Negara-negara Arab kerap kali dirujuk sebagai negara Timur Tengah atau dalam bahasa Inggeris, 'Middle East' sehinggakan istilah tersebut sudah sebati dengan lidah majoriti masyarakat dunia.

Bagaimanapun, pernahkah anda terfikir kenapa istilah itu digunakan? Dari mana datangnya istilah 'Middle East' itu sendiri? Jom kita huraikan persoalan ini satu per satu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kenapa istilah 'Middle East' digunakan?

alfred thayer mahan

Semasa zaman koloni British dan persaingan mereka dengan negara Russia, Asia Tengah merupakan salah satu wilayah yang paling diidamkan golongan-golongan penjajah.

Ketika itu, Asia Timur yang terletak lebih jauh kedudukannya dilabelkan sebagai 'Timur Jauh' atau 'Far East,' dengan tidak ada label atau istilah yang digunakan bagi melambangkan negara-negara yang terletak di antara bahagian barat Asia dan Mesir.

Mengikut pemahaman kolonial British pada zaman tersebut, negara India mewakili bahagian timur sehinggalah meliputi bahagian China. 'Timur Jauh' atau 'Far East' pula meliputi kawasan sekitar negara Jepun dan negara-negara yang terletak di Asia Pasifik.

arab tengah timur tengah middle east

Dipercayai, istilah 'Timur Tengah mula digunakan oleh Pejabat British India sejak tahun 1850 bagi merujuk kawasan-kawasan yang terletak di antara negara Arab dan India. Bagaimanapun, hanya pada tahun 1902 penggunaannya mula menjadi popular.

Ini disebabkan pengaruh seorang ahli strategi perang bernama Alfred Thayer Mahan mula menekankan kepentingan untuk kerajaan British menguasai wilayah-wilayah dengan penekanan penting kepada kawasan sekitar Teluk Parsi.

Bagi menyampaikan pendapatnya kepada kerajaan Britain, Alfred merujuk kawasan sekitar Teluk Parsi sebagai 'Timur Tengah' dalam tulisannya yang bertajuk 'The Persian Gulf and International Relations,' diterbitkan pada bulan September 1902 dalam sebuah jurnal Britain.

Artikel Alfred diterbitkan oleh penerbitan akhbar The Times sebelum siri artikel tulisan Sir Ignatius Chirol menggunakan terma 'Middle East' yang merangkumi lebih banyak kawasan.

Bagaimanapun, istilah 'Middle East' masih ditulis dengan menggunakan tanda baca ' ' bagi menandakan istilah itu belum bersifat formal penggunaannya. The Times sekali lagi mula menggunakan istilah tersebut tanpa penggunaan tanda baca bermula tahun 1903.

Kritikan terhadap kesahihan istilah 'Middle East'

middle east unta padang pasir

Memang sejak mula digunakan, istilah 'Timur Tengah' atau 'Middle East' mendapat kritikan, kerana penggunaannya dikatakan kurang tepat malahan lebih bersifat sebagai satu panggilan samaran kepada lokasi negara-negara itu.

Bagi mereka yang mengkritik penggunaannya, penggunaan istilah Asia Barat dikatakan lebih bertepatan malahan memang benar-benar mengikut kedudukan geografi negara Timur Tengah. Selain itu kekeliruan terhadap istilah ini juga kerap berlaku kerana wujud dua istilah lain yang hampir serupa iaitu 'Near East' dan 'Far East.'

Bagaimanapun, penggunaan istilah 'Near East' mula lenyap setelah berlakunya kejatuhan Empayar Uthmaniah di Turki, meninggalkan dunia dengan terma Far East dan Middle East. Britain menggunakan istilah itu bagi menggambarkan kedudukan pusat pemerintahan mereka di Mesir sekitar tahun 1930 dan ini memulakan penggunaan istilah tersebut di kalangan masyarakat barat.

Asia Barat atau Timur Tengah?

asia tengah asia barat timur tengah

Pada tahun 1946, Institute Timur Tengah atau The Middle East Institute ditubuhkan di Washington, ibu negara Amerika Syarikat. Kerajaan Amerika Syarikat menjadi kerajaan dunia pertama menggunakan istilah Middle East dalam Doktrin Eisenhower yang diterbitkan pada tahun 1957.

Mereka mendefinikasikan kawasan 'Middle East' sebagai kawasan yang terletak di antara Libya di bahagian barat, Pakistan di timur, Syria dan Iraq di bahagian utara dan semenanjung Arab di bahagian selatan.

Istilah dan definisi 'Middle East' sehingga kini dikritik kerana dibuat berdasarkan pandangan masyarakat Eropah, menyamakan istilah itu sebagai sesuatu yang bersifat 'eurosentrik,' tidak mengambil kira pandangan masyarakat Asia sendiri - sehinggakan masyarakat Asia terpaksa menggunakan definisi yang sebenarnya hanya tepat daripada persepektif orang Eropah untuk menggambarkan lokasi kedudukan mereka sendiri.

Kini masih ramai individu pengkaji dan penyelidik sejarah mahukan penggunaan 'Middle East' atau 'Timur Tengah' digantikan dengan istilah Asia Barat yang jauh lebih tepat, tetapi apakan daya kekeliruan ini sudah diambil sebagai istilah rasmi dan tidak cukup kuat suara mahu mengubahnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)