Rakyat Malaysia dan restoran makanan segera atau 'fast food' seakan tidak dapat dipisahkan. Sekiranya ada pembukaan cawangan baru ditempat-tempat tertentu, sambutan yang akan diberikan pastilah meriah.
Berbanding dengan restoran biasa, restoran makanan segera mampu menyediakan makanan dengan segera - asalkan anda sanggup berdiri untuk memesan dan mengambil makanan anda, kadangkala agak lama juga. Selain itu gerai-gerai burger yang ada dan tumbuh macam cendawan diusahakan anak-anak muda juga jarang lekang dengan pelanggan, menyediakan makanan panas yang mampu dimakan tanpa pinggan.
BESARKAN TEKS A- A+
Kebanyakan peniaga dan restoran mempunyai menu yang hampir serupa, iaitu burger, hot dog, banjo, french fries dan cheese menjadi menu utama divariasikan mengikut kandungan dan bahan penghasilannya. Tahukah anda bagaimana kelima-lima resipi popular ini mendapat namanya?
1. Asal-Usul sebutan Burger
Kisah bagaimana 'burger' bermula melibatkan sebuah negeri di Jerman yang bernama Hamburg. Masyarakat Hamburg mempunyai tradisi memasak stik daging yang dikenali sebagai 'stik Hamburg,' diperbuat dengan daging lembu kisar diperap dengan garam, bawang dan serbuk roti sebelum disalai.
Stik Hamburg dihasilkan agar daging yang telah diperam dapat bertahan lama. Resipi itu juga tidaklah dimakan dengan kepingan roti seperti 'burger' yang kita kenal. Penghijrahan orang Jerman ke Amerika Syarikat sekitar abad ke 19 membuatkan proses penghasilan stik Hamburg mula terkenal.
Pada tahun 1885, seorang peniaga bernama Charles Nagreen di Wisconsin kecewa perniagaan bebola dagingnya di ekspo, gagal kerana kesukaran orang ramai makan sambil berjalan. Dia mengubah resipi mengepitkan daging jualannya dengan roti - lalu memanggilnya 'Hamburger' sempena stik Hamburg yang sangat popular ketika itu. Terhasillah burger yang kita kenali; makanan yang dicipta agar orang dapat makan sambil berjalan melihat pertunjukan ekspo.
2. Asal-usul perkataan Hot dog
Sosej daging merupakan antara produk makanan yang telah lama wujud tetapi mengapa masih ramai antara kita yang menggelarkan resipi menggunakan sosej dan roti, sebagai 'hot dog.' Mengapa? Ada dua kisah yang dikatakan punca nama 'hot dog' menjadi popular. Anda pilihlah mana yang anda rasakan benar.
Yang pertama, disebabkan oleh bentuk sosej yang panjang sama seperti sejenis spesis anjing yang bernama 'dachshund'. Pada awalnya, golongan penjualnya menamakan produk mereka sebagai sosej dachshund, tetapi lama-kelamaan berikutan popularitinya - orang ramai nampak lebih selesa menamakannya sebagai 'hot dog' bagi merujuk kepada sosej dachshund.
Yang kedua pula, disebabkan oleh kewujudan ura-ura yang tersebar, bahawa sosej dachshund turut sama diperbuat daripada kandungan daging anjing bagi mendapatkan rasanya yang unik. Pada pandangan kami, logiknya nampak kedua-dua kisah ini seperti berkait - mungkin ditularkan oleh pihak tertentu yang mempunyai niat jahat atau sengaja bergurau, tanpa menyangka gurauannya kekal berabad lamanya.
3. Asal-Usul sebutan French fries
Ada banyak perkara dalam hidup kita yang diistilahkan dengan 'french' seperti 'french toast', 'french toast' dan juga 'french kiss' (kalau benda seperti itu menjadi minat anda). Pernahkah anda terfikir dari mana datangnya istilah 'french fries'? Yang jelasnya bukan dari Perancis.
Di Lembah Meuse, Belgium - berikutan kemampuan ekonomi yang kurang, penduduk di situ lebih biasa menanam sumber makanan sendiri semasa musim sejuk, ketika aktiviti menangkap ikan gagal dilakukan. Salah satu sumber utama makanan mereka adalah ubi kentang yang akan dipotong panjang-panjang, sebelum digoreng - digelarkan 'frites' berdasarkan bahasa Perancis - bahasa utama mereka.
Populariti bahasa Inggeris mempularkan istilah 'french cut' bagi mewakili teknik potongan mengikut panjang tertentu, agar sesuatu bahan menjadi kepingan panjang. Jadi kentang 'frites' yang perlu dipotong 'french-cut' mula popular dengan gelaran 'french frites', sehinggakan kita beranggapan makanan itu berasal dari Perancis. Sedangkan asalnya datang dari orang Belgium yang bercakap dalam bahasa Perancis.
4. Asal-usul sebutan Cheese
Demam meletakkan keju dalam semua bentuk makanan dan minuman di negara kita, seakan tidak akan tamat. Semuanya nak 'di-cheesekan'. Sukar untuk kami memahami mengapa ada orang tergamak minum keju. Hahaha, tapi kalau itu selera anda - siapalah kami nak bantah.
Apa yang kami boleh faham adalah dari mana datangnya istilah 'keju.' Menjadi salah satu kandungan mesti ada dalam resipi burger (untuk penulis), istilah 'cheese' atau keju dalam bahasa Inggeris mempunyai banyak sumber, kerana tidak dapat diketahui masyarakat mana di dunia ini yang layak bergelar 'pencipta keju.' Walaupun begitu, apa yang kita tahu, rekod pembuatan keju paling awal sudah tercatat lebih 4,000 tahun dahulu.
Istilah 'cheese' yang kita guna merupakan kata pinjaman istilah Latin 'caseus' bagi mewakili sebelum evolusi bahasa menukarkannya kepada beberapa ejaan berbeza mengikut zaman; seperti chasi, cese dan cyse. Ejaan itu akhirnya diselaraskan menjadi 'cheese' bagi mewakili susu yang terlah diperam dan dibentuk menjadi makanan.
5. Sejarah asal sebutan Egg banjo
Kisah asal-usul burger 'banjo' atau burger telur yang sangat popular di negara kita, berkait dengan tentera British satu masa dulu semasa perang dunia kedua. Berikutan situasi perang yang sukar untuk mereka makan, ramai di antara mereka memilih untuk menyiapkan satu resipi mudah - telur goreng yang diapit dengan roti yang disapu marjerin.
Ada antara mereka lebih gemar telur kuning digoreng cair, jadi apabila menggigitnya - akan menyebabkan telur kuning terpancut mengenai uniform yang dipakai. Semasa mengelap sisa telur di uniform, askar-askar akan mentertawakan rakan mereka seolah-olah sedang bermain alatan muzik banjo.
Dari situlah tentera mula menggelarkan resipi mudah mereka sebagai 'egg banjo' atau 'banjo telur', terus melekat di negara askar British pernah berkhidmat seperti di negara kita dan negara Komanwel lain.