Oleh pada 31 May 2019 kategori

Berbeza dengan ibadah-ibadah lain dalam rukun Islam, ibadah puasa merupakan satu-satunya ibadah yang dirujuk dalam bahasa Melayu tanpa menggunakan istilah asalnya.

Rukun Islam yang lain seperti mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu, menunaikan zakat serta mengerjakan haji masih lagi mengekalkan istilah atau terma yang asal, diambil daripada bahasa Arab iaitu syahadah, solat, zakat dan haji.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mengapa ibadah puasa berbeza?

Istilah sebenar puasa dalam bahasa Arab

iftar di pakistan

Jika kita rujuk kamus bahasa Arab atau googlekan saja perkataan 'puasa' dalam bahasa Arab, perkataan yang akan kita dapat adalah صيام atau 'siam.'

Wujud satu lagi perkataan serupa dalam bahasa Arab yang membawa makna sama iaitu صوم atau 'soum' yang bererti puasa.

Perkataan puasa pula sebenarnya datang daripada kata pinjaman 'upavasa' yang berasal daripada bahasa Sanskrit. Persoalannya di sini, apa kaitannya 'upavasa' dengan 'puasa'? Puasa adalah ibadah orang Islam, jadi mana datangnya 'upavasa' pula?

Apa itu upavasa?

upavasa hindu

'Upavasa' adalah perkataan Sanskrit yang amat mirip dengan agama Hindu. Makna perkataan 'upavasa' sekiranya diasingkan kedua-dua kata akarnya bererti 'berada' (upa) dan 'vasa' (dekat).

Jadi makna 'upavasa' secara literalnya adalah 'berada dekat.' Bagi masyarakat Hindu, makna simbolik 'upavasa' sebenarnya lebih dalam dengan amalan 'upavasa' dikatakan mampu mendekatkan diri mereka dengan Tuhan mereka, sebab itulah maksudnya diletakkan sebegitu.

Dari segi amalannya pula,  amalan yang dinamakan sebagai 'upavasa' dalam agama Hindu adalah amalan berpuasa. Jeng jeng jeng!

Upavasa akan diamalkan oleh penganut agama Hindu dalam pelbagai cara, disertai dengan pelbagai amalan lain seperti memuja nama dewa dan dewi, bertafakur, memasang lilin atau membaca ayat-ayat keagamaan.

Berbeza dengan puasa, amalan upavasa boleh lebih longgar peraturannya dengan larangan memakan sesuatu yang dimasak dikenakan. Ini bermakna semasa amalan upavasa, penganut Hindu boleh makan makanan seperti buah-buahan yang bersifat semulajadi dan minum susu yang tidak dicampur dengan bahan-bahan lain.

Jenis-jenis upavasa

upavasa meditasi

Walaupun masih dibenarkan makan dan minum, menahan diri sepenuhnya daripada makan dan minum apa saja bentuk makanan dan minuman adalah lebih digalakkan, bagi penganut agama Hindu.

Bagi umat Islam, puasa bulan Ramadan atau mana-mana jenis puasa sunat atau puasa pilihan - formatnya tetap sama; bersahur dan kemudiannya menahan diri daripada makan dan minum daripada terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari.

Bagaimanapun untuk penganut Hindu, mereka ada 3 jenis upavasa. Yang pertama adalah ekabhakta di mana seseorang itu boleh makan sekali saja pada siang hari. Yang kedua pula adalah upavasa nakta, di mana seseorang itu hanya makan sekali pada waktu malam. Kategori yang terakhir pula adalah 'ayacita' dimana pengamalnya hanya makan makanan yang dihidangkan tanpa diminta, sekali saja.

Kesimpulan

acara iftar ramadan

Teori yang ada setakat ini, bagi memudahkan masyarakat Melayu zaman dahulu memahami keperluan ibadah puasa sebagai satu kewajipan Islam, istilah daripada agama Hindu dicedok supaya penerangannya lebih jelas, kerana sejarah telah pun menunjukkan satu masa dulu nenek moyang kita menganut agama Hindu sebelum kedatangan Islam.

Jadi lekatlah istilah 'upavasa' yang akhirnya berubah menjadi 'puasa' mengikut peredaran zaman. Istilah Arab dalam ibadah-ibadah lain masih kekal, kecuali beberapa percampuran istilah seperti solat yang kerap kali kita gantikan dengan sembahyang.

umat islam berpuasa

Tidak ada masalah sebenarnya untuk kita terus menggunakan istilah 'puasa' kerana perkataan dan maknanya sendiri sudah merujuk kepada ibadah puasa melibatkan orang Islam, secara eksklusif.

Apa yang penting, sekarang anda tahu dari mana datangnya perkataan 'puasa.' Sebarkanlah kalau rasa bermanfaat.

Rujukan

Hindupedia

Malaysia Hindu Sangam




Hakcipta iluminasi.com (2017)