ilustrasi blackmail zaman lampau

Istilah 'blackmail' yang merujuk kepada tindakan seseorang mengugut individu lain dengan cara keji, merupakan salah satu istilah yang cukup popular - apatah lagi melihat iklim politik dunia sekarang.

Mengugut untuk mendapatkan faedah, dengan menggunakan rahsia atau perkara yang tidak sepatutnya didedahkan menjadi salah satu taktik paling mudah dalam menundukkan orang lain, tak kiralah sama ada dalam politik masyarakat ataupun politik keluarga - kalau ada.

'Black' mewakili warna hitam, sementara perkataan 'mail' pula merujuk kepada surat. Mengapa pula apabila digabungkan kedua-duanya digabungkan; boleh mewakili tindakan mengugut orang lain? Mari kita lihat sejarahnya.

Asal-usul perkataan 'blackmail'

sampul surat hitam

Satu masa dahulu, penguatkuasaan undang-undang di Scotland agak longgar. Oleh kerana itu banyak pihak yang berniat cuba mengambil kesempatan ke atas golongan susah khasnya golongan petani, mewajibkan petani membayar upah kepada kumpulan-kumpulan berkuasa ini bagi membolehkan samseng ini melindungi mereka.

Sekiranya petani gagal melunaskan pembayaran, samseng-samseng tadi akan diarahkan bertindak kasar merosakkan hasil tanaman yang telah diusahakan sekian lama.

Ketika itu, bahasa Inggeris mempunyai tiga makna yang diwakili oleh perkataan 'mail.' Yang pertama mewakili baju perisai yang diperbuat daripada besi, dipakai oleh askar-askar. Yang kedua pula adalah 'mail' yang mewakili makna menghantar sesuatu menggunakan bungkusan, seperti beg atau karung.

Manakala yang ketiga pula mewakili bayaran atau cukai yang perlu dibayar selepas berlakunya satu perjanjian di antara dua pihak berbeza.

Tetapi persoalannya - mengapa 'blackmail'?

Bayaran hitam untuk kerja kotor

kena blackmail

Dalam kajian yang telah dijalankan bagi mengenalpasti asal-usul terma ini, penyelidik menemui satu amalan yang biasa dibuat oleh orang Scotland. Amalan itu dinamakan 'blathaich mal'. 'Blathaich' bererti 'untuk melindungi' sementara 'mal', sama seperti makna ketiga 'mail' adalah sumbangan atau bayaran. Perkataan ini dikatakan punca terawal kewujudan perkataan 'blackmail.'

Walaupun demikian, wujud juga satu pandangan lain yang mengatakan terma 'black' digunakan sebagai satu kategori yang mewakili jenis pembayaran yang dilakukan oleh golongan petani dengan wujudnya istilah 'whitemail' dan 'blackmail.'

Golongan petani yang membayar wang perlindungan menggunakan duit perak, mereka membayar menggunakan 'whitemail'. Sementara golongan petani yang hanya mampu membayar dengan hasil ternakan digelarkan 'blackmail' bagi memudahkan pengurusannya.

Kebiasaannya petani melakukan pembayaran dengan menghadiahkan lembu berwarna hitam, jadi bayaran perlindungan itu dikenalpasti melalui warna lembu yang selalu dijadikan bayaran.

Sehingga kini terma 'blackmail' kekal digunakan dalam bahasa Inggeris, diiktiraf oleh pengkaji bahasa, namun penggunaannya diperbesarkan lagi bukan sekadar merangkumi ugutan untuk mendapat keuntungan monetari semata-mata.

Apa beza 'blackmail' dan 'extortion'

surat ugutan

'Blackmail' dan 'extortion' mempunyai maksud yang hampir serupa, tetapi kedua-duanya sebenarnya mempunyai tatacara penggunaan yang berbeza.

'Blackmail' adalah tindakan seseorang yang memeras ugut individu lain, menggunakan informasi atau rahsia yang individu itu tidak mahu diketahui orang lain tak kiralah sama ada informasi itu benar atau tidak.

'Extortion' pula adalah tindakan seseorang memeras ugut individu lain menggunakan kekerasan melalui ancaman mental atau fizikal.

"Kalau kau tak bagi aku RM10, aku sebarkan gambar kau berak!" merupakan satu tindakan 'blackmail.' Sementara itu, penggunaan ugutan "kalau kau tak bagi aku RM10, aku hentak kepala kau dengan tukul" merupakan satu perbuatan 'extortion.'

Dalam perbuatan 'extortion', pelaku tidak menyembunyikan apa-apa informasi yang perlu disembunyikan mangsa manakala 'blackmail' memerlukan wujudnya rahsia atau informasi yang perlu disembunyikan.

Jadi, pastikan anda mampu menggunakan perkataan 'blackmail' dan 'extortion' dengan betul kerana bahasa Melayu tidak membezakan kedua-dua perkataan ini. Kita mempunyai hanya satu istilah untuk mewakili kedua-duanya iaitu 'peras ugut.'

Jika berminat nak belajar lebih lanjut, jom kita belajar asal-usul perkataan 'boikot' pula.


tags : , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)