muka semasa berlakunya wabak ini.'

Siapakah golongan yang diperlukan untuk memakai topeng? Wujud kriteria yang ada untuk seseorang dikategorikan perlu memakai topeng dan kumpulan yang paling utama; adalah mereka yang perlu merawat dan menjaga pesakit yang telah dijangkiti virus. Besar kemungkinan kumpulan ini melibatkan petugas perubatan seperti doktor, jururawat dan pembantu perubatan.

Seandainya anda tidak terlibat dalam penjagaan pesakit Covid-19, anda diperlukan untuk memakai topeng muka seandainya anda kerap batuk dan bersin, yang menandakan anda kurang sihat.

Bukan setakat WHO, penjelasan serupa dikeluarkan oleh CDC Amerika Syarikat yang menyatakan bahawa mereka tidak menggalakkan penggunaan topeng muka di kalangan orang awam, sebaliknya menyarankan kepentingan penjarakkan antara individu ke individu, kuarantin di rumah sekiranya kurang sihat, elak menyentuh muka dan pastikan menutup mulut dengan tisu semasa bersin atau batuk.

CDC turut sama tidak mengiktiraf pemakaian topeng muka kain yang kerap kita gunakan (topeng muka pembedahan) kerana pemakaiannya tidak memberikan perlindungan yang sepatutnya, masih membenarkan parikel-partikel masuk melalui liangnya.

Saranan CDC menyatakan bahawa seseorang yang perlu menjaga atau mengendalikan pesakit Covid-19 hendaklah menggunakan topeng muka N95, bukan sekadar topeng muka biasa yang diamalkan orang awam. Seorang pesakit Covid-19 juga disaran untuk menggunakan topeng muka serupa semasa dirawat dan tidak lagi perlu meneruskan pemakaian selepas berjaya diisolasikan di rumah atau di hospital.

Saranan yang berbeza-beza menimbulkan kekeliruan

mitos tentang kewajipan pemakaian topeng muka mask covid

Walaupun mungkin di negara kita tampak seakan berlaku kekeliruan sehingga ada pihak mewajibkan pemakaian topeng muka, janganlah pula kita marah ya! Ini kerana kekeliruan ini sebenarnya datang daripada ketiadaan satu standard yang lengkap dalam isu pemakaian topeng muka di seluruh dunia.

Kami sudah nyatakan saranan WHO dan CDC. Bagaimana saranan negara lain?

Kerajaan China pula menyarankan agar pemakaian dilakukan, bergantung kepada risiko di mana anda berada dan dengan siapa anda terdedah. Hong Kong pula menyarankan pemakaian topeng muka kepada sesiapa saja yang ada masalah kesihatan.

Kerajaan Jepun senada dengan Amerika Syarikat, tidak mengesyorkan pemakaian topeng muka kerana keberkesanannya sangat rendah. Melainkan anda kerap berada dalam kawasan sempit, pemakaian topeng muka tidak patut dianggap perlu.

Kerajaan Jerman dan United Kingdom menggunakan hujah tiada bukti kukuh penggunaan topeng muka di kalangan orang awam akan memberi kesan positif pada orang ramai. Kenyataan kerajaan Jerman tidak berhenti setakat itu, malahan turut sama menyatakan bahawa penggunaan topeng muka akan menyebabkan orang awam mengalami naluri selamat yang tidak benar - sehingga ada pihak mengabaikan penjagaan kebersihan yang jauh lebih penting berbanding memakai topeng muka.

Tak percaya juga?

Dalam sidang media pada 22 Mac 2020, Ketua Pengarah Kesihatan negara kita Dr Noor Hisham Abdullah mengulangi saranan WHO yang telah diterbitkan sejak mula lagi. Begitu juga saranan pakar perubatan Dr, Christopher Lee pada 16 Mac 2020, yang menggesa agar orang ramai tidak tergesa-gesa mendapatkan topeng sekiranya tidak sakit.

Kami harap artikel ini membuatkan anda tidak lagi berasa gusar seandainya anda kehabisan stok topeng. Berikan pautan artikel ini kepada mana-mana pihak yang menghalang anda memasuki premis, hanya kerana anda tidak mengenakan topeng muka.



Hakcipta iluminasi.com (2017)